Buruh dituduh cabul budak di pusat jagaan


KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual dan mendera kanak-kanak di sebuah pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Kemumin antara April 2019 hingga Mac 2021.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Hamdan Yasin, 38, tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan selepas lima pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia sembilan hingga 13 tahun dengan memegang payudara serta alat sulit mangsa antara jam 3 hingga 6 petang pada April 2019 hingga September 2020 di pusat jagaan di Taman Kemumin, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Pada prosiding sama, lelaki itu bersama-sama isterinya, Nor Adila Zakaria, 35, yang juga penjaga pusat berkenaan didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal di pipi dan dada di lokasi yang sama jam 6 petang, pada 17 Mac 2021.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan minta dibicarakan.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Felenna Abu Bakar tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri akan membuat permohonan jaminan secara bertulis kepada tertuduh lelaki dan bagi tertuduh wanita beliau memohon mahkamah memberi jaminan kurang RM10,000 kerana perlu menanggung dua anak berusia setahun serta 12 tahun dan gaji wanita itu menjaga kanak-kanak RM1,200.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh lelaki dijamin dan tertuduh wanita diberi jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan dia tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu lapor ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. BH

Sambil ronda cabul wanita, buruh dipenjara setahun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker