Dewan Rakyat kecoh isu sekatan masuk bangunan Parlimen

Dewan Rakyat kecoh isu sekatan masuk bangunan Parlimen

Hari kedua sidang Parlimen hari ini “kecoh” dengan pertikaian berhubung sekatan yang dibuat kerajaan terhadap Ahli Parlimen sehingga mencetuskan himpunan dan perarakan wakil rakyat dari Dataran Merdeka ke Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu.

Isu berkenaan mula dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoal mengapa polis menyekat hak ahli Dewan Rakyat untuk ke Parlimen termasuk ingin mengambil barang yang ditinggalkan.

Susulan itu, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) turut meminta penjelasan mengapa beliau juga disekat untuk pergi ke pejabat ketua pembangkang.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, kemudian menjelaskan pihaknya tidak menutup Parlimen dan Ahli Parlimen dibenarkan masuk, bagaimanapun isu sekatan jalan raya akan diperjelaskan oleh menteri.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin kemudian menjelaskan Parlimen telah ditangguhkan dan tiada keperluan untuk Ahli Dewan Rakyat hadir ke Parlimen lagi.

“Parlimen telah pun ditangguhkan persidangannya. Maka sebab itu apabila arahan untuk tidak dibenarkan masuk, polis mengambil kuasa telah mengarahkannya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi apa yang menjadi masalah kita di sini?

“Masalahnya adalah sama ada kita nak mendengar dari segi keputusan Akta 342 ataupun tak nak mendengar untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang lebih menjadi masalah kepada rakyat, iaitu untuk tidak ada berkumpul di mana sebab itu polis melakukan sesuatu demi keselamatan semua pihak,” jelasnya.

Hamzah juga berkata, tindakan tidak membenarkan ahli Dewan Rakyat memasuki Parlimen pada 2 Ogos adalah bagi menjalankan proses sanitasi berikutan penularan Covid-19 pada minggu sebelumnya di premis terbabit.

Katanya, kebenaran tidak diberikan kerana bangunan Parlimen turut mencatatkan kes positif Covid-19 pada ketika itu sehingga mencecah 100 kes.

“Kerajaan nak menjaga Yang Berhormat (YB) supaya dapat hadir pada hari ini. Apabila dimaklumkan kepada pihak polis, tiada yang dibenarkan masuk kerana kita nak pastikan proses sanitasi boleh dilakukan,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam masa yang sama, Hamzah turut menjelaskan bahawa pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kini dalam peringkat perbincangan untuk mengurangkan kompaun kepada Ahli Parlimen yang berkumpul pada 2 Ogos lalu.

“Tidak ada dua darjat antara Ahli Parlimen dengan rakyat lain yang berkumpul sebegitu. Jadi sebab itu kita terpaksa minta maaf, kita bagi kompaun kerana berkumpul yang melanggar undang-undang,” katanya merujuk kepada kadar kompaun RM3,000 akan dikurangkan.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut tidak mampu menenangkan keadaan, apabila Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mempersoal mengapa kerajaan boleh berkumpul pula di kediaman bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Namun, persoalan itu tidak dijawab dan diteruskan dengan sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) yang sepatutnya bermula 10 pagi tadi.

Selepas hampir satu jam isu tersebut menjadi pertikaian di Dewan Rakyat, Azhar kemudian tidak lagi membenarkan mana-mana wakil rakyat mencelah dan meminta sesi MQT diteruskan. FMT

Dewan Rakyat kecoh isu sekatan masuk bangunan Parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker