Zon batu kapur bagaikan bom jangka

Zon batu kapur bagaikan bom jangka

Sekurang-kurangnya lima zon batu kapur berkeluasan ratusan ribu hektar di negara ini dipercayai tidak stabil sehingga boleh mengundang risiko batuan runtuh sekiranya pihak berkuasa terus membenarkan pembinaan kediaman dan infrastruktur kekal, termasuk tempat rekreasi.

Ini kerana landskap formasi batu kapur sering terdedah kepada pergerakan struktur dan sebarang pergerakan minimum walaupun hanya membabitkan dua milimeter (mm), berisiko menyumbang kepada insiden runtuhan yang boleh mengancam nyawa.



Pakar keselamatan landskap batu kapur, Datuk Zakaria Mohamad mendedahkan, beberapa kawasan bukit kapur di negara ini dikesan diceroboh dengan sewenang-wenangnya oleh orang ramai, termasuk membabitkan pembinaan kediaman dan industri haram sehingga ia ibarat ‘bom jangka’.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu melaksanakan garis panduan kawalan pembangunan yang lebih ketat serta seimbang ke atas kawasan batu kapur dengan menguatkuasakan jarak selamat sekurang-kurangnya 200 meter untuk tujuan pembinaan dan pembangunan.

“Penempatan di kawasan bukit kapur membawa risiko yang tinggi dan sepatutnya tiada sebarang pembinaan setinggan, antaranya rumah ibadat atau perniagaan haram di kawasan ini.

“Walaupun landskap batu kapur menampilkan kecantikan alam, ia membawa risiko yang besar untuk tempat kediaman berciri kekal. Ini kerana ciri berpori, satah retakan, sesar dan larut batu kapur boleh menyebabkan pembentukan rongga bawah tanah, mencipta asas yang tidak stabil untuk struktur.



“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus menguatkuasakan peraturan mengenai penepatan kekal di sekitar kawasan ini,” katanya kepada BH.

Antara landskap batu kapur yang dikenali di negara ini ialah Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Geopark Langkawi, Kedah; Gunung Kanthan di Lembah Kinta, Perak dan Batu Caves di Gombak, Selangor.

18 laporan kejadian runtuh

Terdapat kira-kira 18 laporan kejadian runtuhan batu di landskap batu kapur antara 1919 hingga 2022 di Lembah Kinta, yang menyebabkan 59 mangsa terkorban selain kerosakan harta benda awam.



Selain itu, insiden batuan runtuh juga dikesan berlaku di banjaran hotspring resort di Tambun yang menyebabkan dua kematian pada 10 November 2020, selain di Park Cave Temple pada 12 Januari 2009, mengorbankan seorang mangsa dan dua cedera.

Jatuhan batuan membabitkan blok batuan yang besar seberat 23,000 tan berlaku di Gunung Cheroh, menyebabkan 12 kematian dan kerosakan rumah kediaman dan rumah kedai berdekatan pada 18 Oktober 1973.

Zakaria yang juga bekas Pengerusi Lembaga Ahli Geologi Malaysia (LAGM) dan Pengerusi Eksekutif Geomapping Technology berkata, beberapa insiden di kawasan batu kapur menunjukkan keperluan penyelidikan berterusan dan kemajuan dalam kajian geologi.

Beliau berkata, ia penting untuk menyumbang kepada pemahaman lebih baik mengenai formasi batu kapur sekali gus membantu dalam pembangunan strategi untuk mengurangkan risiko yang mungkin timbul dan memastikan keselamatan komuniti.



Katanya, selain itu ciri geologi unik landskap batu kapur menyumbang kepada pembentukan sistem gua yang rumit, turut menyumbang kepada bahaya tambahan.

“Sifat dinamik struktur batu kapur yang rentan terhadap hakisan dan runtuhan, menuntut pertimbangan berhati-hati dalam perancangan guna tanah dan pembangunan infrastruktur.

Zakaria berkata, bahan mentah daripada batu kapur juga diperlukan bagi industri farmaseutikal, pembangunan, industri kosmetik, produk isi rumah dan simen.



Beliau berkata, pengeluaran batu kapur untuk pembuatan simen tidak hanya mendorong aktiviti ekonomi tetapi juga memberikan sumbangan besar kepada pembangunan infrastruktur di mana sektor pembinaan yang bergantung pada simen berkembangan dengan ketersediaan sumber daya batu kapur ini.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk mengimbangi aktiviti pemuliharaan dan aktiviti sosioekonomi yang dijalankan di kawasan batu kapur. Syarikat terbabit dalam pembangunan ini perlu bertanggungjawab memastikan keseimbangan berkenaan.

“Keseimbangan pemeliharaan formasi batu kapur dengan langkah keselamatan adalah penting untuk memastikan kesejahteraan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan geologi itu,” katanya.

Beliau berkata, kajian juga perlu dilaksanakan secara berkala, khususnya dalam mengemas kini pemetaan zon bahaya dan ancaman tanah runtuh supaya kawalan dalam aspek pembangunan boleh dilaksanakan.



Memberikan contoh kawasan batu kapur berisiko tinggi di Lembah Kinta, Perak yang mempunyai tebing tinggi dan ciri geologi rencam, beliau berkata strategi kawalan pembangunan di kawasan itu sangat diperlukan.

“Jika berada di tebing menegak, ia boleh menyebabkan tahap bahaya yang sangat tinggi dan perlu diadakan strategi kawalan pembangunan, selain tiada aktiviti penempatan berdekatan di kawasan bukit batu kapur itu.

“Usaha meningkatkan penyelidikan landskap batu kapur perlu ditingkatkan dengan harapan supaya dapat merancang pelan kelestarian dengan keseimbangan zon konservasi, pembangunan industri dan zon rekreasi yang jelas berdasarkan fakta sains fizikal, sosial dan budaya setempat.

“Usaha sama pertama penyelidikan sebegini antara YTL Cement dan Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan untuk memanfaatkan potensi kerjasama akademia-industri demi mencapai matlamat kelestarian.” katanya. BH

Zon batu kapur bagaikan bom jangka

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kes guru dicerai suami kerana ‘gagal bertukar’, KPM hentikan penempatan ‘paksa’ – Pakar Pendidikan

Polis buru samun ‘ala mafia’ di Klang [VIDEO]

Ini sebab mengapa MRSM dan SBP perlu dihadkan untuk tingkatan 4 dan 5 – Majlis Profesor Negara

Meerqeen, Anna kekal tersenarai 100 wajah terkacak, cantik di dunia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker