PAS bertapak di Sungai Manik

Mengikut rekod PAS, parti itu melebarkan sayapnya ke Hilir Perak pada 1952 iaitu setahun selepas parti itu ditubuhkan atas nama Persatuan Ulama Se-Malaya sebelum kemudian menjadi Persatuan Islam Se-Malaya.

Yang dipertua pertama PAS Hilir Perak ialah Ustaz Rais Kadri yang juga merupakan Ketua PAS Sungai Manik. Antara yang pernah menjadi setiausahanya pada peringkat awal adalah Ustaz Mat Som Sidek, Abdul Latif Mat Lazim dan Ustaz Jalal Dimyati.

Selepas penubuhan PAS di Hilir Perak, beberapa pimpinan atasan parti itu seperti Dr Burhanuddin al-Hemy, Zulkifli Muhamad, Abu Bakar Hamzah dan lain-lain ada datang melawat Sungai Manik.

Hasan Adli Mohd Arshad selalu datang ke kawasan Hilir Perak kerana mempunyai hubungan baik dengan Tuan Guru Daud Keramat iaitu ulama tempatan yang terkenal dengan kealiman dan kekeramatannya.

Ingkar PKPP: Datuk Seri, Datuk ditahan selepas bergelut dengan polis

Oleh kerana Hasan Adli dari suku Banjar, maka mudah untuk dia mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat Sungai Manik yang kebanyakannya adalah masyarakat suku Banjar.

Pesuruhjaya PAS Perak, Abdul Samad Noh, Baharuddin Abdul Latif dan lain-lain juga sering turun ke Hilir Perak untuk memberi ceramah politik kepada penduduk setempat.

Sewaktu saya menjadi setiausaha perhubungan PAS Perak di bawah pimpinan Ahmad Awang (2005-2006), Abu Bakar Hussein (2010 – 2013) dan Razman Zakaria (2013 – 2015), mereka mempunyai jadual tertentu untuk turun ke setiap kawasan tanpa kecuali.

Mengikut persempadanan asal, kawasan parlimen Hilir Perak meliputi dua DUN iaitu Sungai Manik dan Bandar. DUN Sungai Manik meliputi kawasan pertanian padi Sungai Manik dan Labu Kubong serta kawasan kebun pertanian di Degong yang merupakan sempadan dengan kawasan parlimen Teluk Anson.

Lepasan sekolah agama Bagan Datuk

Sempadan kawasan DUN Bandar pula ialah Sungai Kinta atau kampung Permatang Pelanduk. Ia bermula selepas Sungai Kinta dan memanjang hingga bersempadan dengan pekan Kampung Gajah. Pada ketika itu penduduk berkampung di sepanjang pesisir Sungai Perak.

Kini tempat tersebut sudah banyak ditinggalkan penduduk tempatan kerana berpindah selepas sungai tidak lagi memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan.

Antara penggerak tempatan pada awal penubuhan PAS Sungai Manik ialah Osman Hafiz yang tinggal di Parit 3B Sungai Manik dan Mahmud Zakaria yang bermastautin di Parit 2B, Sungai Manik. Mahmud adalah antara pemuda yang menjadi ketua operasi Perang Parang Panjang diketuai Patuan Guru Haji Bakri.

Pemulihan setelah dilanda badai fitnah PRU14 – Zahid Hamidi

Kedua-dua mereka anak muda yang menjadi pesawah untuk menyara kehidupan sambil gigih menjadi penaja PAS cawangan Sungai Manik.

Seorang lagi penggerak penubuhan PAS Sungai Manik pada penghujung 1960-an ialah Ustaz Nordin iaitu bapa saudara kepada Ketua Pemuda PAS Perak, Abdul Latif Mat Lazim.

Mereka yang menggerakkan inisiatif peringkat awal itu merupakan pelajar lepasan Madrasah al-Ulum as-Syariah di Bagan Datuk dan belajar bersama dengan Ustaz Rais Kadri yang kemudian menjadi Ketua PAS Sungai Manik.

Secara demografinya selain suku Banjar terdapat suku Mandailing, Rawa, Jawa, Perak dan lain-lain tinggal di Sungai Manik. Mereka tinggal berasing-asingan mengikut parit-parit yang dibina Inggeris.

Ikatan suku sangat kuat pada masa itu kerana mereka datang ke Sungai Manik sebagai peneroka sawah yang dibuka oleh Inggeris. Pembukaan tanah sawah oleh Inggeris adalah sebagai langkah menambah bekalan makanan untuk pasaran pada masa itu.

Sebelum penubuhan PAS di Sungai Manik, ramai kalangan mereka menyertai Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir. Antaranya adalah Ustaz Sapian Mohd Noor yang pernah belajar di al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol.

Dia berasal dari Parit 15 Sungai Manik dan merupakan pemimpin muda Hizbul Muslimin yang menjadi setiausaha gerakan itu. Hizbul Muslimin Sungai Manik menjadikan surau Simpang Tiga Sungai Manik sebagai pusat gerakan mereka.

Surau tempat tumpuan masyarakat

Namun mengikut pendapat Nabir Abdullah, Mukri Wafir merupakan Setiausaha Hizbul Muslimin merangkap Wakil II Maahad al-Ehya al-Sharif dan Persatuan al-Ehya as-Sharif. Sapian pada masa itu adalah salah seorang pelajar maahad berkenaan.

Ada kemungkinan dia menjadi salah seorang pimpinan muda Hizbul Muslimin. Sapian pernah bertanding atas tiket PAS di Gunung Semanggol pada pilihan raya umum 1982 itu. Dia bagaimanapun kalah.

Sebagai sebuah parti Islam, gerakan awal bermula dari institiusi agama seperti masjid, surau dan madrasah yang digerakkan oleh orang agama. Begitu juga di Sungai Manik. Surau Simpang Tiga Sungai Manik merupakan pusat gerakan parti pada peringkat awal.

Surau Simpang Tiga Sungai Manik didirikan pada 1933 oleh penduduk tempatan dan pendatang-pendatang baru dari pelbagai tempat sebagai tempat kehidupan baru mereka.

Kedudukan surau di tengah-tengah pekan kecil Simpang Tiga Sungai Manik menjadikan ia pusat tumpuan masyarakat setempat.

BN dan MN Mengatasi PN & PH Dalam Undian Terbuka Yang Dibuat Oleh Utusan Malaysia

Semasa zaman Jepun, masyarakat Cina setempat mempunyai kedai untuk berniaga dan bermasyarakat dengan orang Melayu secara aman. Kini tempat tersebut didiami oleh masyarakat Melayu dan deretan kedai telah musnah ketika Perang Sungai Manik.

Tapak surau itu asalnya adalah tapak rumah Syed Abu Hasan, penghulu Mukim Sungai Manik telah membenarkan tanahnya digunakan untuk didirikan surau. Surau itu masih ada lagi dan pernah menjadi tempat tidur pemimpun pusat PAS seperti Hassan Syukri, Tengku Puji dan lain-kain semasa mereka bermusafir.

Oleh kerana Sapian berasal orang Parit 15B Sungai Manik dan belajar di Ehya as-Syarif ramai kalangan anak muda kampung menyertai Hizbul Muslimin seperti Ustaz Rais Kadri, Borhan, Haji Yusuf Zakaria, Haji Dermawan Parit 2B, Sulaiman (Pak Leman Kunci Air 12) dan beberapa orang lain.

Apabila Hizbul Muslimin diharamkan dan sebahagian pimpinannya ditahan oleh Inggeris, sebahagian ahlinya menyertai Umno atau mengambil sikap untuk tidak aktif buat sementara. Ketika itu hanya Umno saja yang dibenarkan bergerak bebas.

Melalui latar belakang gerakan politik itulah kemudian yang membantu tertubuhnya PAS Hilir Perak.

PAS Sungai Manik ditubuhkan semula di Surau Simpang 3 Sungai Manik oleh Burhanuddin al Helmy pada 1964. Tarikh yang digunakan PAS Pasir Salak sekarang sebagai titik mula tertubuhnya PAS di kawasan tersebut.

Turut hadir pada masa itu ialah Hassan Adli. Amaluddin Darus yang dijadualkan hadir pula hanya sampai di Kuala Kangsar dan terkandas atas masalah yang tidak dapat dipastikan.

 

MUHAIMIN SULAM

Penyelidik, penulis esei dan buku. Artikel ini adalah sebahagian daripada kajian Antropologi Politik Kampung berasaskan sumber lisan daripada Shafei Ariffin, Ustaz Saim Yunus, Fadhilah Sapian dan lain- lain. Penulis mengalu-alukan sebarang maklumat yang membantu usaha penulisan sejarah ini kerana ia masih dalam proses pengumpulan data.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker