Covid-19 : Lelaki kehilangan 2 insan tersayang dalam masa selang sehari
Covid-19 : Lelaki kehilangan 2 insan tersayang dalam masa selang sehari
Hati siapa yang tidak luluh jika dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya dalam masa hanya selang sehari akibat jangkitan virus Covid-19.
Itu saat getir yang terpaksa dilalui Abdul Rahim Daim, 48, apabila adiknya Abdul Malik Daim, 43, meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang disusuli ibu tercinta, Patimah Babu, 75, keesokan harinya di Hospital Sungai Buloh.
Lebih memeritkan ketika itu, tujuh daripada sembilan ahli keluarga lain, termasuk isteri dan tiga anaknya, turut disahkan positif hasil ujian saringan Covid-19, selepas anak, adik dan ibunya mengadu demam dan batuk pada Hari Raya ketiga.
Ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahim berkata, beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir sebelum wabak itu meragut nyawa dua insan yang tersayang.
“Bimbang melihat keadaan kesihatan anak, adik dan mak, saya tanpa berfikir panjang membawa mereka dan ahli keluarga lain melakukan ujian saringan Covid-19 dan perkara yang ditakuti akhirnya terjadi apabila ibu dan beberapa yang lain disahkan positif selepas keputusan ujian saringan diperoleh malam itu.
“Hanya saya dan anak perempuan negatif ketika itu, jadi saya kemudian meminta yang positif buat persiapan untuk pergi ‘assessment’ di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam keesokan paginya tanpa menunggu van ambulans datang ke rumah,” katanya yang kedengaran tenang ketika menceritakan kembali kejadian itu.
Katanya, selepas menjalani penilaian CAC di Stadium Melawati, ibunya dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas pernafasannya kurang baik di samping mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis, manakala adiknya yang obes pula dihantar ke PKRC MAEPS.
“Ahli keluarga yang lain pula diarah melakukan kuarantin di rumah,” katanya yang menetap di Puchong.
“Pada pagi Sabtu 22 Mei, saya ada telefon adik kerana dia minta hantarkan pakaian dan sejadah, namun panggilan saya tidak dijawab sehinggalah saya dapat panggilan supaya datang ke Hospital Serdang, dan dimaklumkan adik saya telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.
“Mereka cuba selamatkan tapi gagal, kemungkinan dia dah tiada semasa di MAEPS pada 9 pagi lagi,” kongsinya sambil mengesahkan pesakit yang dilihat diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pasukan perubatan dalam video tular adalah adiknya.
Dugaan yang diterima tidak terhenti di situ apabila belum pun sempat menyelesaikan urusan dokumentasi kematian adiknya, Abdul Rahim menerima panggilan daripada doktor dari Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan ibunya pula dalam keadaan tenat.
“Kami sekeluarga sempat buat panggilan video dengan mak memohon maaf atas salah silap selama membesarkan kami adik-beradik, dan itulah perbualan terakhir kami sebelum beliau disahkan meninggal dunia sekitar 2 pagi,” katanya.
Abdul Rahim, yang juga kakitangan Media Prima Berhad, berkata jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya pada petang Ahad.
Ditanya mengenai punca jangkitan dalam kalangan keluarganya, Abdul Rahim berkata, beliau sendiri kurang pasti, namun tidak menafikan memang menjadi kebiasaan baginya untuk menghantar belanja, lauk dan makanan ke rumah ibunya sebelum ke tempat kerja.
“Perkara yang berlaku menjadi satu pengajaran yang cukup bermakna buat ahli keluarga saya.
“Sehubungan itu saya ingin berpesan kepada rakyat Malaysia, jangan kita leka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kita tidak ketahui di mana Covid-19 itu berada dan kita tidak tahu siapa pembawanya,” katanya. FMT
Covid-19 : Lelaki kehilangan 2 insan tersayang dalam masa selang sehari
Baca Artikel Menari
- Migrant crackdown will worsen health crisis, say activists
- Don’t play with autonomy on MCO rules, says Sarawak DAP
- Tak daftar masuk tempat kerja – dikompaun RM7500
- Vaksinasi AstraZeneca: Waktu janji temu di WTCKL, IDCC esok dijadual semula
- Warga Emas Ditemui Mati, Mayat Dimakan Kucing Peliharaannya
- [VIDEO] Polis Tangkap Suspek Tendang Tiga Pelanggan Di Kedai Serbaneka
Layari Laman Facebook MYKMU NET
You must be logged in to post a comment.