Benarkan rentas negeri apabila kemasukan hospital, ICU turun 50% – MMA

Benarkan rentas negeri apabila kemasukan hospital, ICU turun 50% – MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya supaya menangguhkan kebenaran rentas negeri sehingga kadar kemasukan ke wad hospital dan unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan lebih banyak penurunan.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata selain kadar vaksinasi, kadar kemasukan ke hospital di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan juga harus diambil kira kerajaan untuk memberi kebenaran itu.

Katanya, ambang 90% untuk mencapai kadar vaksinasi dewasa mungkin munasabah tetapi jumlah pendatang asing tanpa dokumen juga perlu diambil kira bagi mendapatkan angka yang lebih tepat.

“Kita perlu tunggu sehingga kadar kemasukan ke hospital dan ICU menurun lebih banyak dan ketara sehingga 50% penggunaan. Rentas negeri boleh dibenarkan dengan kadar kemasukan hospital yang rendah,” katanya kepada FMT.

Koh bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa rentas negeri bukan isu tetapi masalahnya ialah apabila orang ramai berhimpun dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, mereka yang pulang ke kampung untuk bertemu ahli keluarga tersayang mungkin turut disambut oleh individu yang belum menerima vaksin dan biasanya pelitup muka juga ditanggalkan.

“Ini tidak boleh dikawal oleh pihak berkuasa. SOP jelas perlu digariskan dan orang ramai mesti bertanggungjawab untuk mengamalkannya,” katanya.

“Kita perlu tahu bahawa ramai pakar telah memberi amaran mengenai peningkatan kes di negara ini sebaik masuk ke fasa endemik. Kita kini melihat peningkatan kes di Singapura, yang mana ia mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi. Malaysia juga harus bersedia terhadap kemungkinan ini.”

Koh berkata mereka yang tidak membentuk sistem imun mencukupi selepas menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 perlu mendapatkan dos penggalak sebelum melakukan perjalanan ke luar.

Kerajaan mengumumkan rentas negeri dan aktiviti pelancongan akan dibenarkan sebaik negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa dan Khairy berkata peratusan itu hanya mewakili 60% daripada keseluruhan populasi.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan harus mula menyediakan kemudahan kesihatan untuk berdepan kemungkinan peningkatan kes dan melakukan pelan pandemik yang lebih kukuh berbanding bersikap reaktif.

“Kita mesti memberikan perhatian khusus kepada golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak, yang mana mereka berusia 12 hingga 17 tahun baru saja mula mendapat inokulasi. Kes dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat sebanyak 33 kali ganda pada 2021 (400,000) berbanding 2020 (13,000),” katanya kepada FMT.

Dzulkefly turut mempersoalkan ambang 90% itu memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan angka berdasarkan bancian 2010.

Katanya, populasi pendatang asing dan pelarian juga perlu diambil kira. FMT

Benarkan rentas negeri apabila kemasukan hospital, ICU turun 50% – MMA


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


China bertindak ‘buli’ Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker