Pandora Papers: Zafrul rujuk peguam untuk tindakan lanjut terhadap Malaysiakini

Pandora Papers: Zafrul rujuk peguam untuk tindakan lanjut terhadap

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz sudah merujuk peguamnya untuk mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut berkaitan laporan Malaysiakini bertajuk “Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak”.

Beliau merujuk laporan Malaysiakini hari ini yang berkata, ia menerima maklumat daripada Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), nama Zafrul muncul sebagai Pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd, bank butik diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman terkemuka Panama – Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).

Zafrul berkata, beliau memegang jawatan Pengarah Kumpulan dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Jan 2009 hingga Jun 2010.

“Melalui jawatan ini, saya juga telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

“Pada Jun 2010, saya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan melepaskan semua pelantikan saya sebagai eksekutif dan pengarah di dalam Kumpulan Kenanga,” katanya dalam kenyataan.

Zafrul berkata, pejabatnya sudah memaklumkan Malaysiakini yang beliau telah melepaskan jawatan pengarah ketika meninggalkan Kumpulan Kenanga pada Jun 2010.

“Mereka tetap menerbitkan artikel tersebut dan membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ianya adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga.”

Terdahulu, pembantu Zafrul dilaporkan berkata, Menteri Kewangan itu bukan lagi pengarah syarikat luar pesisir yang didedahkan Pandora Papers, yang turut mengaitkan beberapa rakyat Malaysia terkemuka lain dalam urusan perniagaan luar pesisir.

Pendedahan data itu, yang terbesar seumpamanya, melibatkan 2.94 terabait data yang diberikan secara rahsia kepada ICIJ, dan membabitkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat “shell” dan amanah di “syurga cukai” di seluruh dunia. FMT

Pandora Papers: Zafrul rujuk peguam untuk tindakan lanjut terhadap Malaysiakini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bergaduh dengan kekasih, gadis nekad terjun kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker