Pengunduran Ku Li tak jejas Umno – penganalisis

Pengunduran Ku Li tak jejas Umno – penganalisis

Seorang penganalisis politik veteran berpendapat pengunduran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno tidak akan menjejaskan gerak langkah Umno berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada FMT, Ahmad Atory Hussain berkata, ini kerana Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li tidak mempunyai pengaruh yang kuat seperti Dr Mahathir Mohamad dalam kalangan pemimpin tertinggi Umno serta akar umbi parti.

“Ku Li tak ada sokongan majoriti ahli Umno. Dia hanya otai atau orang lama Umno saja. Lagi pun Ku Li tak macam Tun (Mahathir) yang masih ligat dan aktif cari pengaruh untuk kekal relevan dalam arus perdana politik.

“Ku Li, dia tak banyak bergerak untuk cari pengaruh.. Banyak diam daripada beri pendapat. Dia ingat orang akan datang kepada dia. Dalam politik mana boleh begitu, jadi dia nampak bersendirian,” katanya yang menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu ibarat “Al-Quran buruk”.

Atory berkata, peletakan jawatan Ku Li itu juga seperti memberi isyarat beliau akan berundur dari pentas politik selepas menjadi Ahli Parlimen Umno sejak 1969.

Beliau juga tidak menolak, Ku Li berkecil hati kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian selepas Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai calon tunggal Perdana Menteri Umno ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Sampai sekarang Ku Li masih simpan cita-cita nak jadi PM, tapi tak kesampaian, makanya Ku Li ibaratnya begitu – rindu sepanjang zaman,” katanya sambil menegaskan, Umno tidak mampu meraih semula status sebagai parti dominan selagi kluster mahkamah terus mendominasi parti Melayu itu.

Sementara itu, pakar geostrategi Azmi Hassan yang turut senada dengan Atory berkata, pengunduran Ku Li tidak memberi kesan besar kepada sentimen pengundi Umno.

“Kesannya tidak seberat mana kerana Ku Li tidak sekuat seperti dahulu walaupun Umno memerlukan individu berprinsip seperti Ku Li,” katanya yang berpendapat pengunduran figura Umno itu sebagai penasihat parti bukan atas faktor beliau disisihkan dalam pentadbiran Ismail.

Terdahulu, tular surat rasmi berhubung peletakan jawatan Ku Li sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkuatkuasa 20 Sept.

Dalam butiran surat yang diserahkan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu beliau membangkitkan kekecewaannya terhadap Jemaah Menteri Ismail kerana dibarisi menteri daripada “kerajaan gagal” Muhyiddin Yassin. FMT

Pengunduran Ku Li tak jejas Umno – penganalisis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker