England tumbang bukan kerana kesilapan taktikal semata-mata

England tumbang bukan kerana kesilapan taktikal semata-mata

England tumbang bukan kerana kesilapan taktikal semata-mata
BARISAN pemain England kecewa selepas tewas di tangan Argentina. FOTO Reuters

London: Thomas Tuchel menjadi sasaran kritikan hebat selepas England tersingkir di separuh akhir Piala Dunia 2026, namun ramai berpendapat kekalahan kepada Argentina bukan berpunca daripada taktikal pengendali Jerman itu semata-mata.

Tuchel sebelum ini dianggap individu terbaik untuk membawa England menamatkan kemarau kejuaraan dunia sejak 1966, namun impian itu musnah apabila The Three Lions tewas 1-2 kepada juara bertahan selepas melepaskan kelebihan satu gol di penghujung perlawanan.

Anthony Gordon meletakkan England di depan sebelum Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez menjaringkan dua gol lewat hasil inspirasi Lionel Messi.

Ketika memperkenalkan Tuchel pada Oktober 2024, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak England (FA), Mark Bullingham, menyifatkan bekas pengendali Chelsea itu sebagai calon terbaik untuk menghadiahkan bintang kedua di jersi England.

Tuchel yang memulakan tugas pada Januari 2025 turut berjanji akan cuba membawa pulang gelaran Piala Dunia.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka Diluluskan, Terus Perkukuh Tadbir Urus


Namun, keputusan mengubah pendekatan kepada corak lebih bertahan selepas gol pembukaan Gordon mengundang kritikan hebat.

Bekas pengurus West Ham United dan Crystal Palace, Alan Pardew, menyifatkan England hilang identiti ketika berdepan tekanan.

“Dalam kekalutan permainan, pasukan hilang arah. Ketakutan, kesilapan dan organisasi permainan semuanya lenyap. Hakikatnya, pengurus menyuntik mentaliti negatif kepada pasukan,” katanya kepada talkSPORT.

Bagaimanapun, Tuchel menegaskan masalah sebenar lebih mendalam daripada soal pertukaran pemain atau formasi.

“Pada ketika itu, saya rasa tiada sistem di dunia yang mampu membantu kami.

“Penguasaan bola memainkan peranan penting. Mungkin ia bukan sebahagian daripada DNA kami seperti Sepanyol atau Argentina yang gemar mengawal permainan menerusi penguasaan bola,” katanya.

Walaupun memiliki rekod cemerlang di peringkat kelab termasuk membawa Chelsea menjulang Liga Juara-Juara Eropah, kejohanan ini adalah pengalaman pertama Tuchel mengendalikan pasukan di pentas antarabangsa utama.

DISYORKAN UNTUK ANDA :

Sudah Tiba Masanya Akta Perlindungan Guru Digubal – Dr Asyraf


Sekurang-kurangnya beliau menyamai pencapaian Gareth Southgate yang membawa England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan dijangka memperoleh banyak pengajaran daripada pengalaman sulung itu.

Sejarah juga menunjukkan kejayaan di pentas antarabangsa memerlukan masa.

Didier Deschamps membimbing Perancis selama enam tahun sebelum muncul juara dunia pada 2018, manakala Aime Jacquet mengambil masa lima tahun untuk membentuk skuad yang menjuarai Piala Dunia 1998.

Dalam masa sama, kritikan terhadap Tuchel turut dilihat menenggelamkan kehebatan Argentina yang sekali lagi mempamerkan semangat juang luar biasa.

Skuad kendalian Lionel Scaloni tidak pernah berputus asa sepanjang fasa kalah mati selepas mengharungi cabaran sengit menentang Cape Verde, Mesir dan Switzerland sebelum menyingkirkan England.

Statistik turut menggambarkan dominasi Argentina apabila England hanya melengkapkan dua hantaran di kawasan lawan antara minit ke-72 hingga ke-92, berbanding 111 hantaran dilakukan Argentina dalam tempoh sama.

Bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Thierry Henry, berkata pemain berusia 39 tahun itu sentiasa muncul pada saat paling diperlukan.

“Jangan sesekali membangkitkan semangat Messi.

“Saya pernah melihatnya dalam latihan. Apabila dia mula bermain dengan emosi, dia akan merampas bola dan menjaringkan tiga gol berturut-turut.

“Apabila pasukannya memerlukan sesuatu, dia sentiasa meningkatkan tahap permainannya.

“Dia menulis sejarah dengan kedua-dua kakinya,” kata Henry.

England tumbang bukan kerana kesilapan taktikal semata-mata


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Melaka Sedia Memimpin Gelombang Baharu Industri Semikonduktor – Ab Rauf

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker