Bekas atlet boling negara bergelar pelakon

Bekas atlet boling negara bergelar pelakon

Tidak bermimpi bergelar pelakon, bekas atlet tenpin boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 30, tidak menyangka dapat menerokai pengalaman baharu selepas membuat keputusan bersara, tahun lalu.

Syaidatul Afifah memulakan kerjaya sebagai pemain boling seawal usia 9 tahun dan menjadi wakil negara selama 11 tahun mengakui, dia meninggalkan sukan berkenaan kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu selepas dua dekad mencurahkan keringat dunia sukan.



Namun, katanya, tidak pernah langsung terlintas di fikiran bergelar pelakon selepas persaraan. Bagaimanapun, tatkala menerima tawaran syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd membintangi drama berkaitan sukan boling berjudul Ratu Ten Pin, Afifah tidak mampu menolaknya.

“Saya tidak berhasrat terjun dalam bidang lakonan. Saya merancang menubuhkan akademi boling untuk remaja di bawah 18 tahun dalam tempoh lima tahun daripada sekarang.

“Saya bukan seorang pelakon, tetapi saya sahut cabaran ini. Ini kerana saya tidak berpeluang menerokai bidang lain selama 20 tahun. Jadi, saya inilah masa yang bertepatan apabila menerima tawaran ini.

“Saya anggap tawaran Sheila Rusly seperti satu cabaran baharu. Sebelum ini, saya memikul cabaran besar mewakili Malaysia untuk bermain sukan boling, jadi kenapa saya tidak boleh sahut cabaran dalam bidang lakonan?.



“Lagipun, saya tidak tahu peluang berkaitan dengan bidang lain akan diterima, jadi saya terus bersetuju apabila melihat tema drama Ratu Ten Pin berkaitan dengan boling,” katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Perak itu berkata, dia puas hati dengan mutu lakonannya walaupun tidak 100 peratus, biarpun kali pertama beraksi di hadapan layar kaca.

Namun, katanya, tanpa tunjuk ajar Sheila dan rakan pelakon seperti Elisya Sandha, Nazim Othman dan Fify Azmi mungkin agak sukar menghayati watak Sandra.

“Saya memang tiada ilmu lakonan, ditambah pula membawakan watak yang langsung tidak memiliki persamaan dengan saya kecuali kebolehan bermain boling.



“Cabaran menghidupkan watak Sandra cukup tinggi kerana saya perlu bermain dengan emosi, marah, sombong, menangis dan penyesalan.

“Semua ini tidak mampu untuk dihayati sekiranya tiada tunjuk ajar dan bantuan Sheila serta rakan pelakon. Situasi kami lebih kurang menang-menang, di mana mereka mengajar saya mengenai ilmu lakonan, manakala saya pula berkongsi pengalaman dalam dunia boling.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan mutu lakonan hasil tunjuk ajar mereka. Tetapi, selebihnya biarlah penonton yang menilai,” katanya.

Syaidatul Afifah berkata, dia turut berterima kasih kepada JS Pictures menghasilkan drama mengenai sukan boling kerana sebelum ini, hanya drama berkaitan bola sepak, badminton dan takraw sahaja pernah diangkat dalam drama mahupun filem.



Sementara itu, mengulas apakah akan meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan, anak kedua daripada tiga beradik yang mewarisi kepandaian bermain boling daripada bapanya itu berkata, dia akan mempertimbangkan sekiranya ditawarkan watak bersesuaian.

Sepanjang pembabitan dalam dunia sukan, Syaidatul Afifah pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok; pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

Drama Ratu Ten Pin arahan Jinggo bersiaran setiap Isnin hingga Khamis di saluran Astro Ria, jam 11 malam. BH

Bekas atlet boling negara bergelar pelakon




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Moratorium akan tingkatkan kos keseluruhan pinjaman



Dulu curi TV sekarang ikan – Bos Mydin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker