Pampasan buat keluarga mangsa mati ditembak mati polis

Pampasan buat keluarga mangsa mati ditembak mati polis

Keluarga 3 lelaki mati ditembak polis dapat pampasan RM1.52 juta

Mahkamah Tinggi memerintahkan bayaran ganti rugi berjumlah RM1.52 juta kepada anggota keluarga dua pemuda dan seorang remaja yang ditembak oleh polis 10 tahun lalu.

Peguam Zaid Malek yang mewakili keluarga terbabit berkata, ganti rugi am, teruk, teladan dan misfeasans (salah guna kuasa dalam jawatan awam) diperintahkan oleh hakim Khatijah Idris pada Selasa.

Katanya, ahli keluarga Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, Mohd Hairul Nizam Tuah dan Muhammad Hanafi Omar berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 2016 dan seterusnya ganti rugi itu diarahkan ditaksir oleh pendaftar Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan mendapati anggota polis terbabit bertanggungjawab menyebabkan kematian tiga individu itu dalam kejadian tembak-menembak di Glenmarie pada 13 Nov 2010.

“Bagaimanapun, pendaftar hanya memberikan ganti rugi RM207,000 kepada keluarga berkenaan walaupun perbuatan polis terbabit amat serius,” kata Zaid dengan menambah mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap jumlah ganti rugi itu.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi ini, keluarga Shamil, Hairul dan Hanafi masing-masing akan menerima ganti rugi berjumlah lebih RM500,000.

“Sementara itu, keluarga Hairul dan Hanafi masing-masing akan menerima tuntutan tanggungan tambahan RM11,200 serta RM8,000,” katanya.

Hairul dan Hanafi masing-masing berusia 22 serta 21 ketika kejadian, manakala Shamil berumur 15 tahun pada masa itu.

Keluarga mereka memfailkan saman pada 2013 terhadap polis dan kerajaan kerana mendakwa berlaku kecuaian, serangan dan kekerasan.

Dalam pembelaan mereka, polis berkata, tiga pemuda itu disyaki anggota Geng Minyak yang dikaitkan dengan beberapa rompakan stesen minyak.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal keluarga terbabit yang berkata, mereka bertiga tiada rekod jenayah.

Turut dinamakan dalam saman itu adalah anggota polis terbabit, iaitu Azrin Ezahar, Kamarul Zaman Awang dan Khairul Azahar Jali.

Keluarga terbabit mendakwa tiga kematian itu adalah akibat tindakan anggota terlibat dan tanpa sebarang justifikasi.

Keluarga berkenaan turut mendakwa mereka bertiga dibunuh ‘execution style’ kerana peluru menembusi badan mereka pada sudut 45 darjah serta diarahkan ke bawah.

Mahkamah Tinggi menolak saman keluarga berkenaan pada 2015 selepas memutuskan anggota polis terbabit bertindak mempertahankan diri. FMT

Pampasan buat keluarga mangsa mati ditembak mati polis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Apa susah sangat? #tutupkilang – Ashraf Muslim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker