Malaysia paling teruk dibadai Covid-19 di Asia Tenggara

Malaysia paling teruk dibadai Covid-19 di Asia Tenggara. SEJAK bulan September tahun lalu Malaysia dilanda gelombang ketiga Covid-19 dengan dahsyatnya.

Selepas berbulan-bulan langkah kawalan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0), total lockdown sehinggalah kepada PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur, graf kes harian Covid-19 masih gagal dilandaikan.

Lebih gawat, angka kes harian semakin hari semakin tinggi dengan rekod tertinggi setakat ini ialah 13,215 kes pada Khamis (15 Julai).



Secara total Malaysia setakat 15 Julai juga sudah mencatatkan 880,782 kes positif Covid-19.

Walaupun dari segi jumlah keseluruhan kes, Malaysia jauh lebih rendah daripada Indonesia dan Filipina, namun berdasarkan relatif populasi, Malaysia merupakan negara paling teruk di Asia Tenggara yang dibadai Covid-19.

Petugas kesihatan mengusung pesakit Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kecemasan ketika tinjauan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam pada Rabu.
Mengikut laporan data kes Covid-19 daripada Worldometer (setakat 13 Julai), Malaysia berada ditangga teratas kes Covid-19 dalam kalangan satu juta populasi penduduk.

Data tersebut menunjukkan di Malaysia seramai 26,102 orang dijangkiti Covid-19 dalam kalangan sejuta penduduk.



Berbanding di Indonesia walaupun kes di negara itu sudah mencecah 2,615,529, namun dengan populasi penduduk 111,081,731 orang, maka jumlah kes dalam satu juta penduduknya cuma 9,459.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan namun sepatutnya menjadi kebimbangan kerana saban hari kita melihat kes semakin meningkat dan sistem kesihatan semakin lumpuh.

Walaubagaimanapun di peringkat Asia, negara-negara di Asia Barat jauh lebih teruk dibadai Covid-19 contohnya, di Bahrain 151,752 penduduknya dalam 1 juta populasi dijangkiti Covid-19 manakala di Kuwait 87,435 kes dalam satu juta populasi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, bukanlah sesuatu yang mengejutkan Malaysia mendahului jumlah kes dalam populasi kerana kadar kes positif negara ini lebih tinggi.



“Jika kita nak bandingkan jumlah kes, kita kena ikut kadar kepada ‘denominator’ kepada populasi sesuatu negara dan bukan jumlah kes. Kita juga harus lihat kadar berdasarkan jumlah populasi sesebuah negara itu.

“Kalau kadar kes Covid-19 daripada satu juta populasi negara ini lebih tinggi dari India dan Indonesia, saya tidak terkejut kerana kadar pesakit yang terkena jangkitan sangat tinggi dan sistem kesihatan kini agak tenat,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah, tambahnya kes terkini bukanlah menggambarkan jumlah kes sebenar di mana ia masih boleh bertambah terutamanya apabila lebih banyak ujian saringan dilakukan.

“Jumlah kes sekarang bukanlah menggambarkan kes sebenar dan diibaratkan seperti ‘tip of the icerberg’ di mana jumlah kes sebenar mungkin lebih tinggi daripada dicatatkan,” katanya.



Petugas kesihatan memantau kehadiran orang ramai yang menunggu untuk mendapatkan penilaian jangkitan Covid-19 di CAC Dewan Sukan Klang, Taman Sri Andalas pada Rabu.
Beliau berpendapat kadar jangkitan dalam komuniti sangat tinggi di mana jika ujian dilakukan terhadap 10 orang secara rawak, satu atau dua orang akan disahkan positif.

“Mengapa kes harian di Selangor atau Kuala Lumpur lagi tinggi? Kerana jumlah ujian saringan dibuat di kawasan ini meningkat supaya dapat kenal pasti siapa yang positif dan asingkan mereka,” katanya.

Vaksinasi paling penting

Marzuki berkata, apa yang paling penting ketika ini adalah mempercepatkan vaksinasi dan sejak awal Julai lalu, Malaysia telah menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah vaksin harian.



Tambahnya, berapa lama masa yang perlu diambil untuk kes stabil dan dianggap selamat untuk membuka balik sektor ekonomi juga bergantung kepada kadar vaksinasi negara.

“Jika negara mencatatkan 10,000 kes sehari namun rakyat sudah divaksinkan dengan lengkap, kita tidak perlu risau untuk buka sektor ekonomi.

“Semua bergantung berapa banyak peratusan rakyat yang telah divaksinasikan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia kini merekodkan satu per empat populasi yang divaksin sekurang-kurangnya satu dos suntikan.



Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, situasi Malaysia yang mencatatkan kes tertinggi di Asia Tenggara dalam satu juta populasi negara itu adalah situasi yang membimbangkan.

“Kita patut risau dengan situasi tersebut di mana kes kematian banyak, kemudahan kesihatan kerajaan di Lembah Klang melebihi keupayaan, tenaga kerja kesihatan terbeban dan rakyat tertekan akibat ‘terkurung’ lama,” katanya.

Tambah beliau, kematian dan kes harian dianggarkan mempunyai tiga ke empat kes bagi setiap kes yang dilaporkan dan terdapat beberapa faktor yang memberi kecenderungan terhadap kenaikan kes Covid-19 di Malaysia.

“Pertama, pembukaan sektor yang tidak fokus kepada risiko kluster. Kedua, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diberi kelonggaran dan kelemahan dalam pengesanan kontak dan pengurusan kuarantin.

“Ujian saringan tidak sistematik dan rakyat sudah letih. Tindakan sewajarnya yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membendung penularan kes Covid-19 adalah pemantauan kes komuniti, ujian bersasar dan vaksinasi,” katanya

INFO

Jumlah kes Covid-19 dalam 1 juta populasi negara di Asia Tenggara:

1. Malaysia – 26,102 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 855,949, jumlah populasi penduduk 32,792,722)

2. Filipina – 13, 373 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 1,485,457, jumlah populasi penduduk 111,081,731)

3. Singapura – 10,649 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 62,804, jumlah populasi penduduk 5,897,743)

4. Indonesia – 9,459 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 2,615,529, jumlah populasi penduduk, 276,501,500)

5. Timor Leste – 7,369 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 9,906, jumlah populasi penduduk 1,344,245)

6. Thailand – 5,188 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 363,029, jumlah populasi penduduk 69,980,620)

7. Kemboja – 3,752 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 63,615, jumlah populasi penduduk 16,957,003)

8. Myanmar – 3,674 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 201, 274, jumlah populasi penduduk, 54,785,670)

9. Laos- 403 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan, 2,976, jumlah populasi penduduk 7,385,154)

10. Vietnam – 360 kes dalam 1 juta populasi negara

(Jumlah kes keseluruhan 35,409, jumlah populasi penduduk 98,240,624)

(Sumber: Laporan Kes Koronavirus, Worldometers.info setakat 13 Julai 2021)

* Brunei memiliki seramai 437,479 populasi penduduk

Malaysia paling teruk dibadai Covid-19 di Asia Tenggara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker