Penularan Covid-19 bukan tiket sebar ajaran sesat

Sebaran :

PANDEMIK Covid-19 merupakan ujian buat manusia termasuk juga umat Islam. Sebagai orang Islam kita seharusnya yakin bahawa wabak ini adalah sebagai salah satu bentuk ujian ALLAH SWT untuk menjadikan hambaNya, insan yang beriman.

Selain itu selaku hamba yang beriman mestilah meyakini bahawa ianya juga bagi menghapus dosa manusia. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang muslim ditimpa suatu keletihan dan penyakit (yang terus menimpa), kerisauan dan kesedihan, gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya, melainkan ALLAH akan menghapus dosa-dosanya”. (HR al-Bukhari).

Di sini jelas menunjukkan betapa pemurahnya ALLAH SWT apabila seseorang ditimpa musibah walaupun hanya sekadar tertusuk duri, ianya untuk menghapus dosa individu tersebut.

Justeru, ia sepatutnya dilihat secara positif iaitu semua ujian dalam kehidupan termasuk juga bagi pesakit Covid-19 ini adalah sebagai penghapus dosa.

Umum mengetahui penularan wabak penyakit Covid-19 begitu pantas dan sekarang sudah mempunyai pelbagai varian baharu seperti Delta, Alpha, Varian Kappa dan sebagainya.

Namun begitu para saintis dan pakar perubatan terus mencari penawar bagi penyakit ini termasuklah dengan pengambilan vaksin.

Terdapat pelbagai keluaran jenama vaksin seperti Pfizer, Sinovac, AstraZeneca dan sebagainya. Walaupun begitu Islam tidak meninggalkan umat manusia untuk terus berada dalam keadaan kebimbangan dan kecelaruan tersebut melainkan telah diberikan panduan langkah-langkah dalam menghadapinya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. (HR al-Bukhari) Firman ALLAH SWT menerusi surah al-Tawbah ayat 51: Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan ALLAH bagi kami, Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan – dengan kepercayaan itu – maka kepada ALLAH jua hendakNya orang yang beriman bertawakal”.

Korban nyawa

Seiring dengan rancaknya penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 ini yang telah mengorbankan banyak nyawa, penularan aliran ajaran sesat melalui pelbagai aplikasi sama ada Youtube, Facebook, Telegram dan lain- lain juga tidak terkecuali.

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dibawa oleh seorang wanita yang mendakwa dia boleh berhubung terus dengan ALLAH SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Dia juga turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya konon sebagai panduan untuk umat sejagat.

Bahkan dalam video itu dia mendakwa yang sesiapa berani menyakiti atau menghalang dirinya daripada menyebar luaskan ajaran tersebut boleh dicabut nyawa oleh ALLAH SWT.

Terdahulu tular dalam media sosial seorang wanita berusia 39 tahun menggelarkan diri Sittah Annur meramalkan Perang Dunia Ketiga kononnya bakal berlaku di Sabah selepas dia bermimpi perkara tersebut.

Video di Youtube bertajuk ‘Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah) Part 1’ menerusi akaun Youtube Cahaya Islam memaparkan seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian Perang Dunia Ketiga (WW3) yang bakal berlaku di Sabah.

Video tersebut dimuat naik di Youtube berdurasi 11 minit 3 saat dan mendapat tontonan yang ramai iaitu sebanyak 50,000, 908 tanda suka, 97 tanda tidak suka dan 511 komen. Cahaya Islam kini direkodkan mempunyai 2,380 langganan.

Namun begitu dengan langkah pro aktif pihak jabatan agama seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa berkaitan, penularan video yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube ‘Cahaya Islam’ dan ‘S’ttah An Nur’ PMYT telah berada di bawah siasatan dan ketuanya juga berjaya ditahan oleh pihak polis.

Ajaran sebegini sememangnya bahaya kerana ia mampu mempengaruhi banyak pihak sama seperti ajaran Ayah Pin dahulu.

Ini kerana pemikiran yang cuba diterapkan melibatkan dua isu utama iaitu ajaran sesat yang menyeleweng dari ajaran Islam serta ancaman terhadap keselamatan negara.

Perkara sebegini tidak seharusnya terjadi kerana ia menunjukkan betapa lemahnya iman seseorang. Ini kerana Rasulullah SAW merupakan penutup bagi sekalian nabi dan rasul serta tidak ada lagi nabi yang dilantik oleh ALLAH SWT selepas Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan, panduan dan tiada manusia yang lebih baik serta elok akhlaknya melainkan Baginda SAW. Ini sebagaimana Firman Allah SWT: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Al-Qalam: 4).

Ini juga ada disebut dalam Firman ALLAH SWT: Ertinya: “Dan akan tetapi sesungguhnya Muhammad itu ialah utusan ALLAH dan penutup segala nabi-nabi.” (Al-Ahzab: 40) Kita sebagai umat Islam menjalankan tanggungjawab dengan meneruskan dakwah Rasulullah SAW, iaitu dengan mengajak umat kembali kepada ALLAH SWT, menjauhkan mereka daripada perkara yang melalaikan seperti maksiat, hedonisme, menjauhi pergaduhan, membimbing mereka ke jalan yang benar lagi diredhai ALLAH SWT dengan menjauhi ajaran sesat dan sebagainya.

Langkah positif

Sebagai seorang muslim juga, kita hendaklah mengambil langkah yang positif ke arah menambah keimanan kepada ALLAH SWT bukan menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar yang bercanggah dengan akidah Islam.

Contohnya dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang, sepatutnya ia mentarbiah manusia agar tidak jemu berdoa dan bersyukur dengan yakin semua ini mempunyai hikmah besar selain mengambil langkah pencegahan yang disyorkan oleh pihak kerajaan dan pakar perubatan.

Di samping itu, umat Islam mestilah yakin bahawa rahsianya tetaplah ALLAH SWT sahaja yang Maha Mengetahui dan tidak mengambil jalan singkat dengan mengikuti segala jenis aliran ajaran sesat dengan pelbagai dakwaan yang palsu.

Setiap Muslim juga mestilah redha dengan apa yang berlaku sesuai dengan ajaran Islam setelah pelbagai usaha pencegahan diambil.

Ini kerana jika seseorang itu redha dengan apa yang menimpa maka ALLAH SWT akan memberi ganjaran syurga dan begitulah sebaliknya. Hal ini ada dirakamkan di dalam Al-Quran: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui,” (QS Al-Baqarah: 216).

Sebagai manusia yang lemah dan kerdil di sisi ALLAH SWT jangan sesekali menyalahkan takdir ALLAH SWT sebaliknya menerima atas apa yang ALLAH SWT anugerahkan dengan berlapang dada dan positif.

Walau terkadang takdir yang menimpa begitu perit untuk diterima sehingga mencabar kesabaran disebabkan diselubungi kesedihan dan kebimbangan tetapi dengan takdir tersebutlah manusia mendapatkan kebaikan dari arah yang tidak terduga.

Jika dilihat apa yang terjadi kepada Nabi Musa A.S bahawa tidak ada yang lebih dibenci oleh ibu Musa A.S daripada jatuhnya anaknya di tangan keluarga Fir’aun, namun begitu ALLAH SWT telah merencanakan sesuatu yang terbaik daripada kejadian tersebut sehingga memberi pengaruh dan kesan yang baik pada akhirnya.

Justeru, jangan jadikan penularan penyakit pandemik Covid-19 ini sebagai tiket untuk penularan aliran yang menyeleweng dan sesat berlaku. Ini kerana al-Quran dan al-Sunnah sudah jelas menyebut perihal Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul penutup buat sekalian manusia yang wajib diimani dan diyakini.

Oleh itu marilah sama-sama kita mempasakkan keyakinan yang jitu terhadap apa yang diberitahu dalam sumber Islam dan sama-samalah kita mengamalkan doa khusus yang telah diajar oleh Baginda SAW dalam memelihara hati ini daripada terpesong.

Penularan Covid-19 bukan tiket sebar ajaran sesat


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ajaran sesat PMYT, Sittah Annur disoal siasat disoal


Sebaran :

Leave a Reply