Pendapatan kasar isi rumah merosot 80 peratus jika asing T20

Pendapatan kasar isi rumah merosot 80 peratus jika asing T20. Beberapa pakar ekonomi berpandangan kadar purata penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang mencecah 10.3 peratus pada tahun 2020 secara realitinya berkeadaan lebih parah sekiranya kelompok golongan berpendapatan tinggi (T20) diasingkan daripada kajian Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, pihaknya tidak mengenepikan ketelusan fakta dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Parlimen pada Selasa kerana kadar purata penurunan 10.3 peratus itu adalah seiring dengan kadar penguncupan ekonomi negara sebanyak -6 peratus pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan kadar penurunan pendapatan kasar bulanan itu berkemungkinan mencecah 80 peratus susulan lebih sejuta rakyat Malaysia dikenal pasti hilang pekerjaan dan berdepan kehabisan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan sejak krisis Covid-19 melanda negara.

“Sebenarnya isu ini perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan kerana di sebalik angka penurunan purata pendapatan kasar isi rumah bulanan yang dilihat agak sederhana, realitinya lebih banyak isi rumah yang terjejas pendapatan bulanan jauh lebih teruk sehingga mencecah 80 peratus.

“Kelompok ini biasanya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan rendah (B40) yang kehilangan pekerjaan dan wang simpanan masa hadapan mereka sejak krisis Covid-19 melanda negara.

“Saya percaya angka 10.3 peratus yang diunjurkan Jabatan Perangkaan Malaysia mungkin tidak menggambarkan realiti sebenar penurunan pendapatan dialami rakyat negara ini kerana kajian itu turut melibatkan sebahagian T20 yang meningkat hasil pendapatan pada saat pandemik,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Usahawan tempatan terutama golongan graduan menganggur perlu berani meneroka peluang untuk menceburi bidang pertanian dengan mengadaptasikan teknologi terkini seperti dron.
Usahawan tempatan terutama golongan graduan menganggur perlu berani meneroka peluang untuk menceburi bidang pertanian dengan mengadaptasikan teknologi terkini seperti dron.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan dibangkitkan Anwar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan mengenai pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Menjawab persoalan itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat dalam kalangan B40 dan M40 bagi membantu ekonomi mereka untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Kata Ismail Sabri lagi, langkah itu akan dilaksanakan melalui program peningkatan pendapatan dan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan, menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial.

Pandangan Shazali itu turut dipersetujui seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai yang berpandangan langkah pengasingan data penurunan pendapatan kasar isi rumah bulanan rakyat di antara kelompok B40 dan M40 dengan T20 akan memberi refleksi sebenar masalah sosioekonomi dihadapi majoriti rakyat.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai

 

Jelas beliau, pada saat majoriti golongan B40 dan M40 terkesan akibat krisis Covid-19, terdapat sebahagian besar golongan T20 yang berjaya meningkatkan kekayaan sewaktu pandemik susulan modul perniagaan mereka memenuhi kehendak pasaran di saat pandemik berlangsung.

“Tetapi kalau kerajaan mengasingkan angka pendapatan isi rumah kasar bulanan T20 daripada M40 dan B40, mungkin separuh daripada bilangan M40 sudah jatuh menjadi B40 dan B40 pula mungkin separuh mereka kini sudah menjadi miskin tegar.

“Justeru, satu langkah penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang terhadap isu ini perlu dikemukakan segera kerajaan kerana solusi memastikan golongan hilang pekerjaan untuk kembali mendapat kerja dalam jangka masa pendek dilihat agak sukar.

“Selain itu, landskap ekonomi negara dijangka akan berubah pasca Covid-19 dengan semua usahawan menyedari mereka perlu menggunakan pendekatan baharu yang lebih moden dan holistik untuk memulihkan kembali perniagaan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berpandangan kesemua usahawan tempatan tidak boleh mengguna pakai norma perniagaan lama dengan laporan Fitch Rating mendedahkan Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi sifar sekiranya sistem ekonomi konservatif masih diimplementasikan.

Beliau mengesyorkan kerajaan mencari kaedah terbaik untuk menggalakkan usahawan tempatan menyelusuri kaedah pemulihan ekonomi berasaskan kerangka ‘destructive technology’.

“Negara seperti China menjadi pelopor kepada agenda pelaksanaan ‘destructive technology’ yang membolehkan penggunaan teknologi masa hadapan ditumpukan bagi menggegarkan sistem ekonomi lama dan lapuk.

“Hasilnya, republik itu berjaya menjadi pelopor kepada pertukaran teknologi lama daripada penggunaan kudrat manusia dan bahan api untuk menggerakkan kenderaan ringan seperti motosikal dan basikal kepada teknologi elektrik berasaskan bateri.

“Kesan positif paling ketara dialami China adalah kerajaan republik itu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga 20 peratus susulan sambutan hangat terhadap produk basikal dan motosikal berasaskan tenaga elektrik memberi peluang pekerjaan baharu kepada penduduk,” katanya.

Tambah Barjoyai lagi, antara teknologi masa hadapan lain yang boleh diterokai usahawan tempatan adalah implementasi teknologi rekabentuk cetakan 3D untuk kontraktor kecil dan pemaju menjimatkan kos pembinaan rumah dan premis.

“Teknologi cetakan 3D juga boleh diimplementasi peniaga mikro untuk menghasilkan produk seperti peralatan harian berasaskan plastik, pelitup muka dan perkakas rumah.

“Bahkan, lebih 700,000 graduan universiti yang menganggur ketika ini boleh menerokai peluang perniagaan dalam bidang pertanian dengan mengaplikasikan teknologi dron bagi tujuan pembenihan, pembajaan dan sebagainya.

“Pada saat kritikal ketika ini, negara memerlukan satu anjakan paradigma untuk membuka minda usahawan tempatan supaya mereka memanfaatkan sepenuhnya pengenalan teknologi-teknologi terkini dan masa hadapan demi mewujudkan peluang perniagaan baharu,” katanya.


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Hantar pulang warga asing enggan divaksin, saran Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker