MPN bukan jawapan untuk pemulihan negara

MPN bukan jawapan untuk pemulihan negara

Oleh Fakhrurrazi Rashid

Tiada sesiapa menyangka Muhyiddin Yassin yang hilang kepercayaan parlimen untuk menjadi perdana menteri tiba-tiba dilantik Ismail Sabri Yaakob menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri pada 4 Sept lalu.

Pelantikan itu, kata Ismail Sabri, dibuat berlandaskan keyakinannya terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara bagi mengembalikan kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat krisis pandemik.

Kembalinya Muhyiddin dalam kerajaan – walaupun sekadar mengetuai MPN – dilihat seperti Ismail Sabri meletakkannya pada kedudukan seorang menteri mentor.

Pada 14 Sept lalu Ismail Sabri mempertahankan pelantikan Muhyiddin itu selepas dipersoalkan oleh ahli parlimen pembangkang. Pada pertimbangan pembangkang pelantikan Muhyiddin ini tidak berpandukan ‘sains dan fakta’ berdasarkan rekod buruk presiden Bersatu itu Yassin sebelum ini.

Sebahagian rakyat juga melihat pelantikan Muhyiddin merupakan satu kesilapan besar oleh kerajaan.

Melihat kepada reaksi yang diberikan, bukankah pelantikan Muhyiddin itu menunjukkan bahawa penubuhan MPN hanyalah langkah sia-sia dan tidak berfungsi untuk memantau pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara?

MPN merupakan konsep pengurusan krisis pandemik yang mencedok Majlis Gerakan Negara (Mageran). Maka, secara tidak langsung boleh dinyatakan bahawa penubuhan MPN hari ini sebenarnya menggambarkan pemikiran lapuk atau ketinggalan zaman yang masih membelenggu sebilangan besar pemimpin politik dan rakyat Malaysia.

Suatu percaturan PM

Dari sudut yang berbeza, MPN kini dijadikan tempat atau ‘jalan pintas’ buat ahli politik arkaik untuk bernafas sambil cuba mendominasi politik negara.

Misalnya ia terlihat kepada minat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang bersungguh-sungguh mahu menjadi pengerusi MPN bagi menguruskan pandemik bersama golongan profesional tanpa campur tangan politik.

Begitu juga pelantikan semula Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri. Ia dibuat kerajaan ketika Muhyiddin secara jelas gagal menguruskan pandemik yang ada.

Dalam keadaan begitulah Muhyiddin dilantik oleh Ismail Sabri. Justeru langkah tersebut dapat ditafsir sebagai percaturan perdana menteri meneruskan kelangsungan hayat politiknya di Seri Perdana.

Reaksi terhadap pelantikan Muhyiddin itu juga menarik. Lihat bagaimana bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo kemudian mencadangkan agar semua bekas perdana menteri – termasuklah Najib Razak – bekas timbalan perdana menteri dilantik menyertai MPN.

Alasan Mohd Khir, ia perlu dibuat atas kapasiti pengalaman luas mereka mentadbir negara dan ia boleh membantu usaha menguruskan pandemik Covid-19.

Ternyata maksud penubuhan MPN sudah tersasar jauh daripada fungsi asalnya apabila entiti itu mahu dijadikan sarang buat ahli politik silam meneruskan langkah mereka.

Apabila itu berlaku maka keyakinan rakyat terhadap peranan MPN akan terhakis. Malah, setiap perancangan yang dibuat dijangka tidak akan mendatangkan impak besar kepada rakyat.

Memorandum persefahaman (MOU) di antara kerajaan dan PH turut menyentuh tentang perubahan struktur MPN. Sebanyak 50 peratus anggota badan itu dilantik daripada kalangan pakar manakala pembangkang dan kerajaan masing-masing terdiri daripada 25 peratus perwakilan.

Namun, apakah signifikan penstrukturan itu jika MPN masih dipengerusikan oleh Muhyiddin yang ternyata cuai dalam urus tadbirnya sebelum ini? Apakah PH belum belajar daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akhirnya dimanipulasikan badan eksekutif?

Memperkasa fungsi kementerian

Sesudah dua bulan ditubuhkan, orang awam masih tidak mengetahui cadangan-cadangan daripada MPN untuk mengatasi kesusahan dialami rakyat. Segala perbincangan MPN pula tidak terbuka untuk diakses oleh orang ramai.

Hakikatnya, MPN ini hanyalah sebuah jawatankuasa di peringkat kabinet. Sejauh mana rundingan dan cadangan dibuat oleh anggota MPN untuk kepentingan rakyat, perdana menteri dan kabinet masih mempunyai kata putus terakhir.

Sebab itu juga, saya meragui tawaran Ismail Sabri untuk mengajak pembangkang menganggotai MPN yang diuar-uarkan sebagai entiti dwipartisan.

Lebih buruk lagi apabila MPN yang dibentuk itu tidak diwakili anak muda yang juga kumpulan yang terkesan akibat Covid-19. Ia bukan sahaja memperlihatkan MPN itu tidak inklusif, tetapi ia juga bercanggah dengan hasrat Ismail Sabri yang mahu mendengar suara anak muda dalam menentukan hala tuju Malaysia.

Kini, Malaysia melalui fasa pemulihan dan pembukaan semula sektor ekonomi. Pada fasa ini, peranan MPN dilihat tidak lagi relevan untuk merangka perancangan mengatasi pandemik dan memulihkan ekonomi.

Peranan atau kuasa MPN sepatutnya diserahkan semula kepada setiap menteri dan kementerian untuk merangka pelan strategi pemulihan Covid-19 bagi sektor-sektor di bawah pengawasan mereka.

Kaedah ini dapat memperkasa fungsi setiap kementerian untuk merangka dasar berbanding pemusatan kuasa di bawah satu badan yang menyelaras isu-isu berkaitan pandemik.

Persoalannya, jika MPN dibubarkan, bagaimana pembangkang mahu mempraktikkan menguruskan pandemik dwipartisan?

Pembangkang boleh memainkan peranan yang lebih berkesan melalui jawatankuasa pilihan khas (JPK) bagi mengawasi pentadbiran kerajaan dalam pelaksanaan pelan pemulihan Covid-19.

Pendekatan lebih matang

Peranan JPK lebih luas, yakni berkuasa memanggil dan menyiasat menteri atau penjawat awam untuk menerangkan sesuatu dasar kerajaan.

JPK juga mempunyai kuasa untuk menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh seperti persatuan masyarakat untuk memberi maklum balas terhadap sesuatu dasar kerajaan.

Pendekatan ini lebih baik berbanding fungsi MPN yang hanya mendapat maklumat daripada tenaga pakar dan pandangan kabinet.

Komposisi JPK lebih mencerminkan semangat kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang yang sebenar. Ia juga lebih bebas daripada dominasi jemaah menteri yang sering meminggirkan kepentingan rakyat dalam membuat keputusan.

Jika perjanjian PH dan kerajaan bersetuju menubuhkan lebih banyak JPK, apakah rasionalnya negara memerlukan MPN untuk menjalankan pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara?

Sekiranya perjanjian tersebut dapat dirunding semula, saya berharap agar PH dan kerajaan boleh membubarkan MPN dan melibatkan lebih banyak JPK di parlimen untuk memantau dan mengkaji dasar-dasar mengatasi pandemik dan pelan pemulihan ekonomi.

Pendekatan ini lebih matang, realistik, dan berlandaskan semangat dwipartisan berbanding MPN yang dilihat sudah menjadi alat politik pemimpin lama dan lemah dalam memainkan peranan untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat.

FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik di Research for Social Advancement (Refsa).

MPN bukan jawapan untuk pemulihan negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker