Suntikan vaksin fasa pertama, maaf petugas kesihatan dan guru tak masuk ‘list’

PETALING JAYA: Petugas pembersihan hospital, guru dan media antara kelompok yang tidak akan menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Sektor Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Mohd Hanif Zailani berkata, bekalan vaksin yang diterima bagi fasa pertama ini tidak akan mencukupi sekiranya kumpulan ini turut dilibatkan, walaupun mengakui peranan kumpulan ini sebagai petugas barisan hadapan.

Dalam sesi libat urus darurat Covid-19 bersama media, Hanif berkata, pemberian vaksin bagi fasa pertama ini lebih memfokuskan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung mengendalikan dan merawat pesakit-pesakit Covid-19 yang positif.

“Petugas pembersihan memang penting, mereka juga adalah petugas barisan hadapan. Tetapi, dalam kalangan petugas barisan hadapan bagi fasa pertama ini, kita harus berikan keutamaan kepada yang benar-benar terlibat dengan pesakit,” katanya, dengan menambah ini termasuk anggota bomba dan penyelamat yang memainkan peranan untuk program sanitasi.

Katanya, keutamaan ini diberikan bagi memastikan sistem kesihatan negara boleh terus berfungsi dengan cekap dan berkesan. Baginya, jika ada petugas barisan hadapan yang tidak sesuai dengan vaksin keluaran syarikat Pfizer, mereka akan diberikan vaksin lain yang sesuai selepas diluluskan pendaftaran di dalam negara.

Hanif pada masa sama turut menyarankan supaya warga emas turut mendapatkan suntikan vaksin, memandangkan mereka adalah kumpulan yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi, yang turut menghadapi ancaman komplikasi penyakit.

Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, pejabat kesihatan daerah yang terlibat dalam program suntikan vaksin perlu melihat terlebih dahulu sejarah kesihatan pesakit sebelum mereka mendapatkan suntikan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan dan kesan sampingan serta komplikasi dari suntikan yang diambil, beliau berkata, seseorang individu hanya akan mengalami kesan alahan (anaphylaxis) terhadap vaksin.

“Mereka mesti maklumkan perkara ini kepada pengamal perubatan yang akan melakukan proses vaksinasi. Sekiranya tidak, mereka akan terdedah kepada risiko alahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata, KKM akan menggerakkan unit bergerak sedia ada bagi membolehkan program imunisasi dilaksanakan dalam kalangan golongan rentan termasuk masyarakat Orang Asli serta pesakit yang terlantar di rumah.

“Unit bergerak itu akan digerakkan melalui Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan. Mana-mana pihak yang tidak mampu hadir ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan suntikan vaksinasi perlu memaklumkan kepada KKM supaya unit bergerak dapat dikerahkan,” katanya.

90Shares
facebook sharing button 79
twitter sharing button

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker