Timbang semula kompaun RM10,000 – Lam Thye

Lee Lam Thye

Kerajaan harus mempertimbangkan semula kenaikan kadar kompaun sehingga maksimum RM10,000 kerana ia dilihat agak keterlaluan dan membebankan orang ramai.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata meskipun orang ramai boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), ia akan menyukarkan orang ramai, malah membebankan pegawai KKM untuk meneliti setiap rayuan.

“Kami menyokong tindakan tegas yang diambil kerajaan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19, namun tindakan terbabit haruslah dijalankan secara adil.

“Saya ingin mencadangkan kerajaan supaya membina satu sistem atau kaedah yang mana pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun mengikut kadar bilangan kesalahan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, melalui sistem ini kerajaan boleh menyediakan tiga tingkat atau bahagian kesalahan.

“Pihak berkuasa harus menggunakan kebijaksanaan bagi menetapkan jumlah kompaun untuk setiap tingkat atau bahagian kesalahan dengan adil iaitu bagi kali pertama, kedua dan ketiga, iaitu kesalahan serius dan boleh dikenakan kompaun maksimum.

“Masyarakat digesa lebih prihatin terhadap keselamatan mereka, terus patuh kepada SOP dan mengubah mentaliti,” katanya.

Lam Thye berkata, masyarakat harus memakai pelitup muka dan pematuhan aspek penjarakan fizikal bukan kerana undang-undang dan takut dikompaun, tetapi kerana keselamatan diri sendiri.

“Sekiranya orang ramai mengamalkan perkara ini, kompaun sebegini tidak diperlukan lagi.

“Semua penguat kuasa harus menggunakan budi bicara dan pertimbangan yang terbaik ketika menjalankan pemantauan SOP,” katanya.-BH

Berani langgar PKP? Bersedia ‘hadap’ denda RM10,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker