Israel mesti dipertanggungjawab dan bertanggungjawab – Ismail

Sebaran :

Israel mesti dipertanggungjawab dan bertanggungjawab – Ismail

Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa Israel mesti dipertanggungjawab dan bertanggungjawab atas semua kesalahannya terhadap Palestin termasuk pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia juga mengalu-alukan penubuhan suruhanjaya siasatan antarabangsa oleh Majlis Hak Asasi Manusia untuk menyiasat pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa ketika krisis 11 hari di Palestin, Mei lalu.

Katanya, Malaysia juga terus menggesa atur gerak kehadiran antarabangsa secara sementara di Baitulmaqdis untuk memantau penghentian permusuhan di wilayah Palestin yang diduduki Israel (OPT).

“Mengenai OPT, Malaysia terkejut dengan kematian banyak orang awam Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak, berikutan serangan kejam oleh Israel pada Mei tahun ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan dan serangan berulang oleh tentera dan peneroka Israel terhadap jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa. Pencerobohan yang disasarkan terhadap orang yang beribadat memang menghina semua umat Islam atau mana-mana agama yang cintakan keamanan,” katanya dalam ucapan secara maya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76.

Sementara itu, Ismail Sabri mengajak masyarakat dunia supaya benar-benar jujur dengan apa yang berlaku dalam OPT.

Tegas Perdana Menteri, penindasan sistematik terhadap rakyat Palestin selama bertahun-tahun melalui dasar diskriminasi, penolakan hak asas sivil, rampasan tanah berskala besar dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap mereka adalah sama dengan apartheid.

“Apartheid masih wujud di dunia ini dan kebanyakan dari kita hanya menutup mata terhadap perkara itu,” katanya.

Mengulas situasi di Myanmar, Ismail Sabri, berkata Malaysia mendesak pihak berkuasa negara itu untuk menerima kunjungan Utusan Khas ASEAN dan membantunya dalam tugasan serta mempercepat pelaksanaan ‘Konsensus Lima Perkara’.

Katanya, negara anggota ASEAN sudah mengambil langkah membabitkan diri dengan pihak utama dalam konflik di Myanmar untuk menghulurkan bantuan sekiranya ada peluang.

“Malaysia menyokong sepenuhnya usaha yang dibuat Utusan Khas ASEAN di Myanmar. Namun, kami tetap bimbang kerana pihak berkuasa belum membenarkan Utusan Khas ASEAN mengunjungi negara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, berkata Malaysia menekankan betapa pentingnya menghormati kehendak dan kepentingan rakyat Myanmar malah terdapat keperluan untuk mencari jalan penyelesaian yang damai, terutama ketika negara itu berdepan banyak cabaran.

Katanya, Malaysia sangat bimbang dengan situasi kemanusiaan yang kini semakin diburukkan oleh sistem penjagaan kesihatan Myanmar yang semakin merosot.

“Turut merisaukan adalah krisis pelarian yang melanda Myanmar sejak kemasukan pelarian Rohingya secara besar-besaran pada tahun 2017.

“Malaysia ketika ini menempatkan lebih daripada 154,000 pelarian dari Myanmar yang membentuk 86 peratus pelarian di negara ini.

“Lebih 66 peratus daripadanya adalah etnik minoriti Rohingya dan ini hanyalah anggaran yang konservatif,” jelasnya.

Mengenai keadaan di Afghanistan, Ismail Sabri berkata, Malaysia terkejut dengan serangan pengganas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai pada bulan lalu.

Katanya, Malaysia mengecam keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi malah negara itu tidak boleh dibiarkan sekali lagi menjadi tempat pembiakan untuk keganasan.

“Keluarga dunia mesti bersama-sama menyokong Afghanistan pada masa yang memerlukan ini, termasuk dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyatnya. Mengenai hal ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan melakukan apa yang termampu dibuat,” katanya. BH

Israel mesti dipertanggungjawab dan bertanggungjawab – Ismail


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wajah Uqasha dah macam Sajat


Sebaran :

Leave a Reply