Ismail Sabri jaring gol pertama

Sebaran :

Ismail Sabri jaring gol pertama

Oleh Borhan Abu Samah

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menawarkan kerajaan perpaduan apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas memerintah selama 22 bulan buat kali kedua.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah menjanjikan kerajaan rentas parti dilaksanakan sebelum beliau turut meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjaya memeterai kerjasama kerajaan dengan blok pembangkang dan ia merupakan satu kejayaan terbesar di mana ia tidak dapat dilaksanakan oleh dua tokoh politik sebelum ini.

Bezanya Ismail Sabri ketika menawarkan kerjasama itu adalah ketika beliau masih lagi berkuasa, berbanding Dr. Mahathir dan Muhyiddin menghulurkan tangan ketika mereka sudah hilang sokongan.

Ismail Sabri menghulurkan tangan mengajak pihak pembangkang bersama-sama menaiki bahtera beliau demi kepentingan rakyat dan negara.

Manakala Dr. Mahathir dan Muhyiddin menghulur tangan supaya mereka diselamatkan daripada jatuh ketika kedudukan kerajaan terumbang-ambing dan sudah tentu atas apa juga alasan tidak akan diterima oleh pembangkang.

Belajar daripada kesilapan itu Ismail Sabri segera menawarkan kerjasama dengan pembangkang sebaik sahaja dipilih sebagai perdana menteri dan ia nampak lebih ikhlas serta tidak mendapat tentangan yang keras daripada penyokong pembangkang sendiri.

Pembangkang sendiri sedar mereka tidak lagi boleh melepaskan peluang ini untuk sama-sama menjayakan pelan pemulihan negara yang semakin menampakkan hasil.

Pembangkang juga sedar mereka tidak akan berjaya menjadi kerajaan dalam masa terdekat dengan menggunakan taktik kotor meruntuhkan kerajaan sebagaimana yang dilakukan ketika berdepan dengan Muhyiddin.

Akhirnya mereka akur untuk bekerjasama sehingga Parlimen dibubarkan pada Julai tahun hadapan.

Apa yang dicapai oleh Ismail Sabri ini adalah ibarat pepatah Inggeris yang bermaksud Membunuh dua ekor burung dengan seketul batu.

Selain mendapat sokongan daripada pihak pembangkang, Ismail Sabri juga telah melumpuhkan kluster mahkamah yang terdiri para pemimpin UMNO yang berdepan dengan pelbagai kes mahkamah.

Dua pemimpin yang berpengaruh dan berdepan dengan kes mahkamah ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini adalah kerana jika sebelum ini dua pemimpin itu bergabung berjaya menarik 15 ahli parlimen, kali ini mereka tidak akan lagi mampu melakukannya dan jika mereka melakukannya juga pihak pembangkang yang akan masuk membentuk kerajaan.

Sudah tentu mereka tidak mahu ia berlaku kerana ia akan melenyapkan terus karier politik mereka.

Bagaimanapun Ismail Sabri tidak boleh terlalu gembira kerana pihak pembangkang sentiasa mempunyai helah.

Sebagai contoh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan kerjasama itu tidak bermakna pembangkang akan menyokong apabila belanjawan dibentang pada bulan November ini.

Sekali ini mereka telah meletakkan peringatan bahawa pembangkang boleh mencari apa juga alasan untuk tidak menyokong belanjawan dan jika belanjawan tidak dapat diluluskan maka, kerajaan terpaksa membubarkan parlimen untuk pilihan raya. Kerajaan tidak dapat diteruskan tanpa kelulusan belanjawan.

Jadi apa yang boleh dilakukan oleh Ismail Sabri ialah dengan melibatkan pembangkang dalam merangka belanjawan kali ini, oleh itu mereka tidak mempunyai alasan untuk tidak menyokong belanjawan yang mereka sendiri terlibat merangkanya.

Apa juga yang berlaku ke hadapan adalah bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan, terutama Ismail Sabri selaku ketuanya. SM

Ismail Sabri jaring gol pertama


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu


Sebaran :

Leave a Reply