[VIDEO] Nasi di Kedah sedap, antara alasan rentas negeri guna lorong tikus — MYKMU.NET

[VIDEO] Nasi di Kedah sedap, antara alasan rentas negeri guna lorong tikus

Sebaran :

TASEK GELUGOR: Mahu membeli nasi dan masakan di Kedah yang lebih sedap antara alasan digunakan individu dari Pulau Pinang sehingga sanggup menggunakan lorong tikus bagi merentas negeri tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, itu antara alasan remeh yang diberikan individu yang ditahan dalam operasi lorong tikus di sempadan Pulau Pinang dan Kedah pada Ahad.

Noorzainy berkata, dalam operasi di Kampung Selamat – Padang Serai itu, seramai 15 individu berusia lingkungan 50-an ditahan kerana merentas negeri menggunakan lorong tikus berikutan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan polis di laluan utama.



“Kebanyakan kita lihat alasannya untuk beli barang, contohnya macam kita lihat tadi nak beli nasi di Kedah padahal kedai banyak di Pulau Pinang ini.

“Dia kata nasi di Kedah lebih sedap, ada juga yang nak merentas beli barang keperluan… alasan yang kita tak boleh terima sebab kedai barang di Tasek Gelugor ni pun ada. Sebenarnya mereka malas nak ke balai untuk dapatkan surat rentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata tiga lorong tikus dalam daerah ini dikesan sering digunakan bagi mengelak perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa.

“Jalan-jalan ini merupakan jalan-jalan yang kita anggap sebagai jalan tikus yang sering digunakan oleh mereka yang enggan mengambil permit kebenaran daripada PDRM ataupun yang merentas sempadan Kedah ke Pulau Pinang tanpa kebenaran,” jelasnya.


Noorzainy memberitahu pihaknya kesal kerana masih ada penduduk yang mengambil mudah dengan merentas negeri tanpa kebenaran ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tindakan merentas negeri tanpa kebenaran juga dibimbangi menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 sama ada di Pulau Pinang atau Kedah.

Pada masa sama, Noorzainy memaklumkan pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan termasuk di lorong tikus susulan penguatkuasaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun depan.

Sehubungan itu, mereka yang berhasrat merentas negeri perlu mendapat kebenaran polis atau berdepan tindakan mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Marah ‘laluan tikus’ ditutup, bakar penghadang jalan


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: