Banjir Yan: Punca dari pembersihan tanah – Aktivis

Banjir Yan: Punca dari pembersihan tanah – Aktivis

YAN: Banjir besar di Yan, Kedah, semalam berpunca daripada penebangan hutan berdasarkan arus air banjir berlumpur dari Gunung Jerai yang menenggelamkan seluruh bandar, kata seorang aktivis.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata, kawasan Yan terdedah kepada banjir tetapi tahap banjir semalam dan kawasan yang terjejas “mencipta sejarah”.



“Video dan gambar yang kami lihat sangat mengerikan. Lumpur yang datang dari Mukim Singkir menandakan terdapat pembangunan besar berlaku di kawasan itu.

“Air banjir takkan berwarna lumpur kalau tiada penebangan pokok dan pembersihan tanah dilakukan sewenang-wenangnya. Jika kawasan itu berhutan, takkan dapat (air banjir berwarna) ‘teh tarik’. Ini adalah isyarat daripada alam sekitar,” katanya kepada FMT.

Meenakshi berkata, kerajaan negeri mesti menjelaskan sama ada terdapat penebangan pokok di bukit atau jika kuari yang beroperasi di sana boleh menyebabkan banjir lumpur.

Katanya, semua kegiatan pembangunan di daerah itu harus dihentikan sementara untuk menyemak kepatuhan terhadap rancangan pembangunan daerah Yan.



Meenakshi berkata, SAM dan penduduk tempatan telah membawa kerajaan Kedah ke mahkamah berhubung kesahihan kuari tanah di sana beberapa tahun lalu tetapi mahkamah tidak memihak kepada mereka.

Katanya, audit semua pembersihan tanah di daerah itu sepatutnya didedahkan kepada umum.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, dalam taklimat awal kepada media mengenai situasi banjir berkata, banjir berkenaan berasal dari hutan simpan Gunung Jerai.

Beliau menafikan dakwaan yang tular di laman sosial mengatakan banjir melibatkan beberapa kawasan kampung dan taman perumahan itu disebabkan aktiviti pembalakan.



Sebaliknya ia disebabkan oleh fenomena kepala air yang berlaku di kawasan puncak gunung itu, tambahnya.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai mengakibatkan air mengalir laju turun ke kaki gunung dan memecahkan tebing sungai.

Penduduk yang sedang menjalani kuarantin Covid-19 terpaksa ditempatkan di tempat lain. Seramai 14 lagi mangsa yang positif Covid-19 turut dipindahkan.



Setakat operasi 1 pagi tadi, tiga mangsa ditemui maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.

Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa hilang itu, diteruskan pada 8.30 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, tiga mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu merupakan antara 22 penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana itu. FMT



Banjir Yan: Punca dari pembersihan tanah – Aktivis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya tak perlu letak jawatan – Pengerusi Mara



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker