Najib dakwa PN dalang di sebalik petisyen kepada Agong

Selepas kemunculan tiba-tiba sebuah pertubuhan menghantar petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja buat Najib Razak, bekas perdana menteri itu memberitahu dia tidak pernah dimaklumkan mengenai rancangan tersebut.

Malah Najib mengaitkan kejadian tersebut dengan Perikatan Nasional (PN) dan memberi gambaran gabungan terbabit adalah dalang di sebalik serahan petisyen berkenaan.

Alasan Najib: penyerahan petisyen berkenaan dijadikan laporan utama sebuah portal berita yang didakwa dekat dengan gabungan PN yang kini menjadi kerajaan.

“Saya berterima kasih pada NGO itu sebab mengambil berat pada saya, tetapi saya tak pernah berhubung dengan mereka dan tidak diberitahu tentang petisyen mereka kepada Istana Negara pagi tadi,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Pagi tadi sekumpulan lelaki yang menggelarkan mereka sebagai Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong agar memberikan pengampunan diraja terhadap Najib yang sebelum ini disabitkan bersalah di mahkamah tinggi.

Menurut PSUAM permohonan itu dibuat bagi membolehkan Najib dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Ia dibuat ketika kedudukan Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri kian diragui ekoran langkah sebahagian ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada presiden Bersatu berkenaan.

Najib merupakan salah seorang tokoh Umno yang paling lantang mengkritik Muhyiddin dan PN.

Berani kerana benar

Menurut Najib dia sekali lagi menegaskan agar semua kes yang dikaitkan dengannya dibicarakan di mahkamah kerana ia adalah satu-satunya cara untuk namanya dibersihkan.

“Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu sahaja dan saya tidak mahu apa-apa campur tangan politik.

“Saya amat yakin saya tidak bersalah,” katanya.

Justeru tambah Najib tidak ada perlunya dia diampunkan kerana tidak melakukan kesalahan.

“Berani kerana benar,” katanya.

Pada 7 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik dari SRC International Sdn Bhd.

Kes itu kini dibicarakan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada masa sama Najib juga berdepan dengan pertuduhan menyalahgunakan RM2.6 bilion milik 1MDB, selain didakwa mengubah laporan audit syarikat milik penuh kerajaan itu.

Najib juga sedang berdepan dengan tuntutan pembayaran cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri membabitkan nilai sebanyak RM1.69 bilion


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PM letak jawatan segera atau bubar Parlimen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker