Cecair merah di kubur bukan darah

Cecair merah di kubur bukan darah

Seremban: Cecair kemerahan yang mengalir di Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang di sini, dikenal pasti bukan darah namun siasatan masih dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan.

Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Ibrahim Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati cecair berkenaan bukan darah seperti yang tular di media sosial.



Menurutnya, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali serta Setiausaha MBS Mas Midyawan Yahya sudah melawat lokasi kejadian pada petang hari ini.

Katanya, pihaknya juga sudah diberikan penerangan oleh pegawai JMG Negeri Sembilan mengenai fenomena yang berlaku di tanah perkuburan itu.

“Kami dimaklumkan bahawa tapak asal tanah perkuburan terbabit adalah tempat berpaya dan berair serta terdapat beberapa kolam di kawasan itu.

“Malah, batu di tapak berkenaan adalah jenis merah mengandungi mineral besi. Interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide (karat) berwarna merah.



“Sebab itu air yang mengalir di sekeliling kawasan perkuburan itu berwarna merah, namun ia bukan darah seperti dakwaan sesetengah pihak. jika dilihat dengan mata kasar pun jelas tidak menyerupai darah,” katanya ketika dihubungi.

Ibrahim berkata, tanah perkuburan berkenaan diwujudkan menerusi wakaf dan ketika ini MBS menutup sementara berikutan tapak itu sudah penuh.

Menurutnya, tapak berkenaan akan dibuka semula sebaik projek tapak baharu yang terletak bersebelahan siap sepenuhnya.

“Ketika ini, projek kawasan perkuburan yang baharu dan masih kosong itu belum boleh beroperasi dan apabila siap nanti, ia akan dibuka bagi urusan pengebumian jenazah.



“Buat sementara ini, semua urusan pengebumian jenazah dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale Seremban,” katanya.

Katanya, berbanding tanah perkuburan Senawang yang terdapat air bertakung dan banyak laluan air, tanah kubur di Bandar Ainsdale dibuat dengan teliti dan di tapak yang strategik serta kawasan tinggi.

Terdahulu, tular gambar mengenai kawasan perkuburan itu yang dipenuhi cecair merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur sehingga menimbulkan kegemparan orang ramai.

Mereka mendakwa cecair berkenaan adalah darah yang keluar daripada kubur berkenaan. HM



Cecair merah di kubur bukan darah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wajah Uqasha dah macam Sajat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker