Tarikh sebenar pembukaan Parlimen menjadi tanda tanya

Tarikh sebenar pembukaan Parlimen menjadi tanda tanya

PETALING JAYA: Dua puluh empat jam selepas Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memutuskan bahawa sidang Parlimen perlu disegerakan, tiada sebarang petunjuk yang jelas berhubung tarikh sebenar pembukaan institusi ber­kenaan.

Malah, setakat ini tiada pendirian muktamad mengenai perkara itu dikeluarkan mana-mana wakil kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin kanan kerajaan seolah-olah menunjukkan tiada kesegeraan terhadap pembukaan Parlimen seperti mana dititahkan Raja-Raja Me­layu dalam Perbinca­ngan Khas di Istana Negara kelmarin.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengeluarkan kenyataan bahawa “kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka dan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.”

Takiyuddin dalam satu prog­ram bicara secara maya semalam berkata, pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung persidangan Parlimen tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

“Perkataan digunakan da­lam kenyataan Yang di-Pertuan Agong adalah ‘persida­ngan Par­limen perlu diadakan secepat mungkin’.

“Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.

“Perdana Menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September… sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Ka­nan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam konteks Parlimen, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah menyatakan persidangan akan dilakukan pada masa sesuai supaya proses demokrasi di negara ini dapat disuburkan.

“Beliau (Perdana Menteri) tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang, kita akan bersidang.

“Bagaimanapun, selaku ke­tua majlis, beliau bertindak mengikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan, stan-ding order di dalam Parlimen serta mengikut masa sesuai un­tuk bersidang,” katanya di Pulau Pinang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula menyifatkan Parlimen boleh kembali bersidang sekiranya tidak menjadi punca kepada penularan serta penambahan kes Covid-19.

“Pada masa ini, usaha menangani Covid-19 perlu diberikan keutamaan. Jika sidang Parlimen tidak menyebabkan kes Covid-19 bertambah, saya berpandangan sebaik-baiknya Parlimen kembali bersidang.

“Namun, jika ia boleh membawa kesan atau mudarat, saya lihat tidak perlu dibuka. Apa-apa pun, kita perlu mendapatkan pandangan pakar-pakar terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mengadakan sidang Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

“UMNO juga mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara sedangkan tanpa darurat, kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memang­gil sidang Parlimen diadakan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan nasihat Kabinet jika Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan digantung.

Perkara 40 (1) berbunyi: “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini.”

Untuk melaksanakannya, kata Wan Ahmad Fauzi, Seri Pa­duka boleh menggunakan kuasa darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal ordinan bagi menggantung Perkara 40 (1). – UTUSAN

Tarikh sebenar pembukaan Parlimen menjadi tanda tanya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Raja-Raja Melayu Sudah Bersuara

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker