‘Guru dengan komorbiditi dipertimbang jadi penerima fasa pertama vaksin’

 

Kalangan guru yang memiliki komorbiditi dan berisiko tinggi terjejas akibat jangkitan Covid-19 boleh dipertimbang sebagai calon penerima vaksin awal, sebelum pembukaan semula sekolah yang dijadual 8 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas ketibaan bekalan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di KLIA hari ini.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata kerajaan menerima permohonan daripada pelbagai kumpulan, termasuk guru, untuk menjadi sebahagian daripada penerima fasa pertama program imunisasi.

“Permintaan guru adalah suatu yang wajar, dengan sekolah akan dibuka semula Mac ini.

“Kita ada kekangan bekalan. Kita cuma ada satu juta dos bagi fasa pertama dan telah pun mendaftarkan 500,000 petugas barisan hadapan daripada sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

“Tetapi saya baru berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Kita akan bawa permintaan (guru) ini minggu depan dan akan minta Menteri Pendidikan beri senarai guru mengikut keutamaan,” katanya.

Katanya, senarai itu akan merangkumi guru yang berisiko tinggi dan memiliki komorbiditi (mengidap dua penyakit serentak, seperti kencing manis dan darah tinggi).

“Jadi jawapan ringkas adalah ya, kita akan cuba masukkan guru. Kita juga akan cuba masukkan sebahagian petugas barisan hadapan di kalangan media, bergantung kepada bekalan,” katanya lagi.

Selain guru, sejumlah organisasi media termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) turut meminta dipertimbangkan sebagai penerima awal vaksin Pfizer.

Pada Jumaat lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah akan dibuka semula secara berperingkat, bermula Mac ini.

Murid tadika, Darjah 1 dan Darjah 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac, murid Darjah 3 hingga 6 pada 8 Mac, manakala sekolah menengah akan mula dibuka pada 5 April.

‘Pendatang asing tanpa dokumen tak akan ditahan’

Sementara itu, Khairy mengulang komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa, termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi penyertaan warga asing tanpa dokumen dalam program vaksin.

Katanya, ia susulan kebimbangan golongan itu yang mereka akan ditahan jika tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin.

“Kita beri makluman yang kita tak akan tahan mereka. Kita mahu mereka divaksin kerana ini sangat penting dalam strategi kita untuk dapatkan imuniti kelompok.

“Kita mahu mereka yakin untuk tampil tanpa takut ditahan, maka kita akan bekerja dengan organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil untuk bantu kita,” katanya lagi.

Katanya, dia akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan yang berkenaan bagi mengadakan perbicangan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker