Bajet2022: Mengisi konsep ‘keluarga Malaysia’

Bajet2022: Mengisi konsep ‘keluarga Malaysia’

Oleh Abdul Rahman Embong

Pada 9 September 2021, Akademi Profesor Malaysia (APM) sekali lagi menganjurkan sidang meja bulat (RTD) tertutup yang dihadiri oleh 30 orang profesor pelbagai bidang untuk berbicara tentang beberapa soal penting negara sebagai masukan bagi Bajet 2022.

Penganjuran RTD ini adalah baik sekali kerana ia menunjukkan kepekaan dan keprihatinan APM sebagai sebuah wadah pemikir negara dengan menyambut pelawaan Kementerian Kewangan kepada pelbagai pemegang taruh supaya menyertai siri libat urus pra-Bajet itu.

Sebagai salah seorang pembicara dalam panel enam orang pakar untuk RTD itu, saya menumpukan perhatian terhadap beberapa aspek penting dalam masyarakat khususnya masalah dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga dan golongan-golongan lain yang menerima dampak serius pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Keluarga merupakan institusi asas dalam masyarakat dan negara, anggota keluarga menyediakan tenaga kerja dalam pelbagai bidang; anak-anak dilahir dan membesar dalam keluarga barulah ke institusi persekolahan; manakala warga emas juga adalah sebahagian penting dalam keluarga.

Dari segi dasar dan perspektif mengenai keluarga, kerajaan telah melancarkan Dasar Keluarga Negara pada 2010 yang menekankan bahawa semua program harus dilihat dari perspektif keluarga. Juga Deklarasi “Keluarga Malaysia” dilancarkan pada November 2019 sebagai agenda nasional di mana institusi keluarga disifatkan sebagai asas pembentukan negara sejahtera, manakala konsep “Keluarga Malaysia” diisytiharkan oleh YAB Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapan sulung beliau sebagai perdana menteri baharu pada 16 Ogos 2021.

Namun dalam ucapan beliau yang menekankan kerangka kebersamaan, harmoni dan kepelbagaian itu, belum terdapat pengisian yang khusus bagi konsep itu.

Bertolak daripada pemikiran di atas, makalah ini akan menfokuskan kepada empat perkara penting untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2022 yang intinya saya bentangkan dalam RTD APM itu.

Perkara-perkara itu ialah (i) membantu rakyat mengatasi kepayahan dan kelaparan; (ii) memastikan penuaan yang sihat dan menjaga kesejahteraan warga emas; (iii) menjaga kepentingan kanak-kanak remaja dan belia; dan (iv) menangani krisis keluarga dan kesihatan mental.

Dalam kesimpulan, saya mengusulkan penggubalan Pelan Tindakan Kebangsaan Pembangunan Sosial (PTKPS) sebagai salah satu tonggak dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Majlis Pemulihan Negara untuk menangani agenda pembangunan sosial Malaysia.

(a) Membantu rakyat mengatasi kepayahan dan kelaparan

Dalam situasi di mana beberapa buah negeri di seluruh negara telah beralih daripada satu fasa ke fasa yang lain dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), walaupun kes-kes positif Covid-19 dan kematian akibatnya masih tinggi, persoalan yang perlu ditanya ialah: Apakah keadaan terburuk sudah berlalu? Apakah Bendera Putih tidak berkibar lagi? Apakah keperluan kepada Bank Makanan sudah berkurangan?

Soalan-soalan ini perlu diajukan memandangkan bilangan pengangguran tetap tinggi dan meningkat akhir-akhir ini, iaitu 4.8 peratus pada Jun 2021 atau 768,700 orang berbanding 4.5 peratus atau 728,100 pada Mei sebelumnya – satu penambahan sebanyak 40,600 orang.

Pada masa yang sama, kemiskinan juga meningkat dari 5.6 peratus (atau 405,400 isi rumah) pada 2019 kepada 8.4 peratus atau 639,800 isi rumah pada 2020. Peratusan isi rumah tersangat miskin (atau “miskin tegar”) pula turut meningkat dari 0.4 peratus (27,200 isi rumah) pada 2019 kepada 1.0 peratus atau 78,000 isi rumah pada tahun 2020.

Berdasarkan purata empat orang dalam sebuah isi rumah, ini bererti terdapat kira-kira 2.6 juta penduduk miskin pada 2020 manakala yang “miskin tegar’ (tersangat miskin) seramai 312,000 orang.

Data terbaru mengenai kemiskinan pada pertengahan 2021 belum terbit, tetapi kita boleh menjangkakan bilangan keluarga miskin dan individu miskin semakin bertambah disebabkan PKP 3.0 berpanjangan sejak Januari 2021 hingga sekarang.

Justeru, berdasarkan data resmi di atas, soalan adakah “keadaan terburuk” sudah berlalu ataupun kelihatan reda hanya pada permukaan tetap relevan.

Apa yang kelihatan reda di permukaan mungkin menutupi keadaan sebenar yang serius di aras bawah. Walau apapun hal ini memerlukan data lengkap terkini untuk memberi pencerahan supaya intervensi kerajaan melalui Bajet 2022 dan juga pihak-pihak pemegang taruh lain khususnya NGO akan mengenai sasaran dan berkesan.

Untuk bergerak ke depan, persoalan pokok yang perlu ditekankan adalah kelestarian (sustainability) dan daya tahan (resilience).

Kelestarian dan daya tahan di sini bukan sahaja bermaksud keluarga dan anggota masyarakat tetapi juga sistem governans negara untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam memberi perkhidmatan yang perlu kepada masyarakat. Hal ini kerana Covid-19 sedang beralih dari keadaan pandemik kepada endemik di mana risiko yang berpanjangan tetap berada di tengah-tengah kehidupan kita.

Bagi mengatasi masalah rakyat yang dalam kepayahan dan sebahagiannya kelaparan, langkah-langkah berikut perlu dilaksanakan dalam Bajet 2022.

Pertama, mengenalpasti kelompok sasaran dan mengelakkan keciciran dan pertindihan. Langkah ini memerlukan data lengkap dan terkini mengenai bilangan rakyat yang terjejas iaitu golongan miskin ketara, bilangan penganggur, fakir yang tidak nampak, golongan gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain baik di bandar mahupun luar bandar termasuk kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang berjauhan.

Selain bentuk bantuan terus, segera dan sekali beri (one-off), perlu difikirkan bantuan dan pengupayaan sekali gus. Langkah-langkah pengupayaan yang sesuai dengan kelompok sasaran seperti projek pertanian bandar bagi gelandangan yang dijalankan oleh DBKL dengan NGO boleh difikirkan. Selanjutnya, perlu penyelasaran dengan pelbagai pihak dari kerajaan pusat, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak pengurusan zakat, NGO, komuniti setempat, masjid/surau, institusi agama lain dan sebagainya.

(b) Memastikan penuaan yang sihat dan menjaga kesejahteraan warga emas

Malaysia dengan pantas menjadi sebuah “aging nation” dengan penduduk warga emas yang semakin bertambah sebelum negara ini menjadi maju dan kaya.

Hal ini berbeza dengan negara-negara Barat yang telah menjadi maju dan kaya terlebih dahulu sebelum rakyat mereka mula mengalami penuaan. Pada tahun 2019, warga emas berusia 65 tahun ke atas berjumlah 2.293 juta atau 7.0% penduduk.

Nisbah warga emas dengan penduduk bawah 65 tahun adalah 1:9 pada 2020 dan dijangka meningkat kepada 1:7 pada 2030. Taksiran jangka hayat penduduk waktu lahir telah meningkat kepada 74.9 tahun di mana jangka hayat wanita adalah lebih tinggi iaitu 77.6 tahun. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai kebarangkalian 15 hingga 18 tahun selepas bersara (60 tahun) untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, cabaran terbesarnya ialah memastikan kesejahteraan hidup mereka dengan proses penuaan yang produktif, aktif dan sihat serta diisi dengan keperluan mereka seperti keperluan rohaniah dan lain-lain.

Dari segi program aktiviti warga emas, bilangan PAWE atau Pusat Aktiviti Warga Emas di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini berjumlah 285 buah di seluruh negara dengan peruntukan dinaikkan dari RM33,000 kepada RM50,000 setiap tahun mulai tahun 2021 bagi setiap PAWE.

Dari segi Bajet 2022, perlu ambil kira bahawa sesetengah PAWE adalah lebih besar dan aktif berbanding yang lain khususnya PAWE di bandar-bandar besar. Peruntukan tambahan perlu dipertimbangkan untuk projek khas PAWE seperti penganjuran program kerjasama antara agama dan kaum, keahlian yang lebih ramai, serta kegiatan yang menyumbang kepada kesejahteraan warga emas, di samping turut meningkatkan hubungan mesra dalam keluarga dan kesepaduan sosial dalam komuniti.

Dari segi penjagaan warga emas, ramai di antara mereka tinggal berseorangan atau bersama pasangan yang juga berusia. Persoalannya, bagaimana mengurus cabaran ini? Adakah bilangan sukarelawan yang memberi khidmat kepada warga emas sedemikian mencukupi? Apakah elaun untuk sukarelawan itu memadai? Bagaimana pula bagi warga emas yang tinggal bersama anak-anak? Apakah kemudahan tambahan perlu diberikan kepada anak-anak untuk menjaga orang tua mereka? Bagaimana mereka yang berada di Rumah Seri Kenangan dan juga Rumah Penjagaan Swasta? Kesemua persoalan ini perlu dikaji semula dengan lebih tuntas supaya program penjagaan dan kesejahteraan warga emas itu lestari sifatnya.

Dalam konteks kajian semula ini, rasanya adalah perlu kita mempertimbangkan mekanisme penjagaan warga emas yang dilaksanakan di beberapa negara lain. Sebagai contoh, terdapat konsep yang boleh kita kaji iaitu “time-banking” (Fureai Kippu) yang diamalkan di Jepun sejak 1973.

Juga terdapat sistem penjagaan warga emas di Switzerland yang dianggap terbaik di dunia menurut Global AgeWatch Index. Antara khidmat untuk warga emas yang uzur dan memerlukan ialah home care (jagaan di rumah), “penyediaan makanan” (meals on wheels), alat penggera keselamatan diri (personal safety alarms), dan lain-lain.

Persoalannya, apakah Malaysia sudah bersedia mengkaji dan mempertimbangkan mekanisme “time banking” dengan pengubahsuaian tertentu, dan juga praktik-praktik baik yang lain? Dari segi Bajet 2022, peruntukan yang sesuai perlu dipertimbangkan untuk membuat kajian tentang sistem penjagaan warga emas dengan penekanan kepada kelestarian dan daya tahan.

(c) Menjaga kepentingan dan mengusahakan pembangunan kanak-kanak, remaja dan belia

Pada 2018, terdapat 5.58 juta remaja di Malaysia dengan separuh daripada mereka berada di sekolah. Terdapat dua aspek dalam isu menjaga kepentingan dan mengusahakan pembangunan kanak-kanak remaja dan belia.

Sisi pertama merujuk kepada golongan kanak-kanak remaja dan belia dalam keluarga dan kejiranan. Kita perlu menggembleng tenaga mereka ke arah aktiviti produktif dan kreatif, serta menggalakkan interaksi sosial yang sihat. Hal ini memerlukan penyediaan pusat-pusat aktiviti rekreasi dalam taman perumahan, kawasan beriadah serta kelab atau persatuan yang sesuai. Justeru, dana perlu diperuntukkan bagi mendirikan kemudahan baharu atau menambahbaik serta menyelenggara kemudahan-kemudahan yang sedia ada. Langkah ini memerlukan kerjasama dengan PBT, JKKK, Kelab Belia dan lain-lain.

Sisi kedua ialah kanak-kanak, remaja dan belia yang malang atau terbiar. Sebahagian daripada kanak-kanak ini terbiar kerana mereka lahir daripada pasangan tanpa nikah, menjadikan mereka mangsa pembuangan bayi dan sebagainya. Selain itu, terdapat ibu bapa mereka yang miskin, uzur, tua, meninggal dunia, dan lain-lain sehingga mereka menjadi terbiar.

Data yang tidak lengkap sebelum pandemik menunjukkan bahawa terdapat 60,000 lebih kanak-kanak dan remaja (usia 5 hingga 15 tahun) berada dalam rumah jagaan orang perseorangan seperti rumah anak-anak yatim dan lain-lain. Sementara itu, 11,000 lebih kanak-kanak dan remaja berada dalam institusi seliaan kerajaan. Justeru, kerajaan mesti mengambil berat dan prihatin terhadap nasib kanak-kanak malang ini termasuklah mengiktiraf hak-hak mereka. Kerajaan juga perlu memperuntukkan dana yang mencukupi bagi rumah-rumah penjagaan tersebut baik kerajaan mahupun perseorangan.

(d) Krisis keluarga dan memburuknya kesihatan mental

Terdapat beberapa cabaran serius terhadap institusi keluarga yang sedia wujud sebelum pandemik dan menjadi lebih teruk setelah pandemik. Angka pada 2017 menunjukkan 83 peratus tindakan penganiayaan terhadap wanita dalam rumah tangga adalah keganasan fizikal, di samping berlakunya penderaan terhadap kanan-kanak, termasuk gangguan seksual dan inses terhadap kanak-kanak perempuan dan gadis. Setelah meletusnya pandemik khususnya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 dan PKP 3.0 sekarang, konflik dan keganasan rumah tangga semakin meningkat dengan isteri dan anak-anak sering menjadi mangsa.

Sepanjang tahun 2020, KPWKM melaporkan 2,287 kes keganasan rumahtangga, dan 4,349 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi terhadap kanak-kanak berlaku. Seiring dengan itu juga, bilangan perceraian semakin meningkat khususnya dalam keluarga Islam, dengan angka paling tinggi di Selangor dan Johor. Data daripada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan terdapat 48,483 kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam antara Mac 2020 hingga 25 Februari 2021, bertambah dari 45,502 perceraian pada seluruh 2019. Sebab-sebab perceraian itu berkaitan dengan kesulitan ekonomi dan kewangan, ketidakserasian dan lain-lain.

Satu perkembangan baharu yang semakin serius dan sangat membimbangkan ialah merosotnya kesihatan mental dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat Malaysia. Survei Kebangsaan Mengenai Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan hampir setengah juta penduduk Malaysia mengalami gejala kemurungan. Bahkan para pakar meramalkan pada tahun 2020, masalah penyakit mental akan menduduki tempat kedua selepas penyakit jantung dalam kalangan penduduk negara ini.

Masalah kesihatan mental ini terdapat dalam kalangan orang dewasa dan lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja. Menurut Survei Kebangsaan Kesihatan Mental dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah berusia 13-17 tahun pada tahun 2017, sebanyak 10.0 peratus mempunyai niat bunuh diri, 7.3 peratus merancang bunuh diri, dan 6.9 peratus mencuba bunuh diri. Angka-angka ini meningkat berbanding tahun 2012 yang mencatat masing-masing 7.9 peratus (niat bunuh diri), 6.8 peratus (merancang bunuh diri) dan 6.4 peratus (mencuba bunuh diri). Peratusan ini paling tinggi di kalangan pelajar Tingkatan 1 dan pelajar perempuan.

Apa yang dilaporkan di atas ialah keadaan sebelum meletusnya pandemik Covid-19. Tempoh hampir dua tahun Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan telah memburukkan lagi keadaan. Keseriusan hal mungkin tidak disedari sepenuhnya oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa. Kita dapati kes kemurungan berterusan dan semakin serius, manakala kes bunuh diri pula meningkat pesat.

Dalam lima bulan pertama 2021, terdapat 468 kes bunuh diri yakni purata tiga kes sehari berbanding 631 pada 2020 dan 609 pada 2019, iaitu purata dua kes sehari. Merosotnya kesihatan mental dengan bertambahnya kes kemurungan, tindakan ‘mengamuk’ kerana hilangnya kawalan diri, dan kes bunuh diri ini boleh diangggap sebagai ‘bom jangka sosial’ yang pada bila-bila masa boleh meledak sekiranya intervensi yang cepat, tepat dan berkesan tidak dilakukan.

Menghadapi keadaan serius ini, isyarat yang tepat dari atas atau right tone from the top adalah sangat perlu. Kita perlukan perubahan set minda para pemimpin, pembuat dasar, para pelaksana dan masyarakat umum terhadap isu keganasan dan penderaan dalam rumah tangga serta masalah kemurungan dan bunuh diri dengan menganggapnya masalah masyarakat dan negara, serta perlu ditangani sebagai agenda nasional yang mendesak.

Kita harus bertindak pantas, tepat dan bijaksana sebelum keadaan menjadi lebih parah dan terlambat. Undang-undang lapuk yang menjadikan tindakan bunuh diri satu jenayah perlu segera diubah.

Kesimpulan: Perlunya Pelan Tindakan Kebangsaan Pembangunan Sosial (PTKPS) dalam Pelan Pemulihan Negara

Bagi mengatasi pelbagai masalah di atas serta masalah-masalah pembangunan sosial yang lain, adalah dicadangkan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengambil kira krisis keluarga dan memburuknya kesihatan mental beserta persoalan pembangunan sosial yang lain seperti kehidupan warga emas serta kanak-kanak remaja dan belia yang dinyatakan di atas sebagai satu subset dalam rangka kerja Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah MPN.

Sebagai tindakan segera, satu Pasukan Petugas MPN perlu dibentuk untuk mengkaji dan menilai keseriusan masalah ini khususnya konflik dan keganasan rumahtangga serta memburuknya kesihatan mental dari segi kesan jangka pendek, sederhana dan panjang, serta memperakukan cadangan-cadangan yang sesuai. Susulan itu, Pasukan Petugas MPN perlu menggubal Pelan Tindakan Kebangsaan Pembangunan Sosial yang komprehensif bagi menangani masalah-masalah dan cabaran-cabaran tersebut berdasarkan data lengkap dan memanfaatkan pandangan pelbagai pemegang taruh.

Pelan Tindakan Kebangsaan Pembangunan Sosial itu juga perlu memasukkan dalam skop tugasnya tentang pengupayaan golongan masyarakat minoriti seperti Orang Asli, masyarakat India, dan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak agar memastikan konsep kebersamaan dilaksanakan.

Berbuat demikian menunjukkan keseriusan iltizam politik pimpinan atasan untuk memastikan pembangunan sosial, khususnya kesejahteraan keluarga dan masyarakat ditangani selaras dgn Dasar Keluarga Kebangsaan, Deklarasi Keluarga Malaysia dan Konsep Keluarga Malaysia.

Justeru, Bajet 2022 perlu mempunyai peruntukan sewajarnya bagi (i) gerak kerja untuk Pasukan Petugas Kajian dan perakuan menangani pembangunan sosial; (ii) peruntukan yang memadai untuk menyediakan sumber manusia seperti pakar sosiologi dan antropologi, pakar psikologi, psikiatri, kaunselor, pekerja sosial, dan lain-lain, di samping perlunya prasarana seperti peralatan, teknologi, dan sebagainya.

Sebagai kesimpulan, cadangan Pelan Tindakan Kebangsaan Pembangunan Sosial (PTKPM) amat perlu agar usaha pembangunan sosial bersifat lestari dan holistik, tidak sepotong-sepotong. PTKPM bukan semata-mata untuk Bajet 2022 tetapi satu tonggak dasar yang penting dan strategik dalam Pelan Pemulihan Negara yang harus diintegrasikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

PROF EMERITUS DR ABDUL RAHMAN EMBONG ialah Felo dan Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional Akademi Profesor Malaysia. Beliau juga Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan mantan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.

Bajet2022: Mengisi konsep ‘keluarga Malaysia’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker