Polis tahan pemilik bengkel disyaki curi pagar tahan karat

JERTIH: Polis menahan seorang pemilik bengkel disyaki terbabit kegiatan mencuri pintu pagar jenis tahan karat di sekitar Besut sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap di kawasan Padang Bola Pachakan, Kuala Besut, kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Suspek diberkas untuk membantu siasatan kes curi pintu pagar tahan karat di Dewan Gong Nering, Klinik Kesihatan Kuala Besut, Dewan Beris Baru dan Padang Bola Pachakan.



“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasil soal siasat, Abdul Rozak berkata, suspek turut menunjukkan dua unit pintu pagar disyaki dicuri dan lori dipercayai digunakan ketika kejadian, di sebuah bengkel di Jalan Padang Luas.

Selain itu, beliau berkata, suspek menunjukkan satu unit pintu pagar tahan karat dalam sebuah bangsal di kebun, manakala seunit lagi dijumpai di Kampung Pachakan.

“Susulan itu, barangan dirampas meliputi sebuah lori, empat unit pintu pagar tahan karat, 18 batang besi bulat dan tujuh keping bunga besi pagar berwarna kekuningan.



“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku mencuri pintu pagar tahan karat di Dewan Gong Nering, Klinik Kesihatan Kuala Besut, Dewan Beris Baru serta Padang Bola Pachakan dan membawanya dengan menggunakan lori.

“Semua pagar dicuri itu dalam proses ubah suai dipercayai untuk dijual kepada pelanggan lain mengikut permintaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, malah lelaki itu memiliki satu rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Susulan itu, katanya, suspek direman bermula hari ini hingga 24 Disember bagi membantu siasatan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker