Ingkar PKPP: Datuk Seri, Datuk ditahan selepas bergelut dengan polis

Empat individu termasuk seorang yang mendakwa dirinya bergelar ‘Datuk Seri’ ditahan selepas bergelut dengan anggota polis ketika operasi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah premis hiburan di Bandar Hilir, di sini awal pagi Rabu.

Dalam kejadian sekitar 2.50 pagi itu, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 41 tahun didakwa tidak berpuas hati selepas pihak polis ingin melakukan pemeriksaan terhadap mereka, mengakibatkan salah seorang anggota bertugas mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata dalam tempoh PKPP, premis berkenaan hanya menjalankan aktiviti perniagaan kafe dan tiada aktiviti hiburan, selain turut memiliki lesen perniagaan yang sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati perniagaan itu dijalankan lebih masa yang mana masih terdapat beberapa pelanggan dan kesemua mereka dikompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (No 8) 2020.

Katanya, ketika ditahan dua daripada empat suspek berkenaan mengaku berstatus ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, selain salah seorang daripada mereka merupakan rakan kongsi pemilik premis tersebut.

Kesemua mereka kemudian direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker