Teks Ucapan Ketua Wanita Mca Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie Perhimpunan Agung Wanita Mca Ke 45

 

TEKS UCAPAN KETUA WANITA MCA KEBANGSAAN, DATUK HENG SEAI KIE

PERHIMPUNAN AGUNG WANITA MCA KE 45

6 MAC 2021

 

Selamat pagi kepada semua tetamu dan para perwakilan Wanita MCA.

Terima kasih kerana meluangkan masa menghadiri Perhimpunan Agung Wanita MCA ke-45 yang paling istimewa ini secara dalam talian.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Wanita MCA yang ke-45 kepada anda semua. Berkat usaha gigih pemimpin-pemimpin terdahulu, Wanita MCA yang ditubuhkan pada tahun 1975 dengan hanya 5,105 ahli pada ketika itu, kini mencecah 447,438 ahli, atau 42.4% daripada ahli keseluruhan MCA.

Kehadiran anda baik di dalam mahupun di luar talian membuktikan anda setia kepada parti serta prihatin kepada pembangunan wanita, parti dan negara. Anda adalah ahli yang berdisiplin serta menjadi teladan dan kebanggaan Wanita MCA.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Saya sentiasa berkata bahawa aset MCA yang paling berharga adalah ahli-ahlinya, terutamanya saudari-saudari di dewan dan dalam talian, yang sentiasa bersama-sama mengharungi suka dan duka, semenjak parti ini ditubuhkan. Tidak kira di peringkat Cawangan, Bahagian, Negeri mahupun Pusat, anda sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjalankan pelbagai aktiviti daripada membasmi kemiskinan, khidmat masyarakat sehinggalah kempen pilihan raya, walaupun terpaksa berhujan panas, malah dicemuh segelintir pihak. Saya bagi pihak parti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudari semua. Terima kasih!

Saudari-saudari perwakilan yang dihormati,

Akibat pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi dunia, tahun 2021 bakal membawa cabaran besar kepada dunia dan Malaysia. Kita juga menghadapi kecelaruan politik yang berlaku semenjak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan (PH) tahun lepas. Semua ini berpunca daripada ‘katak politik’.

Mengambil kira keselamatan rakyat dan kepentingan negara, Wanita MCA ingin menyeru kepada semua parti politik tanpa mengira ideologi supaya mengenepikan percaturan politik untuk sama-sama memerangi pandemik dan mengutamakan rakyat. Parlimen boleh bersidang, tetapi Pilihan Raya Umum (PRU) patut diadakan hanya setelah keadaan pandemik dapat dikawal sepenuhnya. Ambillah pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dahulu. Segera gubal undang-undang anti-lompat parti sebelum PRU bagi menghentikan budaya ‘katak politik’ yang semakin parah. Negara tidak akan aman sekiranya undang-undang ini tidak digubal, memandangkan sudah 60 orang atau 27.5% wakil rakyat melompat parti, semenjak 9 Mei 2018.

Selain membawa impak kepada situasi politik, keselamatan, sosiobudaya dan cara hidup, pandemik COVID-19 juga menjejaskan ekonomi banyak negara termasuk perusahaanperusahaan di Malaysia.

Sehubungan itu, kita menyokong kerajaan merealisasikan Belanjawan 2021 dan melaksanakan program-program pemulihan ekonomi, sambil membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertahan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Ini akan memanfaatkan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

Pandemik ini menyedarkan kita, perubahan adalah senjata terbaik untuk mengambil peluang daripada sesuatu krisis. Walaupun ekonomi meleset akibat wabak, namun jualan dalam talian dan logistik telah berkembang pesat. Pendigitalan dan transformasi digital boleh dikatakan sebagai ‘vaksin’ kepada pelbagai perusahaan untuk terus bertahan dalam waktu sukar ini.

Oleh itu, saya menyeru kepada saudari-saudari sekalian supaya mengambil peluang daripada pelbagai pakej rangsangan kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan lain-lain untuk mentransformasikan perusahaan anda, seterusnya menyertai pasaran Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani Malaysia penghujung tahun lepas, merangkumi 2.2 bilion, atau satu pertiga populasi dunia.

RCEP menawarkan peluang perniagaan yang amat luas, kerana ia memudahkan pengusahapengusaha e-dagang serantau tanpa mengira saiznya. RCEP merupakan ‘hadiah besar’ untuk para pengusaha meneruskan operasi serta untuk memulihkan semula ekonomi negara kita.

Wanita MCA akan berkolaborasi dengan Yayasan Pembangunan Wanita Malaysia untuk menggerakkan ‘DIY e-dagang’, melalui platform ‘Match Plus’ China Construction Bank (CCB) (Malaysia) dalam membantu pengusaha-pengusaha wanita tempatan memulakan perusahaan dalam talian serta meneroka pasaran antarabangsa, termasuk menyediakan khidmat perundingan profesional, latihan kemahiran, pendaftaran e-dagang dan sebagainya. Butiran lanjut akan diumumkan dalam majlis pelancaran bulan depan.

Dengan peranannya sebagai perantara yang memadankan perusahaan-perusahaan Malaysia-China, ‘Match Plus’ CCB ini merupakan platform terbaik untuk pengusahapengusaha tempatan membina jaringan mahupun menjalin kerjasama dengan pengusahapengusaha di China.

Para perwakilan yang dikasihi,

Sistem pendidikan negara, dari tadika sehingga universiti terpaksa dihentikan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19. Ini telah membawa impak besar memandangkan pendidikan merupakan asas pembangunan negara, dan usaha melahirkan para cendekiawan merupakan projek penting bagi negara.

Kita khuatir, pelajaran anak-anak mungkin terabai ketika PKP, ditambah pula keadaan pandemik yang belum stabil ketika ini. Oleh itu, kami menyeru supaya Kementerian Pendidikan dapat mencontohi negara luar, dengan melaksanakan pendidikan norma baharu menerusi bantuan tenaga pengajar dan teknologi yang ada, beralih kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian, serta menyelaraskan jadual waktu belajar untuk pelajar-pelajar pelbagai peringkat umur. Di samping itu, perhatian juga perlu diberikan kepada keperluan alat-alat elektronik atau gajet di kawasan luar bandar, agar anak-anak dapat belajar dengan baik secara dalam talian di rumah.

Saudari-saudari sekalian, nampaknya vaksinasi merupakan satu-satunya cara yang terbaik mengawal penularan pandemik. Untuk kembali menjalani kehidupan normal, Wanita MCA akan bersama Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan Pemuda MCA dalam merekrut seramai mungkin sukarelawan, bagi membantu orang ramai mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Walau bagaimanapun, kami berpendapat, selain memberi keutamaan kepada para petugas barisan hadapan serta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi, kerajaan juga haruslah memikirkan soal pemulihan ekonomi sebagai pertimbangan strategik dalam program vaksinasi ini. Contohnya, mendahulukan vaksinasi kepada Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang mampu menarik pelancong, persatuan peniaga, tukaran asing seterusnya merangsang rantaian perbelanjaan, sekali gus menghidupkan kembali industri perhotelan, makanan dan minuman, perdagangan dan pameran. Begitu juga dengan kakitangan Kementerian Pendidikan, pelajar, tenaga pengajar di kolej dan sebagainya, yang banyak berinteraksi dengan orang ramai. Dengan ini, kerajaan bolehlah melonggarkan kawalan secara beransuransur. Syaratnya, pengusaha-pengusaha berkenaan mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepenuhnya.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Pelaksanaan PKP sepatutnya dijadikan sebagai peluang keemasan untuk ahli-ahli keluarga berkumpul dan mengeratkan hubungan. Tetapi malangnya, mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kes-kes keganasan rumah tangga terus bertambah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk di Malaysia. Statistik Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga menunjukkan, terdapat 1,986 kes keganasan rumah tangga ketika pelaksanaan PKP dari Mac hingga Ogos 2020, bertambah 53% daripada purata sebelum PKP. Lebih 80% daripada mangsa terdiri daripada wanita, dan 90% pemangsa adalah ahli keluarga terdekat yang tinggal sebumbung.

Sehubungan ini, dengan misi penting mempertahankan hak-hak wanita, kami melalui Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA) telah membentuk sebuah jawatankuasa perundingan perundangan yang dianggotai 19 peguam berpengalaman, pada September lepas, berkolaborasi dengan empat (4) kementerian dan 4 NGO, mengadakan program ‘Katakan Tidak kepada keganasan rumah tangga’ di seluruh negara. Program ini menawarkan perkhidmatan sehenti kepada mangsa-mangsa wanita pelbagai kaum, termasuk perundingan guaman percuma, permohonan habeas corpus (satu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah bagi mengarahkan mana-mana orang yang ditahan untuk dibawa ke Mahkamah bagi dikenalpasti sama ada penahanannya itu sah atau tidak), tempat perlindungan, kaunseling dan bantuan kebajikan. Ini bertujuan melindungi serta menegakkan keadilan untuk mereka. Wanita MCA dari 186 Bahagian di 13 negeri secara automatik menjadi pusat pengaduan bagi mangsa-mangsa yang ingin mendapatkan khidmat bantuan ini.

Saudari-saudari, jangan biarkan kes keganasan rumah tangga ini berpanjangan, amalkanlah prinsip toleransi sifar terhadapnya. Dengan fizikal yang lebih lemah, wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa. Walaupun kita mempunyai undang-undang dan pelbagai saluran untuk mendapatkan bantuan, ia mungkin tidak dapat diperolehi dengan mudah. Pada saat saat kritikal sebegini, seni mempertahankan diri boleh membantu mengurangkan kecederaan fizikal.

Bagi meningkatkan keupayaan mempertahankan diri golongan wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan serangan luar seperti jenayah ragut, Wanita MCA akan bergabung tenaga dengan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan sayap wanita pelbagai pertubuhan Cina, untuk mengadakan kelas latihan ‘Karate anti keganasan’ secara percuma secara maya, pada 12 hingga 20 Mac, bersempena dengan Hari Wanita yang bakal disambut dua hari lagi.

Diharapkan saudari-saudari akan mengambil bahagian. Tidak melawan bukan lagi sifat yang baik, sebaliknya berani melawan mampu menakutkan pemangsa untuk berhenti mengganas malah bertaubat.

Karate menjadi pilihan kerana ia sesuai dengan sifat wanita, boleh mempergunakan tenaga pihak lawan. Gerakannya pantas, bertenaga dan padu. Tetapi saya sudah berpesan kepada jurulatih supaya berhati-hati ketika memberikan latihan. Sebab saya bimbang anda menyalahkan saya pula nanti kalau ada perkara tidak diingini berlaku.

Mengkaji dan meminda undang-undang serta dasar yang tidak relevan atau tidak memihak kepada golongan wanita

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Cara paling berkesan dan mudah untuk meningkatkan status serta mempertahankan hak wanita adalah melalui pindaan dasar negara dan undang-undang. Sistem perundangan kita, iaitu Common Law, diwarisi daripada zaman penjajahan British sejak lebih 100 tahun, oleh itu banyak klausa yang sudah lapuk dan perlu dipinda. Sehubungan itu, Wanita MCA telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pembaikan Undang-undang dan Dasar untuk bersamasama pelbagai pertubuhan wanita Malaysia mengkaji segala klausa dan dasar yang mendiskriminasikan wanita, seterusnya membuat cadangan kepada kerajaan dan pihak yang berkaitan untuk melakukan pembetulan atau pindaan sewajarnya, bagi meningkatkan hak perundangan wanita dan kanak-kanak. Ini termasuklah:

(a)Mengharamkan perkahwinan kanak-kanak

Perkahwinan kanak-kanak ini menimbulkan masalah kerana anak-anak di bawah umur 18 tahun masih dalam peringkat pembelajaran dan tidak mempunyai pemikiran yang matang untuk berkahwin, mahupun membuat keputusan tentang hidupnya. Lagipun, mengikut Artikel 611 Akta Kanak-kanak 2001, sesiapa yang mengadakan hubungan seksual dengan kanakkanak perempuan di bawah umur 16 tahun, sama ada dengan kerelaan kanak-kanak tersebut atau tidak, akan dianggap sebagai melakukan jenayah rogol.

Sehubungan itu, kami mencadangkan supaya perkahwinan kanak-kanak ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pengharaman perkahwinan seumpama ini tidak sepatutnya membezakan kaum atau agama, bagi melindungi keselamatan dan hak asasi kanak-kanak, sekali gus menyelesaikan masalah pelanggaran konvensyen antarabangsa.

(b)Memasukkan semula Artikel 88 berkaitan penukaran agama anak secara sebelah pihak ke dalam Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, bagi menyelesaikan pertikaian agama anak apabila pasangan menukar agama, di samping mengelakkan pihak tertentu memperalatkan agama untuk menganiayai bekas isteri dan anakanak mereka.

(c)Meminda Akta Pembaharuan Undang-undang tersebut supaya bekas suami yang ingkar membayar nafkah hidup kepada bekas isterinya dikenakan hukuman penjara.

(d)Meminda undang-undang bagi menyelesaikan masalah pewarisan kenegaraan, bagi memastikan anak kepada mereka yang berkahwin dengan warga asing serta warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara, boleh mewarisi kewarganegaraan Malaysia secara automatik. Mengikut undang-undang sedia ada, jika anak dilahirkan di luar negara dan bapanya warganegara Malaysia, anak itu menjadi warganegara secara automatik mengikut Artikel 14 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, jika ibunya seorang warganegara, beliau perlu memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara mengikut Artikel 15 (2), dan belum tentu diluluskan. Kami memandang serius undang-undang yang berunsurkan diskriminasi gender ini. Apatah lagi, Malaysia merupakan salah satu daripada 25 negara yang masih belum mengemaskini undang-undang lapuk ini.

(e)Mengkaji semula dasar penggajian terhadap pasangan bukan warganegara. Kenyataan

‘Dilarang melakukan sebarang bentuk pekerjaan’ hendaklah dipadam, dan membenarkan pasangan bukan warganegara bekerja di negara ini, bagi mengatasi masalah mereka yang terpaksa menghabiskan masa di rumah, sedangkan pasangannya (terutamanya isteri) terpaksa menyara keluarga secara bersendirian. Ini juga membolehkan mereka yang berkebolehan dapat bekerja dan menyelesaikan masalah kekurangan pekerja di negara ini.

( f ) Menggubal undang-undang untuk menangani masalah judi dalam talian, laman sesawang lucah, penipuan dan lain-lain jenayah moden, bagi melindungi kepentingan orang ramai, membendung gejala buruk dan memupuk budaya hidup yang sihat. Berkenaan siswi yang dilaporkan terlibat dengan gejala sugar daddy, pasukan wanita muda kita akan berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuat kajian yang mendalam, bertujuan mencari jalan penyelesaian serta membantu mereka.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,

Tahun 2021 merupakan waktu kritikal bagi MCA membuat persediaan menghadapi PRU ke- 15 (PRU15). Selama ini, Wanita MCA menggalas tanggungjawab membuat kunjungan dari rumah ke rumah dan melakukan pungutan pendapat menerusi Jalinan Rakyat (JR). Disebabkan PKP, kita perlu menukar strategi kita kepada ‘JR norma baharu’:

– Mengadakan sesi latihan JR secara maya untuk Bahagian-bahagian.

– Memperkenalkan ‘e-kunjungan’, iaitu menjalankan pungutan pendapat melalui telefon atau panggilan video.

Di sini saya ingin menyeru pengundi-pengundi Cina Malaysia supaya mengambil berat serta memberikan respons secara aktif, bagi petugas-petugas JR dapat mendengar dan memahami pelbagai masalah harian yang dihadapi rakyat, dan memudahkan agensi kerajaan berkenaan menyelesaikan masalah dengan efektif. Walaupun tugas ini berat, tetapi usaha tangga kejayaan, saya percaya saudari-saudari sekalian, dengan sokongan MCA dan Pemuda MCA, tentunya dapat menjayakan misi ini sebelum Jun tahun ini. Dengan berpandukan lima (5) matlamat dan sembilan (9) program Wanita MCA, seiring dengan transformasi MCA pimpinan Presiden Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, kami berikrar membuat persediaan secara menyeluruh di bawah jentera dan strategi seragam Barisan Nasional (BN), bagi menghadapi PRU akan datang, seterusnya mendapatkan mandat rakyat untuk membina sebuah Malaysia yang bebas, demokratik dan adil untuk semua.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada saudari-saudari sekalian. Terima kasih atas cinta dan sumbangan anda kepada parti. Selama ini, dedikasi Wanita MCA telah menjadi faktor penstabilan tidak kira ketika PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun pemilihan parti.

Akhir sekali, terima kasih atas sokongan dan kasih sayang anda.

Kalau bukan kerana anda semua, saya, Heng Seai Kie, tidak mungkin dapat berdiri di sini. Tanpa saudari-saudari sekalian, wanita MCA tidak mungkin wujud hari ini. Terima kasih kepada semua tetamu undangan, perwakilan pusat MCA, pemimpin wanita pertubuhan Cina dan tidak dilupa kepada Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, atas kesudian merasmikan majlis ini. Terima kasih!

MCA rumahku. Sama ada kita dapat bangkit atau tidak dalam PRU15 nanti, semuanya bergantung kepada saudari-saudari sekalian.

Sebelum mengundur diri, saya mengucapkan Selamat Hari Wanita dan mendoakan saudari-saudari sekalian kekal selamat, sihat, bebas daripada pandemik, berbahagia dan jelita sentiasa!

-MCA online-

AGM Pemuda MCA ke 56 – Teks ucapan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker