Jaminan bekalan makanan, penjagaan kesihatan perlu jadi keutamaan RMK12

Jaminan bekalan makanan, penjagaan kesihatan perlu jadi keutamaan RMK12, kata Johari

Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) mesti memberi fokus kepada penjagaan kesihatan dan jaminan bekalan makanan, selain memastikan hutang kerajaan tidak meningkat kepada tahap tidak mampan, menurut bekas menteri kewangan Johari Ghani.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, RMK12 bukan hanya mengenai projek prasarana fizikal tetapi juga untuk menjamin masa depan negara dalam era pasca pandemik.



RMK-12 menyenaraikan program pembangunan ekonomi kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia dijadualkan dibentang di Parlimen hari ini.

Johari menggesa kerajaan untuk memberi masa yang cukup bagi Ahli Parlimen membahaskan rancangan yang dibentangkan tersebut.

Katanya, kerajaan harus bersikap telus mengenai perbelanjaannya, terutama perbelanjaan yang tidak termasuk dalam belanjawan.

Johari menggesa kerajaan meletakkan fokus pada meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam kerana Covid-19 telah mendedahkan kelemahan dan keterbatasan sistem kesihatan awam dalam berdepan pandemik.



Beliau berkata, data Bank Dunia menunjukkan perbelanjaan Malaysia terhadap kesihatan awam berjumlah hanya 2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), lebih rendah daripada purata 3.8% KDNK dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi.

“Pandemik ini juga telah mendedahkan kedudukan jaminan bekalan makanan negara kita,” katanya.

Sekiranya negara-negara lain menghentikan eksport seperti beras, tepung dan gula untuk melindungi bekalan domestik mereka sendiri, negara pengimport seperti negara ini akan menghadapi risiko kekurangan makanan.

“Dengan jumlah import makanan mencecah RM55.5 bilion tahun lalu dan meningkat hampir setiap tahun, kerajaan harus merancang untuk meningkatkan keupayaan kita dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” tambah beliau.



Kerajaan harus mempertimbangkan untuk melabur di negara lain bagi mengembangkan makanan yang diimport oleh negara.

Tambah beliau, RMK12 mesti mempromosikan penerapan sistem teknologi tinggi, ketepatan kejuruteraan dan konsep pertanian yang mampan.

Menurutnya lagi, hutang kerajaan berjumlah RM958 bilion (61.2% daripada KDNK) dan ia tidak jelas bagaimana kerajaan dapat membiayai perbelanjaan pembangunan beratus-ratus bilion untuk lima tahun ke depan tanpa perlu menaikkan kadar had hutang berkanun setiap tahun.

“Kerajaan harus bersikap telus dengan langkah perbelanjaan di luar belanjawan melalui jaminan hutang untuk mengelak jumlah hutang dan liabiliti kerajaan meningkat ke tahap yang tidak mampan, kerana ini akan mengurangkan lagi kedudukan fiskal kerajaan yang sudah merosot,” katanya.



Bekas menteri itu berkata, setiap perbelanjaan untuk projek prasarana yang memerlukan jaminan komitmen oleh kerajaan hanya perlu melibatkan projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam hal menyediakan pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh lima tahun ke depan.

Semua projek yang tidak dirancang di luar RMK12 tidak boleh dipertimbangkan sekiranya ia tidak diperlukan. FMT

Jaminan bekalan makanan, penjagaan kesihatan perlu jadi keutamaan RMK12


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


China bertindak ‘buli’ Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker