Misteri Raja bertanduk dua disebut dalam al-Quran – Bhg 1

Misteri Raja bertanduk dua disebut dalam al-Quran – Bhg 1

“Ini kisah dan cerita-cerita bodoh tidak berdasarkan bukti yang kuat (merujuk kepada kisah Zulqarnain). Orang-orang yang percaya bahawa al-Quran berasal dari Tuhan adalah orang yang sangat bodoh”

Itulah kritikan paling keras datang dari penulis Barat, William Muir pengasas Islamic Studies di Edinburgh abad ke-19. Pengkaji sejarah moden seperti Theodore Noldeke dari Jerman turut menyalahkan Nabi Muhammad s.a.w. kerana menceritakan kisah aneh tentang Zulqarnain dalam al-Quran. Bukan itu sahaja, malahan orientalis Barat seperti Robert Morey sependapat dengan mereka,



“Antara kesalahan paling besar dalam al-Quran adalah berkenaan Alexander the Great yang dipanggil Zulqarnain. Hanya orang-orang bodoh sahaja yang mempercayai kisah-kisah fiksyen sepertinya”

Sememangnya ramai lagi di kalangan para sarjana dan orientalis Barat menganggap kisah Zulqarnain adalah plagiat daripada teks-teks penulisan Kristian Syria termasuk The Syriac Version of the Pseudo Callisthenes dan The Cristian Legend Concerning Alexander. Bahkan tidak kurang juga yang menganggap ia hanya kisah dongeng semata, demi untuk menafikan kekuasaan dan kehebatan seorang raja yang beriman kepada Allah.

Namun hakikatnya, sekalipun ramai sarjana Barat yang menafikan kisah Zulqarnain, tetapi seluruh tamadun dan bangsa tetap mengakui kewujudannya. Bukan itu sahaja bahkan mereka turut mendakwa bahawa merekalah keturunan kepada Zulqarnain iaitu seorang raja yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan sehingga ke Timur dan Barat.

Dia bukan sahaja seorang yang soleh, (beriman kepada Allah), malahan seorang raja yang bersifat adil dan berjiwa rakyat.



Menyusuri kisahnya dalam al-Quran surah al-Kahfi bermula dengan ayat 83 sehingga 100, sedikit sebanyak kita memahami kekuatan, kekuasaan dan kehebatan baginda sehingga ia digelar raja yang agung.

Turunnya ayat dan kisah ini sebagaimana menurut Ibnu Abbas r.a. bersangkut paut dengan kisah beberapa orang Quraisy yang telah bertanya kepada Baginda s.a.w. mengenai seorang lelaki yang mengadakan pengembaraan hingga ke Masyriq dan Maghrib, serta peristiwa yang terjadi atas lelaki itu.

Lalu Allah S.W.T. telah menurunkan wahyunya kepada Baginda s.a.w. untuk disampaikan kepada mereka yang bertanya. Firman Allah dalam surah al-Kahfi: 83 menyebutkan,

“Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulqarnain, katakanlah “aku akan bacakan kepadamu cerita tentangnya.”



Menurut Abdul Mukti Baharudin, Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) saat ditanya tentang Zulqarnain, “Banyak sekali pendapat tentang siapa sebenarnya susuk tubuh Zulqarnain yang disebutkan dalam surah al-Khafi. Namun malangnya tiada jawapan yang benar-benar sahih tentang dirinya”

Bahkan di kalangan para ulama tafsir juga turut berbeza pandangan dalam membincangkan siapa dia sebenarnya. Pun begitu, masih terdapat pandangan yang boleh dijadikan sandaran dalam mengenali siapa susuk tubuh Zulqarnain berdasar dari sudut pandang Islam.

Kisah Raja Iskandar Zulkarnain disebut Allah dalam al-Quran

Majoriti ulama bersepakat, Zulqarnain yang disebutkan dalam surah al-Kahfi adalah gelaran dan bukan namanya yang sebenar. Dia diberikan kelebihan kekuasaan oleh Allah.



Adapun al-Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir fi Ilm at-Tafsir, menyatakan terdapat empat pendapat berkenaan nama Zulqarnain yang sebenar iaitu pertama, Abdullah. Pendapat ini diambil daripada Saidina Ali r.a. dan kemudian Ibnu Abbas menyatakan pula susur keturunannya adalah Abdullah bin Dhahak bin Ma’d bin Adnan.

Pandangan kedua oleh Wahab bin Munabbih, namanya al-Iskandar. Manakala ketiga adalah ‘Ayyas oleh Muhammad bin Ali bin al-Hussein. Pendapat terakhir namanya ialah as-Sa’b bin Jabir oleh Ibn Abi Khaithamah.

Selain dari empat nama yang disebut di atas, terdapat banyak lagi pandangan yang mengutarakan tentang namanya yang sebenar seperti Marzaban bin Marzabah al-Yunani, Mush’ab bin Abdullah, al-Sa’ab bin Zi Yazin al-Himry, Hurmus dan Hurdis.

Namun kesemua nama-nama ini hanyalah pandangan dari sebahagian besar para ulama, tetapi tidak dapat dipastikan manakah yang benar. Walaupun begitu apa yang penting kita perlu kembali kepada perbahasan ulama tafsir yang hanya berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. Itu kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur israiliat dalam kisah Zulqarnain.



Begitupun tegas Abdul Mukti lagi, di dalam al-Quran sebenarnya memang terdapat beberapa kisah dan peristiwa yang ada menyebut nama-nama beberapa individu seperti Zulqarnain, Luqman al-Hakim, Firaun dan sebagainya. Tujuannya nama-nama itu disebut tidak lain kerana dua sebab sahaja sama ada mereka dalam kalangan orang yang beriman atau dari kalangan orang yang kufur. Bersambung utv

Misteri Raja bertanduk dua disebut dalam al-Quran – Bhg 1


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Roti Gardenia naik harga lagi

PN ada kelebihan – Shabery

Warkah Najib dari Penjara Kajang, suasana Dewan Merdeka hiba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker