AGM Pemuda MCA ke 56 – Teks ucapan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong

Teks Ucapan

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong

Perhimpunan Agung Pemuda MCA kali ke 56

6 Mac 2021

Selamat sejahtera saya ucapkan.

Tahun ini, genaplah 72 tahun usia parti MCA. Dalam sejarah Malaysia, selain daripada UMNO dan MIC, tiada lagi parti politik di negara ini yang berjaya mengharungi perjalanan selama 70 tahun sejak penubuhannya. Ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kita semua.

Bukan mudah untuk mencapai ke tahap ini. Jadi, apakah faktor-faktor yang membantu MCA untuk terus berdiri sehingga hari ini? Sudah tentu terdapat banyak jawapan kepada soalan ini. Contohnya, kita ada pemimpin-pemimpin yang berwibawa, akar umbi yang kuat dan penyokong yang setia bersama kita. Namun, saya berpendapat, faktor yang betul-betul membantu MCA mengharungi semua cabaran dan meneruskan perjuangannya adalah kerana kita memiliki prinsip yang jelas, iaitu matlamat untuk membina Malaysia untuk semua berteraskan nilai-nilai inklusif, kepelbagaian dan keharmonian.

Sebagai wanita pertama yang menggalas amanah sebagai Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, saya bukan hanya bertanggungjawab untuk memimpin sayap Pemuda MCA sahaja. Sebaliknya, saya juga memikul tanggungjawab untuk mendorong semua ahli-ahli MCA untuk terus melangkah ke hadapan dengan memupuk nilai-nilai murni dan membimbing mengikut hala tuju parti kita.

Tambahan pula dengan ketidaktentuan politik hari ini dan juga situasi sukar yang perlu kita harungi akibat pandemik COVID-19. Saya percaya, kita semua tidak menjangkakan bagaimana Malaysia dapat mengharungi cabaran yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Namun, krisis ini juga membawa peluang perubahan, dan hari ini kita menyedari betapa pentingnya untuk kita semua menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baharu. Justeru itu, MCA sebagai antara parti politik yang tertua di Malaysia juga harus menyesuaikan diri seiring peredaran era baharu ini.

Oleh itu, apakah peranan yang patut dimainkan oleh Pemuda MCA dalam usaha membantu menambahbaik parti? Pada 16 Julai 2019 lalu, Parlimen telah meluluskan usul untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kerajaan akan melaksanakan penurunan had umur mengundi dan juga pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada bulan Julai tahun ini. Kita amat mengalu-alukan pengumuman ini. Dijangkakan, seramai 7.8 juta pengundi baharu di Malaysia dan majoritinya adalah pengundi berusia 18 tahun. Mereka inilah yang akan menentukan masa depan negara Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Pemuda MCA harus mengambil langkah proaktif untuk memastikan maklumat yang tepat dan dasar-dasar kerajaan dapat disalurkan kepada golongan belia ini, dan kita juga harus menekankan kepada mereka bahawa masa depan negara bukanlah perkara remeh-temeh. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengundi demi mempertahankan nilai-nilai demokrasi berparlimen dan hak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan negara kita. Peluang mengundi ini hanya datang setiap 3 hingga 5 tahun dan setiap undi adalah penting bagi menentukan halatuju negara kita sepanjang tempoh 3 hingga 5 tahun tersebut. Betapa pentingnya untuk memilih sebuah kerajaan yang baik untuk menentukan masa depan negara. Inilah yang patut ditekankan kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya pengundi muda baharu.

Selain itu, peningkatan ketara pengundi baharu ini bermaksud bahawa MCA juga tidak boleh mengekalkan pemikirannya yang lama dan tidak sesuai untuk era ini. Tambahan lagi, kesemua pengundi baharu merupakan generasi Z (1995-2010), maka pemikiran dan pandangan mereka amat jauh sekali daripada generasi yang dilahirkan pada 1970an. Malah, ia juga berbeza daripada generasi yang dilahirkan pada 1980an dan awal 1990an. Sebahagian perbezaan ini disebabkan oleh kemajuan informasi dan teknologi yang semakin pesat. Oleh kerana generasi Z ini terdedah kepada terlampau banyak maklumat, maka mereka mudah dipengaruhi hasutan emosi. Ini amat membimbangkan, bagai ‘satu percikan kecil mampu membakar seluruh hutan’. Selain itu, oleh kerana generasi ini mempunyai akses luas kepada pelbagai maklumat, maka ketaatan mereka kepada satu-satu parti dan pemimpin bukanlah sepertimana generasi sebelum mereka. Ia boleh dikatakan bahawa pengundi muda ini adalah ‘pedang bermata dua’ kerana sokongan mereka boleh berubah pada bila-bila masa setiap kali adanya pilihan raya. Di dalam ketidakpastian ini, bagaimanakah kita boleh menarik sokongan pengundi muda kepada perjuangan dan matlamat MCA? Ini adalah cabaran yang amat besar.

Namun begitu, saya percaya bahawa selagi adanya Pemuda MCA, kami mampu bekerjasama untuk mempromosikan pelan pembangunan negara, agar golongan pengundi baharu ini dapat memahami perjuangan MCA dan masa depan mereka. Demi memberi fokus kepada kehidupan golongan belia, kita haruslah merangka pelan yang baik, seperti mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan beban kehidupan, meningkatkan kebajikan sosial dan sebagainya. Apa yang dimahukan golongan belia adalah suara mereka didengari. Pemuda MCA telahpun menyenaraikan beberapa idea. Oleh itu, kita harus meyakinkan golongan belia untuk memberi peluang kepada MCA, kerana MCA merupakan pilihan yang terbaik untuk merangka halatuju negara kita. Jika kita berjaya, saya yakin MCA masih wujud untuk 72 tahun lagi pada masa akan datang.

Walaupun wakil kita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak cukup untuk mempengaruhi keadaan keseluruhan, namun bagi saya, ini bukanlah satu alasan untuk Pemuda MCA berhenti bekerja dan menyerah kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Ini bukanlah sikap sebenar ahli-ahli MCA. Sebagai seorang ibu, saya sering memberitahu anak-anak, setiap kali mereka jatuh, mereka harus bangun semula. Inilah hakikat kehidupan kita, begitu juga politik. Saya percaya, selagi ahli-ahli parti tidak berputus asa, kita masih ada harapan untuk menang. Kita semua harus bekerja keras, belajar dari kesilapan, berani mendekati rakyat, merapatkan jurang antara kita dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan prihatin kepada hal ehwal masyarakat serta membantu mereka menyelesaikan masalah. Inilah yang patut dilakukan oleh MCA. Kita ingin memberitahu rakyat terutamanya masyarakat Cina, bahawa kita telah mendengar mesej semasa PRU14 pada 9 Mei 2018, dan kita telah muhasabah diri. Ini menguatkan kita untuk terus memperjuangkan keadilan sosial, keharmonian kaum dan pembangunan negara. Kekalahan pada PRU14 telah memberi peluang kepada MCA untuk menemui semula halatuju dan matlamat asal parti, iaitu untuk membangunkan Malaysia untuk semua.

Pandemik COVID-19 telah meninggalkan kesan kepada seluruh dunia, dan hampir semua negara telah mengisytiharkan darurat kesihatan. Kita harus memberi tumpuan kepada sektor pendidikan yang juga terjejas akibat wabak ini. Sebagai seorang ibu, pandemik yang berlaku pada tahun lepas telah memberi peluang kepada para ibu bapa dan guru-guru untuk mengajar anak-anak dan pelajar mengenai nilai daya tahan, mempelajari cara mengatasi emosi negatif, dan membimbing mereka untuk meluahkan emosi mereka dengan baik. Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, kita dapat tahu bahawa bekerja dari rumah dan belajar dengan anak-anak di rumah amat berbeza sekali daripada apa yang kita bayangkan sebelum ini. Saya percaya perkara ini juga dialami oleh semua ibu bapa di sini.

Pada masa sama, Pemuda MCA juga prihatin terhadap nasib para pelajar yang terkandas disebabkan pandemik ini. Sepanjang tempoh ini, Pemuda MCA telah digerakkan untuk mengagihkan makanan dan barang-barang keperluan harian, malah turut menyediakan jaringan internet mobile kepada pelajar-pelajar ini untuk membantu mereka mengharungi waktu sukar.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli-ahli Pemuda MCA yang telah membantu semasa tempoh tersebut. Sepanjang tahun lepas kita telah menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk menghulurkan bantuan kepada belia, mahasiswa dan golongan kurang upaya. Begitu juga dengan industri-industri yang terjejas akibat pandemik ini dengan membawa suara-suara mereka kepada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan supaya kerajaan boleh merangka pelan dan membuat keputusan yang betul.

Sekarang merupakan tahun baharu, dan diharapkan dalam tempoh pasca pandemik ini, cadangan untuk membantu golongan belia akan dibincangkan, termasuk khidmat kaunseling, mewujudkan peluang pekerjaan dan dasar-dasar untuk membantu sektor perniagaan kembali bangkit, pemilikan rumah dan dasar-dasar mengenai kehidupan belia di bandar. Sebaik sahaja proses pemberian vaksin bermula, Pemuda MCA akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesemua cadangan-cadangan berkenaan.

Akhir sekali, saya ingin mengingatkan semua ahli-ahli Pemuda MCA, “tiada rintangan yang menghalang kita untuk terus maju ke hadapan“ dan “Pemuda MCA tetap dengan matlamat dan hala tuju parti!”

Kita semua harus sentiasa mengingati tujuan dan matlamat perlembagaan parti, dan meneruskan perjuangan parti kita. Sekian, terima kasih!

-MCA online-

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker