Rasuah lebih teruk dari daging babi – Ayob Khan

Rasuah lebih teruk dari daging babi – Ayob Khan

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan rasuah boleh diumpamakan lebih jijik daripada daging babi yang haram dimakan oleh orang Islam kerana daging haiwan tersebut masih boleh dimakan dalam keadaan darurat tetapi tidak untuk rasuah.

Ketua Polis Johor itu berkata, kebanyakan orang Islam akan memandang terlalu jijik terhadap daging babi yang diharamkan tetapi tidak beranggapan demikian apabila melihat perbuatan rasuah dan sanggup memakan hasil daripadanya.

“Saya suka mengambil persamaan paling mudah. Bagi orang Islam, daging babi haram, tengok pun mereka tak mahu tetapi apabila melibatkan rasuah okey.

“Sebenarnya daging babi dalam keadaan darurat boleh dimakan tetapi rasuah dalam keadaan apa pun tidak boleh makan,” katanya dalam temubual bersama Radio SPRM yang disiarkan di Facbeook SPRM hari ini sambil menambah pesanan tersebut adalah untuk semua pihak kerana rasuah juga melibatkan orang awam.

“Saya dah buat perbandingan macam itu, kalau tak paham juga tidak tahulah. Tidak mahu tengok betapa jijiknya rasuah itu. Saya tidak tahu apa lagi perumpamaan yang saya boleh bagi,” katanya.

Ditanya mengenai alasan gaji dan elaun rendah digunakan untuk mengambil rasuah, Ayob Khan berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan kerana seseorang anggota atau pegawai polis telah mengetahui berapa gaji dan elaun yang akan diperoleh apabila menyertai pasukan itu.

“Kita dah tahu daripada awal apabila masuk polis, inilah gaji dan elaun kita. Perkara dah nampak daripada awal,” katanya.

Beliau bagaimanapum sangat memandang tinggi anggota dan pegawai polis dahulu yang bekerja dalam keadaan susah dan tenaga kerja tidak mencukupi tetapi masih boleh mengekang diri daripada mengambil rasuah.

“Dulu jadi pegawai penyiasat nak buat laporan siasatan kena pakai mesin taip. Kalau di daerah-daerah hanya ada seorang petugas sahaja berbanding sekarang ada enam orang untuk menjalankan pelbagai tugas,” katanya.

Katanya, keadaan sememangnya boleh berubah dan perkara tersebut boleh diperkemaskan lagi terutama dari melibatkan kos kehidupan dan kebajikan anggota di bandar-bandar besar.

“Kalau nak kata kita makan rasuah sebab gaji dan elaun kita rendah, itu sebenarnya hanya mengikut nafsu. Kita kena berbelanja atau cara hidup kita sesuai atau tidak dengan gaji kita,” katanya

Beliau berkata, kalau seseorang itu telah mengetahui gajinya tidak seberapa tetapi masih mahu berbelanja besar seperti sering menukar telefon bimbit dan kereta, sudah tentu kemampuan kewangan mereka akan terhad.

“Saya dahulu baru masuk polis sebagai kadet ASP, saya beli kereta Proton Saga terpakai. Saya pakai selama 10 tahun dan kemudian beli satu lagi kereta Honda Civic terpakai. Juga saya pakai 10 tahun dan kemudian baru tukar dengan kereta baru Toyota Wish. Itu juga pakai 10 tahun,” katanya.

Katanya, perbelanjaan atau gaya hidup seseorang semestinya mengikut kesesuaian dan kemapuan gaji pendapatan seseorang dan tidak boleh sesekali berbelanja di luar kemampuan.

Bagaimanapun, Ayob Khan tidak menolak gaji dan elaun anggota dan pegawai polis masih boleh dikaji terutama yang bertugas di bandar-bandar besar yang perlu sesuai dengan kos sara hidup di kawasan tersebut.

“Saya ambil contoh di Johor Bahru (JB), sewa rumah memang tinggi. Elaun sewa rumah anggota hanya RM300 dan pegawai RM450. Macam mana mereka nak hidup di JB atau lain-lain bandar besar.

“Mungkin anggota atau pegawai di JB dan bandar besar lain perlu diberi elaun rumah sebanyak RM1,000 lebih. Tetapi tidak bolehlah diberi elaun sebanyak itu di semua tempat,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu melihat semula isu-isu berkaitan logistik, perumahan, gaji dan elaun petugas keselamatan di negara ini.

“Misalnya, kita hendak bandingkan perkhidmatan kita dengan polis Singapura. Kita tengok gaji , elaun mereka sangat jauh berbeza. Bukan kita hendak membandingkan gaji kita dengan mereka tetapi ada isu-isu kebajikan anggota polis yang masih boleh diperbaiki,” tambahnya. Utv

Rasuah lebih teruk dari daging babi – Ayob Khan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker