Jangan sampai SOP raya dua darjat

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan dua darjat dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidilfitri nanti terutama bagi larangan rentas negeri.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, golongan berstatus tinggi termasuk menteri, ahli politik, usahawan, artis atau personaliti media sosial tidak seharusnya terkecuali dalam pematuhan SOP itu.

Beliau berkata, pihaknya memahami keresahan rakyat terhadap trend jangkitan wabak Covid-19 yang semakin meningkat dan pada masa sama penguatkuasaan SOP dilihat berbeza mengikut darjat dan pangkat.

“Cukuplah kita berada dalam situasi peningkatan kes wabak ini sekian lama yang menyebabkan masyarakat mengorbankan sambutan raya bersama keluarga di kampung untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

“Apakah bila kerajaan masih gagal tangani isu dua darjat yang diluahkan rakyat ini, maka trend peningkatan akan berterusan dan kita mengorbankan raya hingga ke tahun ketiga pula?

“Kita harus sedar bahawa kesan pandemik ini akan memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat tanpa ada satu kelompok pun terkecuali,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menegaskan kerajaan perlu jelas dalam pelaksanaan SOP supaya tidak mengelirukan rakyat seperti mengenakan denda yang tinggi.

Beliau sehubungan itu mencadangkan agar SOP Tahun Baharu Cina lalu diguna pakai untuk Aidilfitri nanti dengan penambahbaikan.

“Ketika Tahun Baharu Cina, rakyat dibenarkan untuk bersama keluarga dalam lingkungan radius 10 kilometer sahaja, tetapi pada Aidilfitri ini dibenarkan untuk keluarga yang berada dalam satu negeri, namun tidak boleh merentas negeri.

“Jangan bila raya nanti, kita denda orang. Itu saya tidak setuju,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker