Kerajaan akan minta Agong isytihar darurat di Gerik, Bugaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan akan menimbang kemungkinan untuk meminta Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di kawasan parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sekiranya situasi pandemik Covid-19 sama seperti di Batu Sapi.

“Berpandu kepada Perkara 150, jemaah menteri memutuskan untuk mengarahkan perdana menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan sebahagian daripada persekutuan iaitu Parlimen Batu Sapi supaya diisytiharkan darurat.

“Tindakan yang sama juga akan dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan (Parlimen) Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ianya berlandaskan sebagaimana di Batu Sapi,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Agong sebelum ini bersetuju mengisytiharkan darurat di kawasan parlimen Batu Sapi di Sabah bagi mengelak pilihan raya kecil dan sekali gus bertujuan untuk membendung wabak Covid-19.

Takiyuddin berkata, antara masalah yang didapati di Batu Sapi ialah pematuhan garis panduan SOP yang ditetapkan oleh MKN kemungkinan besar tidak dapat dipatuhi dengan sebaiknya jika PRK itu diteruskan.

Antara lain hanya 143 daripada 837 orang petugas pilihan raya sahaja yang sanggup bertugas.

“Begitu juga KKM memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi Batu Sapi yang berjumlah lebih daripada 32,000 orang.

“Atas dasar itu, kerajaan berpendapat pengisytiharan darurat adalah sangat tepat dan langkah yang diambil oleh Agong adalah amat bertepatan dengan perlembagaan, dan ianya bukan sekali-kali tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk menasihati Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi.

Ahmad turut meminta menyatakan rasional jika ianya ingin dilaksanakan dan jawapan berkenaan kekangan hak demokrasi pengundi untuk kawasan yang berkaitan. Mk

Kemenangan percuma: UMNO Gerik serah pertimbangan parti-parti lain

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker