Transformasi Parlimen bukan retorik
Transformasi Parlimen bukan retorik. JUMAAT lalu, seorang sahabat (pesara kerajaan berusia awal 70-an) tanya saya mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.
Saya jawab, “sudah sampai masanya. Hendaknya satu kesungguhan, bukan retorik.”
Banyak pihak mengalu-alukan langkah kerajaan baharu ini. Parlimen yang bersidang semalam baru sahaja merayakan ulang tahunnya yang ke-61. Setelah wujud selama enam dekad, pastinya institusi utama perundangan negara ini boleh mempamerkan prestasinya yang cemerlang dan dikagumi rakyat.
Malangnya, hakikat menunjukkan sebaliknya. Prosiding Dewan Rakyat selama beberapa tahun kebelakangan ini lebih menghampakan daripada membanggakan kita.
Pemerhati politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian mengharapkan pengumuman Perdana Menteri minggu lalu akan memberi impak positif, bukan hanya kepada reformasi Parlimen bahkan reformasi politik negara.
Dalam kenyataan medianya pada 10 September lalu, Perdana Menteri menyatakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan ini adalah selaras dengan titah Istana Negara yang mahukan sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi dengan berkesan menghadapi pelbagai krisis semasa.
LANDSKAP POLITIK BAHARU
Bagi mewujudkan satu landskap politik baharu di negara ini, kerajaan komited melakukan tujuh perkara berikut:
1. Satu rang undang-undang antilompat parti akan dibentangkan di Parlimen.
2. Satu rang undang-undang pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi.
3. Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun (dua penggal sahaja).
4. Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan diseimbangkan dengan melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang.
5. Setiap rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan terlebih dahulu dirunding dan dipersetujui secara bersama.
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Bagi Sivamurugan, soalnya apakah ahli Parlimen kita sudah bersedia menghadapi transformasi ini? Sudah mampukah mereka bertindak secara matang dan berhujah secara berhemah? Apakah satu kod etika (jika belum ada) akan diwujudkan untuk memastikan ahli Parlimen kita tidak bertindak keterlaluan termasuk menggunakan kata-kata kesat dan berbaur penghinaan?
Bagi Dr. Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, ahli Parlimen hendaklah mempamerkan kebijaksanaan setiap masa supaya masyarakat tidak hilang rasa hormat terhadap institusi Parlimen.
Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang ditawarkan itu adalah satu permulaan yang baik selepas peralihan Perdana Menteri.
Pada 7 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan, Akta Perkhidmatan Parlimen akan diperkenalkan semula untuk memberi autonomi kepada Parlimen. Wan Junaidi menambah, satu akta baharu Parlimen akan dibentangkan bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988).
Selain itu, usaha juga diambil untuk menambah baik Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang ada sekarang.
Transformasi Parlimen sudah bermula sejak dahulu lagi apabila diwujudkan Kamar Khas, Waktu Pertanyaan Menteri, penambahbaikan prosedur mengemukakan soalan yang memerlukan jawapan lisan. Selain itu, sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, 11 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujudkan.
Satu lagi pembaharuan adalah jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hendaklah dipegang oleh seorang ahli Parlimen dari parti pembangkang dan amalan ini kekal hingga sekarang.
KLUSTER MAHKAMAH
Sahabat saya mengakui semua penambahbaikan yang saya sebutkan tadi, namun hairan kenapa perkara ‘pelik’ masih berlaku. Dia merujuk kepada pelantikan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker dan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri.
Saya jawab, dua pelantikan itu masih lagi di peringkat cadangan, belum lagi dilaksanakan. Barangkali Perdana Menteri ada alasan tertentu mengapa dua pelantikan itu perlu dilakukan.
Perdana Menteri pernah menyatakan dalam satu hantarannya di media sosial, “Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta.”
Kata sahabat lagi, walau apa pun alasan, Perdana Menteri sewajarnya sensitif kepada persepsi rakyat yang mahukan mana-mana individu termasuk dalam kluster mahkamah tidak dilantik menjadi anggota badan eksekutif secara langsung atau tidak langsung.
Anehnya, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad memberi sokongan kepada Ahmad dilantik sebagai Timbalan Speaker, “selagi hukuman tidak dijatuhkan (merujuk pertuduhan dihadapi Ahmad) maka kita tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya kepada media baru-baru ini.
RANCANGAN MALAYSIA KE-12 (RMK-12)
RMK-12 akan dibentangkan pada 27 September ini, disusuli sesi perbahasan hingga 4 Oktober. Sama-sama kita lihat apakah kerajaan pimpinan Ismail Sabri akan bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun depan?
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.
Transformasi Parlimen bukan retorik
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Baca Artikel Menarik :
- KWSP lancar 2 inisiatif kepada majikan
- LHDN buru pelari cukai
- UMNO Perlu Peroleh Mandat Rakyat Pada PRU15, Terajui Negara Kembalikan Kegemilangan
- Agong ulangi sokongan kepada Ismail Sabri tanpa paksaan
- Kenapa kerajaan Muhyiddin lapor angka kematian jauh dibawah angka sebenar?
- Terpadam sudah retorik ‘No Anwar no DAP’
- Saya tak reda, datang jumpa saya minta maaf – Imam Masjid Putrajaya
- Hadiah TMJ kepada Azizulhasni cetus spekulasi
- Hanya Hantar Kotak, Penjual Ini Dakwa Beg Tangan Bernilai RM35,000 Dicuri Pusat Kurier
- ‘Tembak Saya, Jangan Biar Taliban Ambil Saya’- Bintang Pop Afghanistan
- Resepi Roti Jejari Cheese Gebu
Layari Laman Facebook MYKMU
.
Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong