Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE



Sebaran :

Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE

Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE

“WANITA hari ini boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

“Mereka juga layak mengejar kerjaya impian dan tidak hanya terikat dengan kerja-kerja tipikal yang sering dilakukan wanita pada zaman dahulu,” kata Huda Al-Matroushi, 36, dengan begitu bersemangat.



Huda digelar mekanik wanita pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana menjadi kaum Hawa pertama yang mengusahakan dan memiliki bengkel membaiki kenderaan di negara itu.

Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE

Mempunyai bengkel yang terletak di Sharjah, UAE, kejayaan Huda semakin hangat diperkatakan baru-baru ini apabila video berserta audio panggilan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang menghubungi wanita itu tular.

Dalam talian panggilan itu, Sheikh Mohamed bukan sekadar mengucap tahniah dan meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian wanita itu bahkan berkenan menghantar kenderaannya ke bengkel Huda untuk dibaiki.



Memiliki minat yang amat mendalam terhadap dunia automotif, Huda mengambil keputusan membuka bengkel membaiki kenderaan sendiri pada awal tahun lalu.

Huda telah berusaha mendalami kerja-kerja membaiki kenderaan sejak zaman remajanya dengan mengunjungi bengkel-bengkel membaiki kereta.

Menurut Huda, minatnya terhadap dunia yang dimonopoli golongan lelaki itu mula dipupuk sejak kecil lagi. Biasanya ketika mahu melelapkan mata, dia sering memikirkan bagaimana sesebuah kenderaan berenjin bergerak dan berhenti.



Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE
HUDA menunjukkan kepakarannya membaiki kenderaan di bengkel miliknya di Sharjah, UAE baru-baru ini.

Dek kerana rasa ingin tahu, Huda pernah membuka kereta mainan bagi melihat sendiri pergerakan enjin di dalamnya.

“Saya ingat lagi ketika berusia sembilan tahun, saya dimarahi ayah dan ibu sehingga mereka menghalau saya keluar ke halaman rumah pada lewat malam. Saya dihukum hanya kerana ‘merosakkan’ kereta mainan yang dibeli mereka.

“Pada waktu itu, saya benar-benar ingin tahu bagaimana sesebuah mainan itu berfungsi. Disebabkannya rosak, saya membaikinya sehingga kembali boleh dimainkan,” ceritanya.



Kongsinya lagi, lazimnya, dia meletakkan mainan yang tidak berfungsi bersebelahan dengan mainan yang masih berfungsi bagi mencari punca kerosakan.

“Ketika berusia belasan tahun, saya banyak menghabiskan masa di bengkel kenderaan di sekitar kawasan perumahan bagi mempelajari cara membaiki kenderaan.

“Biarpun amat meminati bidang ini, namun saya tidak mengabaikan pelajaran dan berjaya menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana dalam jurusan pengurusan perniagaan.



“Pada waktu itu, saya percaya jurusan ini mampu membantu saya untuk mengusahakan sebuah bengkel pada satu hari nanti. Ternyata ia benar-benar menjadi realiti,” ujarnya.

Bermula dengan menjadi broker berlesen membaiki kenderaan pada tahun 2017, dia membuka bengkel kenderaannya sendiri, Imex Car Service di Sharjah pada tahun lalu.

Seperkara lagi yang menarik tentang Huda ialah dia masih berhijab dan berpakaian abaya biarpun bekerja membaiki kenderaan.

SPANAR dan kelengkapan membaiki kenderaan lain sudah menjadi ‘teman harian’ Huda.

“Saya berbangga dengan akar budi sebagai wanita Arab dan abaya masih tersarung di badan biarpun semasa bekerja di garaj,” ujarnya.



Kejayaan Huda secara tidak langsung membuka mata rakyat UAE dan masyarakat Arab umumnya bahawa golongan wanita juga mampu melakukan apa sahaja biarpun kepakaran dimiliki mereka sering tidak dipandang.

Meskipun perjalanannya dalam bidang tersebut tampak mudah, namun menurut Huda, dia terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang kadangkala membuatkan dirinya hampir patah semangat.

Lebih-lebih lagi apabila di negaranya tiada seorang pun golongan wanita menceburkan diri dalam bidang tersebut. Huda akui sukar untuk mendapatkan kepercayaan umum.



Bagaimanapun sedikit demi sedikit cabaran tersebut berjaya ditepis dan dia kemudian berjaya membina namanya sendiri, selain meraih kepercayaan umum untuk mendapat khidmatnya.

“Dahulu setiap kali mengetahui saya merupakan pemilik bengkel dan mekanik, ramai yang terkejut kerana tidak pernah lagi wanita UAE yang melakukan kerja-kerja lelaki.

“Ada yang tidak mahu menghantar kenderaan di bengkel saya kerana tidak yakin dengan kebolehan seorang wanita. Pada awalnya saya sedih. Tetapi saya menganggapnya sesuatu yang lucu kerana lelaki-lelaki itu terus bertanya kepada saya hal-hal teknikal berkaitan kenderaan.

“Apabila saya menjawab dan menerangkannya dengan baik, mereka begitu terkejut. Mungkin kerana tidak menyangka saya memang benar-benar tahu selok-belok dunia automotif,” jelasnya.

Setiap bulan, bengkel milik Huda tidak putus-putus menerima kenderaan untuk dibaiki. Apa yang pasti, menurut wanita ini lagi, dia begitu gembira dengan apa yang dilakukannya hari ini dan akan terus kekal komited dengan kepercayaan yang diberikan pelanggan.


HUDA tahu peralatan yang patut digunakan dalam membaiki setiap masalah kenderaan.

Berjaya membaiki kenderaan jenis Land Rover sebagai kereta pertama di bengkel tersebut, wanita ini dilihat begitu merendah diri dan menganggap dirinya bukanlah seorang yang mahir.

“Panggil sahaja saya mekanik yang sedang dalam latihan. Setiap hari saya belajar perkara baharu menerusi percubaan dan kesilapan. Saya tidak malu untuk mengakuinya dan akan belajar memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Menurut Huda, kebanyakan bengkel membaik pulih kenderaan di negaranya berdepan dengan isu yang sama apabila pelanggan sering menjadi mangsa penipuan pemilik bengkel.

Kebiasaannya pemilik bengkel akan menggunakan alat pengganti yang berkualiti rendah tetapi meletakkan harga atau bayaran yang mahal.

Terpukul dengan situasi yang diumpamakan satu lumrah, Huda berazam mahu membuang budaya itu dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di negaranya.

“Sayang sekali, tetapi ini yang mereka lakukan tanpa pernah rasa bersalah. Selalunya mereka akan mengambil kesempatan di atas barang-barang yang tidak diketahui pelanggan.

“Ini adalah trend bengkel kenderaan di negara ini untuk mengaut keuntungan. Mahu mencari pemilik yang jujur, memang begitu sukar.

“Justeru saya menasihati individu untuk jangan sesekali mempercayai apa yang diperkatakan para pemilik bengkel. Sebaliknya, selidiklah terlebih dahulu dan buat perbandingan dengan bengkel-bengkel lain,” nasihatnya.

Biarpun ketika kecil dia sering dimarahi keluarga kerana hobi luar biasanya itu, namun wanita ini bersyukur kerana keluarganya begitu menyokong cita-citanya untuk membuka bengkel kereta.

Ditanya apakah harapannya satu hari nanti, Huda berkata, dia mahu melihat lebih ramai wanita melibatkan diri dalam industri automotif di UAE.

Sementara itu, salah seorang pekerja lelaki di bengkel Huda, Mohammed Halawani berkata, pada awalnya dia juga berasa sangsi apabila melihat seorang wanita mengemudi bengkel membaiki kereta.

“Tetapi apabila saya menyertainya dan bekerja bersama lalu dia mengarahkan saya leraikan itu dan pasangkan ini, ternyata dia seorang yang benar-benar mahir tentang kenderaan,” ujarnya.-KO

Mekanik Kenderaan Kaum Hawa Pertama UAE


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Polis tahan pemilik bengkel disyaki curi pagar tahan karat


Sebaran :


Leave a Reply