Surat Ku Li bukti wujud gerakan tolak usul Belanjawan 2021

Surat kiriman Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kepada 220 ahli Parlimen bertajuk Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dipercayai sebahagian gerakan terancang bagi menolak usul Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau percaya surat daripada Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li itu memberi impak terhadap penentuan kelulusan usul Belanjawan 2021 pada Khamis ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut bersetuju dengan pandangan Ku Li yang meminta Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul penentuan kepercayaan kepada Muhyiddin bagi memberi peluang kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen kepada beliau terlebih dahulu.

“Legitimate vote (undi penentuan kepercayaan) terhadap Muhyiddin sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengelak nasib negara diperjudikan melalui undi belah bahagi Belanjawan 2021.

“Jika beliau benar-benar dipercayai majoriti ahli Dewan Rakyat, Muhyiddin kena buktikan kebenaran angka sokongan dalam sidang Parlimen dengan kita lihat beliau hanya memperoleh 111 undi sewaktu undi penukaran Speaker tempoh hari… kerajaan minoriti.

“Saya berpandangan surat ‘cinta’ Ku Li akan beri impak kepada penentuan undi belah bahagi usul Belanjawan 2021 dengan menyakini beliau mendapat sokongan sebelum gerakan tersebut dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdullah Sani turut menegaskan seluruh ahli Parlimen pembangkang akan menolak usul Belanjawan 2021 kerana dilihat benar-benar tidak mencakupi keperluan rakyat mendepani ancaman pandemik koronavirus (COVID-19).

Kelmarin, Ku Li yang merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO memaklumkan, tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Azhar Azizan enggan meluluskan usul penentuan kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Bekas Menteri Kewangan itu menyampaikan hasrat tersebut kepada Azhar Azizan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November lalu yang turut mengkritik keengganan Speaker Dewan Rakyat membenarkan usul penting, selain usul Belanjawan 2021 dilaksanakan.

Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar Azizan pada bulan lalu bahawa beliau tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan, dianggap usul persendirian, mendahului usul dibawa kerajaan.

Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mengemukakan pandangan menarik dengan beliau seolah-olah menjangkakan kerajaan PN akan memohon proklamasi darurat sekali lagi bagi menggantung Dewan Rakyat supaya usul Belanjawan 2021 diluluskan.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkongsi pandangan bahawa kerajaan PN boleh melaksanakan Vote On Account di bawah Perkara 68A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, yang membolehkan pembentangan beberapa akaun (bukan belanjawan penuh) untuk perbelanjaan, diluluskan tanpa perbahasan ahli Parlimen.

“Peraturan Dewan Rakyat membenarkan perbelanjaan untuk ‘sebahagian daripada satu tahun’ diluluskan dengan mudah. Dengan syarat kerajaan pun tidak lebih tempoh ‘sebahagian’ tahun berkenaan.

“Jelas sangat kerajaan PN tidak perlu kepada perisytiharan darurat, iaitu sehingga menggantung Dewan Rakyat supaya bajet (Belanjawan 2021) diluluskan.

“Takkan tidak ada sesiapa menasihatkan inner circle kerajaan PN?” katanya.

Pada masa ini, Muhyiddin hanya mempunyai sokongan 112 daripada 222 ahli Parlimen, susulan kematian seorang ahli Parlimen daripada BN dan seorang ahli Parlimen pembangkang daripada Parti Warisan Negara (Warisan).

Kini, angka sokongan terhadap Muhyiddin tinggal 111 orang, susulan Ku Li dijangka menarik diri daripada menyokong beliau.
Dengan angka sokongan pembangkang tinggal 108 orang, hanya tambahan empat undi ahli Parlimen BN diperlukan bagi memastikan usul Belanjawan 2021 ditolak. Awani

Ku Li edar “surat cinta” untuk semua Ahli Parlimen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker