#PrkTgPiai : Pas sokong calon BN walau dari MCA

Pas akan menyokong siapa sahaja yang dipilih oleh Barisan Nasional (BN) walaupun calon tersebut daripada MCA dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana parti itu hanya minoriti di kawasan Parlimen tersebut tetapi mampu memberikan kemenangan kepada calon yang disokong.

Beliau berkata, di atas kertas calon pembangkang mempunyai peluang yang cerah untuk menang berdasarkan undi yang diterima oleh BN dan Pas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Ini adalah kerusi BN maka keutamaan kepada BN. Kalau calon yang dipersetujui oleh BN kita akan sokong dan terima. Kita tidak ramai undi cuma 2,900 (dalam PRU) lalu, tidaklah besar tetapi mungkin boleh membantu memberikan kemenangan.

“Saya tidak ada maklumat lanjut untuk mengulas perkara ini. Kita akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PRK Parlimen Tanjung Piai selepas penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, meninggal dunia Sabtu lalu.

Pada PRU lalu, Dr. Md. Farid hanya menang dengan majoriti 542 undi dengan memperoleh 21,255 untuk menewaskan calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang menerima 20,731 undi. Calon Pas, Nordin Othman pula menerima 2,962 undi.

Perkembangan terbaru politik hari ini dengan kerjasama erat UMNO dan Pas yang telah memetrai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu memberikan cabaran hebat untuk Pakatan Harapan bagi mempertahankan kerusi tersebut. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker