Pindah wang, kenapa Sanusi tak lapor kepada SPRM?

Pindah wang, kenapa Sanusi tak lapor kepada SPRM?

Berdasarkan kenyataan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, beliau masih menyimpan ‘bukti’ pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke sebuah akaun di Kanada semasa Mukhriz Mahathir menerajui kerajaan negeri.

Bukti yang dimaksudkan adalah slip bank pemindahan wang itu ke sebuah akaun di Barclay Bank, Kanada. Agaknya sudah lama Sanusi menyimpan bukti itu memandangkan beliau menggantikan Mukhriz sebagai MB pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak pernah sebut kepada sesiapa pun, hari ini baru saya sebut dan slip bank pemindahan wang itu saya ada simpan,” Sanusi memberitahu media di Alor Setar Isnin lalu.

Tentunya RM13 juta adalah jumlah wang yang amat besar dan pendedahan yang dibuat Sanusi mencetuskan pelbagai syak wasangka sama ada wujudnya penyelewengan dana awam sewaktu Kedah bawah teraju Mukhriz.

Sanusi tidak menghuraikan kenapa beliau menyimpan slip pemindahan wang itu tanpa mengambil apa-apa tindakan. Yang pasti, beliau curiga dengan transaksi itu, justeru mendedahkannya kepada media.

Tetapi yang pelik ialah penjelasan Sanusi bahawa beliau hanya mendedahkan perkara itu semalam, itu pun kerana Mukhriz membangkitkan isu lama di Dewan Undangan Negeri.

“Ditanya mengapa ungkit hal lama, saya tiada ungkit hal lama, ini zaman Datuk Mukhriz jadi menteri besar, bila dibangkitkan, baru saya jawab hal lama pemindahan wang MBI, RM13 juta ke satu akaun di Kanada,” kata Sanusi.

Lebih membingungkan, semalam, Sanusi membayangkan beliau tidak bercadang melaporkan pemindahan wang itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya rasa SPRM sendiri sudah tahu, menerusi laporan berita semalam (Selasa). Saya akan ikut apa mereka kehendaki,” katanya.

Beliau akur Mukhriz sendiri terkejut dengan pendedahan yang dibuatnya semalam, dan yakin bekas menteri besar itu tidak tahu mengenai pemindahan wang berkenaan.

Justeru, persoalan yang perlu Sanusi jawab ialah: Kenapa mengheret nama Mukhriz jika percaya bekas menteri besar itu ‘innocent’ (tidak bersalah).

Juga, kenapa Sanusi menyimpan ‘bukti’ iaitu slip pemindahan wang itu, tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa, jika mengesyaki ada kemungkinan dana awam RM13 juta diseleweng?.

Persoalan ini penting, kerana ia memfokus kepada ketelusan Sanusi sebagai ketua kerajaan negeri dan pemimpin PAS yang mahu dilihat mengutamakan amanah dan kebertanggungjawaban.

Jika isu RM13 juta itu hanya diungkit untuk ‘menghentam’ Mukhriz kerana membangkitkan isu lama, perbuatan Sanusi tentunya tidak wajar dan lebih bersifat politik.

Mukhriz sudah pun mencabar Sanusi untuk sama ada membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan isu pemindahan RM13 juta disiasat atau menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kepada beliau (Mukhriz).

Bekas menteri besar itu turut menafikan tuduhan Sanusi bersabit peruntukan RM1.3 juta untuk barang beg kuih raya ketika Mukhriz masih menteri besar.

Pendek kata, Mukhriz mencabar Sanusi bertindak adil dan telus dan tidak bercakap sebarangan, tanpa fakta kukuh.

Sememangnya, sebagai ketua kerajaan negeri, Sanusi bertanggungjawab memberikan fakta penuh terhadap pendedahan isu RM13 juta dan tidak berselindung di sebalik “kemungkinan” isu itu disiasat.

Begitu juga dengan ‘skandal kuih raya’ yang didakwa oleh Sanusi. Biar benda yang didedahkan itu tepat dari segi fakta dan diambil tindakan oleh pihak polis atau SPRM secepat mungkin.

Apa sahaja kesangsian dan kecurigaan melibatkan penggunaan dana awam harus dilaporkan kepada polis atau SPRM secepat mungkin, bukannya disimpan menunggu masa sesuai untuk dijadikan peluru politik.

Ini bukan kali pertama Sanusi bertindak ibarat meludah ke langit apabila mengeluarkan kenyataan yang akhirnya terpalit pada persoalan mengenai tahap kepimpinan diri. FMT

Pindah wang, kenapa Sanusi tak lapor kepada SPRM?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker