Kita mungkin hidup selamanya dengan Covid-19

BULAN Ogos sepatutnya menjadi bulan kebanggaan. Inilah bulan kemerdekaan dan bulan kebangsaan yang setiap tahun disambut dengan penuh meriah. Ia menjadi satu bulan yang makin mengeratkan rukun rakyat Malaysia.

Namun, krisis penyakit tiga serangkai telah membawa lara kepada hati banyak rakyat Malaysia. Di saat kita bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, negara juga berdepan dengan kemelut politik dan krisis ekonomi.

Ironinya, bulan kemerdekaan sepatutnya membawa makna kebebasan, namun pada bulan inilah rakyat Malaysia paling ‘terjajah’ dengan kes Covid-19.

Sedar atau tidak sepanjang bulan Ogos ini, angka kes Covid-19 negara ‘bermain’ di sekitar angka 15,000 hingga 24,000 kes. Secara purata dalam bulan merdeka ini, kes harian Covid-19 di Malaysia ialah 20,456 kes.



Angka yang tinggi itu membawa kepada banyak persoalan dan perdebatan. Ada yang berpendapat, tidak perlu menjadi kebimbangan kerana walaupun kes dicatatkan tinggi, namun kita menyaksikan pesakit yang mengalami simptom teruk tahap 4 dan tahap 5 telah berkurangan. Ia adalah hasil kejayaan program vaksinasi.

Pendek kata, kes Covid-19 akan tetap ada tetapi simptom teruk serta kes maut akan berkurangan. Namun, ramai yang bertanya sampai bila kita akan hidup dengan Covid-19? Dan adakah kita akan mampu melandaikan graf Covid-19 seperti yang pernah dilakukan pada tahun lalu?

Vaksinasi 80 peratus

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, dunia mahupun Malaysia akan hidup dengan Covid-19 untuk selamanya.



“Selagi program vaksinasi kita tidak mencapai 80 peratus, sekarang ini angka positif tinggi sebab kita ada varian delta. Kalau dulu mungkin 70 peratus sahaja tetapi sekarang capaian vaksinasi kena 80 peratus ke atas.

“Sebab varian delta ini tidak peduli ada vaksin atau tidak. Sama sahaja boleh dijangkiti. Jadi sekarang ini kita kena fokus kepada meningkatkan vaksin,” katanya.

Setakat ini, berdasarkan berdasarkan data John Hopkins, lebih satu bilion penduduk telah menerima suntikan vaksin.

 



Dr Sazaly
Dr Sazaly

 

Di Malaysia, hampir 60 peratus populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.Setakat Rabu berdasarkan data Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), penerima individu dewasa lengkap dua dos vaksin mencapai 59.1 peratus atau lebih 13.84 juta dos telah diberikan.

Biarpun begitu, rekod lima angka kekal sejak lebih sebulan lalu dengan 24,599 kes positif adalah angka harian tertinggi.

Berdasarkan unjuran permodelan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Julai menjangkakan negara sepatutnya mencapai kes harian 24,000 pada September depan.



Bagaimanapun jumlah kes berkenaan muncul pada Khamis (26 Ogos), iaitu lima hari sebelum memasuki bulan September.

“Jangkaan saya akan sampai 30,000 kes sehari kalau kita terus longgarkan sekatan. Sekarang ini pelbagai sektor telah dibuka. Belum lagi sekolah dibuka,” kata Dr Sazaly.

Agak membimbangkan katanya, negeri selain Selangor juga turut menyaksikan lonjakan kes terutamanya di Sabah, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

Sedangkan Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah sudah berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara manakala Sarawak berada pada Fasa 3.



“Kita tidak belajar. Kalau kita kena patuk ular, dari lubang yang sama, bodoh namanya. Dari dulu, apabila kita buka pelbagai sektor, jangkitan menular kembali.

“Bila kita longgarkan sekatan ketika vaksinasi belum mencapai tahap optima, jadi kita berdepan dalam keadaan seperti hari ini. Selagi kita tidak sampai 80 peratus vaksinasi, keadaan ini akan berterusan,” tambah Sazaly.

Mutasi virus

Biarpun begitu, di sebalik rekod harian yang tinggi, kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Lembah Klang sudah semakin berkurangan susulan vaksinasi mencapai 60 peratus.



Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan lebih nyata dapat dilihat dalam seminggu atau dua minggu lagi, selain penurunan kes penularan wabak itu.

Bagaimanapun tegasnya, di negeri lain seperti Kedah, Johor, Kelantan dan Sabah dilihat kes meningkat kerana vaksinasi masih di bawah 50 peratus.

Sebuah portal antarabangsa, The Atlantic pada 18 Ogos lalu juga mendedahkan penduduk dunia akan hidup bersama virus Covid-19 lebih lama dan kemungkinan sehingga selamanya.

“Virus Covid-19 akan berubah mengikut masa. Oleh kerana semakin banyak orang mendapat kekebalan melalui vaksinasi, koronavirus akan berusaha mencari cara untuk menembusi kekebalan itu.

“Sama seperti selesema yang bermutasi setiap tahun sebagai tindak balas terhadap kekebalan yang ada,” kata ahli biologi dari Universiti Chicago, Sarah Cobey.

Jumlah kes pada bulan Ogos 2021

1 Ogos 17,150 kes

2 Ogos 15,764 kes

3 Ogos 17,105 kes

4 Ogos 19,819 kes

5 Ogos 20,596 kes

6 Ogos 20,889 kes

7 Ogos 19,257 kes

8 Ogos 18,688 kes

9 Ogos 17,236 kes

10 Ogos 19,991 kes

11 Ogos 20,780 kes

12 Ogos 21,687 kes

13 Ogos 21,468 kes

14 Ogos 20,670 kes

15 Ogos 20,546 kes

16 Ogos 19,740 kes

17 Ogos 19,631 kes

18 Ogos 22,242 kes

19 Ogos 22,948 kes

20 Ogos 23,564 kes

21 Ogos 22,262 kes

22 Ogos 19,807 kes

23 Ogos 17,672 kes

24 Ogos 20,832 kes

25 Ogos 22,642 kes

26 Ogos 24,599 kes

27 Ogos 22,070 kes

28 Ogos 22,597 kes

PURATA KES BULAN OGOS

572,779 / 28 = 20,456

Kita mungkin hidup selamanya dengan Covid-19


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kakitangan KKM Meninggal Dunia Akibat Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker