Suami, ahli keluarga dibenar temani ibu bersalin 4 Oktober

Suami, ahli keluarga dibenar temani ibu bersalin 4 Oktober

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa 4 Oktober ini, Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat untuk menemani ibu yang mahu bersalin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, suami atau ahli keluarga berkenaan perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan iaitu sudah menerima dos lengkap vaksin, perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana fasiliti kesihatan atau menggunakan kit ujian kendiri.



Katanya, ujian pengesanan COVID-19 itu perlu dilaksanakan dalam tempoh 72 jam serta keputusannya hendaklah dibawa bersama sebelum dibenarkan menemani ibu hamil di wad bersalin.

“Kebenaran itu diberikan berikutan suasana pandemik negara yang mula menunjukkan tanda-tanda positif dan peningkatan kadar vaksinasi. Untuk makluman, semua hospital KKM adalah Hospital Rakan Bayi (Baby Friendly Hospital).

“Melalui inisiatif ini, hospital menggalakkan sama ada suami ataupun ahli keluarga terdekat untuk menemani isteri ketika proses kelahiran. Ini adalah kerana proses kelahiran memerlukan sokongan yang kuat dari aspek emosi dan fizikal.

“Inisiatif ini juga bergantung kepada dasar di setiap hospital dengan mengambil kira aspek keselamatan, privasi pesakit serta situasi semasa di dalam bilik bersalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Dr Noor Hisham berkata, surat arahan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bertarikh 28 September lalu mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan turut diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk pelaksanaan berkenaan.

“Ini bagi memberi ruang kepada pihak hospital melakukan persediaan yang diperlukan. Sementara itu, kita minta supaya suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani ibu hamil sentiasa mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil ini.

“Ini kerana mereka adalah golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi. KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan ini,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebelum ini ketika peningkatan jangkitan COVID-19 di negara ini, hospital mengurangkan kesesakan di premis kesihatan KKM, termasuklah tidak membenarkan suami masuk ke bilik bersalin.



“Tujuan utama adalah bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 khususnya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti kumpulan ibu hamil dan kanak-kanak,” katanya. BH

Suami, ahli keluarga dibenar temani ibu bersalin 4 Oktober


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Takkan saya tak berhak tahu – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker