Buka Parlimen, Selamatkan Rakyat, Tiada Usul Undi Tidak Percaya
Desakan agar parlimen dibuka untuk bersidang, kata Naib Presiden Umno, kini sampai ke tahap yang ‘luar biasa’ apabila pelbagai syarat disyorkan untuk meyakinkan kerajaan untuk bersetuju.
Penegasan itu, kata Mohamed Khaled Nordin, sampaikan Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijanjikan bahawa tiada usul undi tidak percaya akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Terdahulu bekas menteri besar Johor itu mengulas – serta menyokong – kenyataan dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang sekali lagi mencadangkan agar parlimen bersidang kerana keadaan mendesak dalam negara.
Semalam Azalina yang juga ahli parlimen Pengerang berkata pembukaan parlimen merupakan “satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke depan” bagi menangani Covid-19.
Oleh itu, dia mencadangkan tiada usul undi tidak percaya dibawa sehinggalah pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus.
“…tiada pilihan raya umum patut diadakan, sebaliknya kerajaan darurat sementara dengan kabinet darurat harus dibentuk, dengan wakil-wakil dari seluruh parti politik,” katanya.
Cadangan seumpama itu sebelum ini pernah disuarakan DAP yang menjanjikan semua ahli parlimennya tidak akan menyokong usul tidak percaya – jika ada – terhadap Muhyiddin sekiranya mesyuarat tergempar Parlimen diadakan.
Janji sama pernah diikrarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Namun, ‘tawaran damai’ itu masih tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada Muhyiddin atau kerajaan.
Cemar amalan demokrasi
Kata Khaled dia bersetuju dan menyokong penuh pandangan serta saranan yang dikemukakan Azalina semalam.
“Pelbagai saranan disenaraikan bagi menunjukkan bahawa parlimen boleh dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baru.
“Menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan agar syarat dibuat bahawa sebarang usul berkenaan sokongan ke atas perdana menteri tidak dibawa dan dibahaskan, sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan,” katanya.
Negara kini berada di bawah pelaksanaan darurat sejak 11 Jan lalu dan akan berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos nanti – kecuali berlaku sebarang perubahan.
Ekoran pelaksanaan darurat itu, parlimen juga digantung.
Sejak darurat diumumkan, kematian Covid-19 meningkat dari 559 ke 2,491 kematian setakat semalam, sementara kes kumulatif pula meningkat dari 141,533 ke 541,224 kes untuk jangka waktu yang sama termasuk 7,857 kes kes baru semalam.
Khaled berkata krisis dan darurat kesihatan yang dihadapi negara ini tidak pernah berlaku dan ketika ini tidak wujud sebarang tanda keadaan akan pulih dalam masa terdekat.
Malangnya, tambah Khalid, dalam tempoh itu, Parlimen yang sepatutnya menjadi medan perbahsaan dan kerjasama bipartisan pula disekat daripada bersidang.
Katanya, kerajaan perlu berhenti berdepan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi.
“Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko.
“Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat,” katanya lagi.
Buka Parlimen, Selamatkan Rakyat, Tiada Usul Undi Tidak Percaya
Baca Artikel Menari
-
- [VIDEO] Nasi di Kedah sedap, antara alasan rentas negeri guna lorong tikus
- Neelofa hilang 100000 pengikut di Instagram?
- Resepi Cucur Udang Ranggup Luar Lembut Dalam
- Selepas Kelantan, hampir 11,000 di Kedah pula tak hadir ambil vaksin
- Wanita menyusu bayi boleh disuntik vaksin AstraZeneca
- Erma Fatima selar tindakan orang awam pergi mall ‘Macam Sakai’
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Wanita mahu ‘serang’ Israel dengan cara hancurkan rumah tangga tentera zionis
You must be logged in to post a comment.