Harap dakwaan sogok tutup kes terowong bukan sandiwara politik

Pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan membabitkan kes penipuan berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan kes terowong dasar laut diharapkan bukan sandiwara politik semata-mata.

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, rakyat khususnya penduduk negeri ini berharap pihak pendakwaan bersikap telus dalam kes berkenaan berdasarkan perundangan sedia ada.

Jelasnya, adalah diyakini hasil siasatan yang konkrit dengan dokumen serta saksi-saksi yang relevan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) telah menyakinkan Peguam Negara untuk mendakwa individu berkenaan.

Namun, apa yang dibimbangkan, tambah beliau, sekiranya representasi dikemukakan pada pertengahan kes itu bagi menggugurkan kes berkenaan atau mana-mana tindakan yang dirasakan sesuai oleh Pejabat Peguam Negara.



“Situasi seperti ini pernah berlaku sebelum ini yang mana walaupun selepas pendakwaan dan perbicaraan kes dengan beberapa saksi telah memberikan keterangan, namun atas kecacatan “rule of law” dengan menggunakan bidang kuasa Peguam Negara, maka kes berkenaan telah digugurkan dan tertuduh dilepas serta dibebaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Awal hari ini, ahli perniagaan, M. G. Gnanaraja, 38, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menipu dengan nilai berjumlah RM19 juta bagi membantu menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di negeri ini yang bernilai RM6.3 bilion dua tahun lalu.

Tambah Rahmad, perbicaraan itu juga adalah penting kepada penduduk negeri ini yang terus tertanya-tanya berkenaan perkara sebenar di sebalik projek terowong dasar laut tersebut yang mana mereka juga bakal dilibatkan secara jangka masa panjang. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker