Selepas Kelantan, hampir 11,000 di Kedah pula tak hadir ambil vaksin


Seramai 10,827 individu daripada jumlah keseluruhan 30,100 yang mendapat janji temu pengambilan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di Kedah tidak hadir, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan individu yang sepatutnya disuntik di pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri antara 19 April hingga Sabtu lalu.

“Antara punca dan (alasan) mereka tidak hadir adalah bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin. Ada juga yang memaklumkan mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Fikri berkata, ada antara mereka turut memberikan sebab tiada kenderaan untuk hadir ke PPV malah ada yang turut memohon untuk menukar tarikh pada saat akhir.

Bagaimanapun, Fikri memaklumkan semua dos vaksin itu sudah diberikan kepada individu lain dalam senarai simpanan sedia ada.

“Senarai terbabit adalah mereka yang memenuhi kriteria untuk suntikan vaksin fasa dua. Orang ramai disaran mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” tambah beliau.

Katanya, ia susulan kes harian di negara ini yang semakin meningkat hingga menjangkau lebih 7,000 kes seluruh negara semalam, termasuk di Kedah yang mencapai angka lebih 300 kes harian.

Dalam pada itu, Fikri berkata Kedah kini mempunyai 12 PPV awam, 22 PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan, 14 PPV klinik swasta dan dua PPV hospital swasta iaitu Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar dan Hospital Pantai, Sungai Petani.

Beliau berkata, PPV klinik swasta dan hospital dijangka akan ditambah lagi selepas ini bagi melancarkan proses suntikan vaksin kepada penduduk. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker