Gautam Adani hilang status billionair ketiga terkaya di dunia

NEW DELHI – Jenama seperti Louis Vuitton, Tesla dan Amazon milik bilionair dunia tidak lagi perlu diperkenalkan kepada umum.

Tetapi, kemunculan Adani Group, sebuah konglomerat terbesar di India pada tahun lalu yang mengawal pelabuhan, lombong arang batu, perniagaan makanan, lapangan terbang dan beberapa industri lain telah menyertai senarai yang mendapat pengiktirafan global.

Nilai kekayaan milik Gautam Adani yang mencecah hampir AS$120 bilion (RM511 bilion) turut meletakkannya sebaris dengan bilionair terkenal seperti Elon Musk dan Jeff Bezos, sekali gus menjadi individu ketiga terkaya di dunia pada akhir 2022.Pengasas Adani Group itu bagaimanapun gagal mengekalkan ‘kedudukannya’ untuk tempoh yang lama.



Walaupun beliau masih kaya raya, Adani, 60, kini berdepan cabaran besar setelah kehilangan separuh daripada nilai kekayaannya dianggarkan berjumlah AS$64.7 bilion (RM275.5 bilion) dalam tempoh 10 hari.

Pada bulan lalu, Hindenburg Research yang merupakan sebuah firma pelaburan kecil di New York mendakwa Adani Group terlibat penipuan akaun, manipulasi saham dan pengubahan wang haram.

Pendedahan itu dibuat selepas Adani Enterprises memperoleh AS$2.5 bilion (RM10.6 bilion) dengan menjual saham baharu kepada pelabur, namun percaturan tersebut tidak berjaya apabila saham syarikat berkenaan merosot jauh di bawah julat harga yang ditetapkan.

Di bawah langkah mengejut, Adani Enterprises membatalkan tawaran itu atas alasan ‘kemeruapan pasaran’ dan mahu melindungi kepentingan komuniti pelabur serta akan memulangkan wang tersebut.



Pengumuman itu memberi lagi tekanan kepada Adani Group, sekali gus mengakibatkan jumlah kerugian dalam nilai pasaran bagi syarikat awam mereka mencecah kira-kira AS$110 bilion (RM468.4 bilion).

“Adani jelas berisiko kepada sistem kewangan India,” kata Tim Buckley yang merupakan penganalisis di Sydney yang mengikuti perkembangan empayar perniagaan bilionair India itu selama lebih sedekad.

‘DIBANTU’ PENGARUH MODI?

Adani memulakan perniagaan import eksport polimer pada 1980-an yang kemudiannya berkembang kepada infrastruktur secara berperingkat.



Pada 1990-an, beliau mula membina pelabuhan di Mundra, negeri Gujarat dan memperluaskan lagi portfolio miliknya kepada pelombongan arang batu, loji kuasa dan lapangan terbang.

Sedekad lalu, Adani memeterai perjanjian antarabangsa bersama projek Carmichael di Australia iaitu salah sebuah operasi pelombongan terbuka arang batu terbesar di dunia.

Pelabuhan persendirian milik Adani di Mundra, India.
Pelabuhan persendirian milik Adani di Mundra, India.

 

Empayar perniagaannya semakin gah selepas Adani Group menjalankan urus niaga mengimport simen dari syarikat pembinaan multinasional berpusat di Switzerland, Holcim selain mengambil alih sebuah rangkaian berita bebas, NDTV di New Delhi.



Kejayaan konglomerat Adani selari dengan pertumbuhan ekonomi India yang kini berada di kedudukan kelima terbesar di dunia.

Namanya yang semakin dikenali menyebabkan beliau menggelar dirinya sebagai industrialis yang menjadi individu penting membantu untuk menangani kekurangan infrastruktur di negaranya sendiri.

Ketika ini, beberapa pengkritik mendakwa pengaruh Perdana Menteri, Narendra Modi telah banyak ‘membantu’ Adani Group memperoleh kontrak yang membawa keuntungan besar malah ada peraturan bidaan yang diubah sama sekali untuk memastikan ia jatuh ke tangan Adani.Mereka mendedahkan ia mungkin disebabkan faktor Modi juga berasal dari Gujarat seperti Adani.

Ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2014, pemimpin itu dilaporkan terbang ke ibu kota menaiki pesawat milik bilionair tersebut.



Adani bagaimanapun menolak dakwaan banyak pihak kononnya beliau mendapat hak keistimewaan kerana hubungan rapat bersama Modi.

“Kejayaan profesional saya bukan kerana mana-mana pemimpin individu, namun kerana dasar dan pembaharuan institusi yang dilancarkan pemerintah sejak lebih tiga dekad lalu,” katanya menerusi wawancara bersama India Today.

Kisah peribadi beliau jarang diperkatakan umum kerana Adani lebih gemar hidup secara low-profile dan merupakan penganut agama Jain yang menekankan gaya hidup tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia.

Gautam Adani dilahirkan pada 24 Jun 1962 di Ahmedabad dan mempunyai tujuh adik-beradik serta bapanya adalah seorang saudagar kecil tekstil.



Beliau mendapat pendidikan awal di Sheth C N Vidyalaya sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, namun Adani hanya ‘bertahan’ sehingga semester kedua.

Beliau berkahwin dengan Priti Adani, seorang doktor gigi yang kini mengetuai Adani Foundation dan mereka dikurniakan dua anak lelaki.

Adani merupakan pengimport dan penjual utama arang batu serta menghasilkan tenaga elektrik dengan bahan api fosil.
Adani merupakan pengimport dan penjual utama arang batu serta menghasilkan tenaga elektrik dengan bahan api fosil.

 

Pada 1998, Adani pernah diculik, namun beliau dibebaskan setelah membayar wang tebusan.

Beberapa bulan sebelum Hidenburg membuat pendedahan itu, kenaikan mendadak saham anak syarikat Adani kepada lebih 800 peratus sejak tiga tahun lalu telah mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak.

Sebelum ini, syarikat beliau pernah berdepan beberapa siasatan kes ketidakwajaran cukai berkaitan import arang batu dan penipuan manipulasi pasaran saham India.

Imej Adani kian tercalar selepas taikun itu kini terkeluar daripada senarai 20 individu terkaya di dunia. – Agensi

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Apa salah saya’, Mahathir tanya pengundi Langkawi

Pelajar perempuan bogel ketika keluar dari kereta selepas kemalangan

Wanita 23 tahun jadi jutawan selepas kerja cuci rumah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker