PN kerajaan termuda di dunia, ‘bravo, very good’

KUALA LUMPUR: Politik negara sepatutnya matang, namun saban hari isu 222 kerusi Parlimen menjadi perhatian di mana berlaku lompat-melompat dan pertelingkahan politik yang tidak reda, sedang ada tadbir urus mesti dilakukan.

Pakar Ekonomi, Prof Dato’ Dr Amir Hussin Baharuddin membidas keadaan buruk yang berlaku sepanjang pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu lalu dibandingkannya dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas 6 bulan mentadbir.

Beliau berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

“Jawapannya ringkas sahaja, ‘Bravo, very good! Beranilah.’ Saya membawa bandingan kerana pada Mei 2018, harapan kita telah ditonjolkan, dihalakan kepada harapan dari Pakatan Harapan 22 bulan. Di hujung 22 bulan, dia hilang harapan. Negara dikonteng-konteng 8 hari suntuk tak ada kerajaan, tak ada Kabinet, tak ada Perdana Menteri, 8 harilah.

“Sampailah 1 Mac baru (wujud) Perikatan (Nasional). Tapi kebetulan pada masa itu dunia digugat oleh COVID-19 yang tindakan kalau kita tak ambil, dia akan menjahanamkan, mengorbankan nyawa yang banyak. Pada hari ini, berapa orang Malaysia yang mati? 130 orang. Di Amerika berapa mati? 198,000 (orang). Jangkitan di Amerika pada hari ini berapa? 3.5 juta orang.

“Apa lagi rakyat nak lihat kalau tak nyawa mereka. Duit semua tak ada guna tuan-tuan, saham tak ada guna, kalau esok kita masuk wad, lusa kita mati. Tak ada makna. Apa yang tuan-tuan kejar, apa yang parti-parti ini kejar adalah sepatutnya umat, nyawa dan rakyatnya,” tegasnya.

Katanya, walaupun Kerajaan PN bermula pada 1 Mac, tetapi telah bertindak menutup ekonomi pada 18 Mac di mana langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan parti-parti yang bersamanya itu disifatkan sistematik dan berwawasan 2030.

Jelas bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, Muhyiddin dengan parti-parti yang bersamanya telah mengorak langkah walaupun merupakan kerajaan paling muda di dunia ketika ini dan berharap tidak ada pihak cuba membebankan kerajaan ini.

Malah, beliau tanpa menyebut secara khusus kepada mana-mana pihak telah mengingatkan untuk tidak berada di Parlimen tanpa mempunyai sebarang agenda dan merasa bangga dengan debat-debat yang berlaku.

“Kita mungkin tidak sedar tetapi apa yang telah dibuat oleh Kerajaan PN adalah suatu pendekatan Keynesian yang berani, menyeluruh dan berhemat dengan langkah-langkah yang proaktif anti-cyclical yang kukuh berdasarkan pengalaman dunia sejak tahun 1933.

“Negara lain yang lokek dan konservatif yang tidak mahu memberi subsidi dan sokongan harga kepada rakyat sendiri atau yang mempolitikkan subsidi dan sokongan kuasa beli rakyat tidak akan dapat bertahan lama kerana pengeluaran firma menjana pekerjaan.

“Pekerjaan adalah perlu untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli negara atau rakyat. Subsidi kuasa beli atau pendapatan atau subsidi upah untuk ‘menghidupkan’ firma SME itu adalah langkah proaktif yang tepat untuk mengaktifkan ekonomi Malaysia!

“Metod PN yang menunaikan janji ekonomi negara melalui program PRIHATIN dan langkah-langkah pakej PENJANA adalah tepat untuk zaman Covid-19 yang sudah bersama dunia sejak November 2019 dulu.” ujarnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) petiknya, menyatakan bahawa COVID-19 akan terus wujud sehingga lima tahun lagi, iaitu tahun 2024 atau di hujung tempoh penggal PRU 14 ini, namun setakat ini ekonomi Malaysia telah selamat.

PN puji beliau, telah memimpin hal ehwal ekonomi, sosial dan politik Malaysia dengan baik dan konstruktif ke arah negara yang bersatu, stabil dan dihormati dunia dengan rakyat meyakini pentadbiran Kerajaan PN.

Beliau memuji kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya berbeza dari Perdana Menteri sebelum-sebelumnya selain memperincikan 10 pencapaian PN sebagai kerajaan termuda di dunia. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker