Vaksin: Kerajaan fokus sektor industri beroperasi ketika PKP

Vaksin: Kerajaan fokus sektor industri beroperasi ketika PKP. Kerajaan ketika ini sedang memberi fokus untuk menyelesaikan proses vaksinasi, kepada sektor perindustrian yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan kerajaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan hanya akan melihat kepada sektor lain seperti pelancongan, selepas menyelesaikan proses vaksinasi kepada sektor itu.

“Kita fokus dulu kepada industri yang masih beroperasi waktu PKP. (Ketika ini) banyak kilang terpaksa beroperasi. Selepas itu baharu kita melihat kepada sektor-sektor yang lain.

“Mungkin bila dah sampai ke proses peralihan fasa kedua atau ketiga (Pelan Pemulihan Negara), saya akan bincang semula dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md Ali), mungkin kita akan lihat kepada sektor pelancongan pula seperti hospitaliti, hotel, penarik beca dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat negeri Melaka, yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, beliau menjangkakan PICK di Melaka akan selesai pada November depan, menerusi pertambahan pusat pemberian vaksin (PPV) dan penghantaran dos vaksin yang lebih banyak bermula Julai.

Antara PPV yang akan dibuka bermula Julai ini termasuklah di Yayasan Toh Puan Zarina, PPV pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, tiga PPV di hospital swasta dan 36 di klinik kesihatan, yang akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada 13,000 dos sehari, berbanding purata 7,000 dos sehari ketika ini.

“Saya telah maklumkan kepada Ketua Menteri setakat hari ini, kita hanya hantar secara keseluruhan lebih kurang 200,000 dos vaksin sejak Februari lalu ke Melaka, tetapi untuk Julai sahaja kita akan hantar 368,000 dos.

“Kita cuba untuk menampung permintaan daripada Ketua Menteri, yang sangat prihatin kepada pembukaan semula sektor ekonomi Melaka, memandangkan Melaka banyak bergantung kepada sektor pelancongan, peruncitan dan sebagainya,” katanya. -Bernama

Vaksin: Kerajaan fokus sektor industri beroperasi ketika PKP

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tak rasa malukah Muhyiddin, soal Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker