Dolla tumpang tuah Blackpink

Langkah Dolla bagaikan ‘peluru berpandu’ yang menyelusup ke puncak populariti dengan pantas apabila mendapat liputan media antarabangsa kononnya menjadi jelmaan kumpulan popular antarabangsa, Blackpink.

Pendedahan media antarabangsa dianggap ‘rezeki terpijak’ apabila Dolla pantas membina nama dan populariti. Baru enam bulan Dolla ditubuhkan, kumpulan yang dianggotai empat gadis muda, Sabronzo, 25, Tabby, 20, Angel, 19, dan Syasya, 19, sudah menjadi bualan ramai sejak tahun lalu.

Single pertama, Make You Wanna mendorong ramai peminat mula mengikuti mereka. Lebih membanggakan single kedua, Impikan atau Watch Me Glow dalam versi bahasa Inggeris berjaya menduduki tangga kedua ‘trending’ menerusi laman YouTube dalam tempoh sehari dilancarkan. Sehingga kini, video muzik Impikan sudah meraih hampir 800,000 tontonan sejak dilancarkan 30 Oktober lalu.



“Kami sukar menyangkal tempias populariti yang diperoleh apabila kisah jelmaan Blackpink menjadi liputan media Korea Selatan, Indonesia dan Singapura.

“Dari situ, menarik ramai perhatian peminat untuk melihat sejauh mana persamaan kami. Adakah kami meniru Blackpink atau sebaliknya dalam muzik video pertama, Make You Wanna.

“Bagaimanapun, peminat melihat sisi yang berbeza dan personaliti tersendiri apabila menyaksikan Dolla dalam muzik video kedua, Impikan.

“Apapun, kami tak orang ramai membuat perbandingan Dolla dengan Blackpink. Malah, kami berbangga apabila dibandingkan dengan kumpulan popular bertaraf antarabangsa itu. Ia bagaikan satu penghormatan, malah kami tumpang tuah kumpulan hebat itu,” kata jurucakap kumpulan, Sabronzo.



Dolla tak kisah dianggap jelmaan kumpulan popular Korea, Blackpink. – Foto Dolla
Dolla tak kisah dianggap jelmaan kumpulan popular Korea, Blackpink. – Foto Dolla
Sabronzo berkata, Dolla terharu apabila single kedua, Impikan memperoleh pencapaian luar biasa buat kumpulan baharu seperti mereka.

“Ia memang luar jangkaan kami. Sambutan diterima memangkin semangat untuk menghasilkan kerja dengan baik.

“Sejujurnya, kami agak risau ketika menghasilkan single Impikan. Ini kerana lagu ini mengetengahkan rentak agak asing iaitu EDM. Kami tak tahu penerimaan peminat.

“Bagaimanapun, syukurlah, ramai yang memberi maklum balas baik. Ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuan kami,” katanya kepada BH Online.



Dolla kini di bawah naungan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia sejak Ogos, tahun lalu.

Mengulas single kedua, Impikan dan Watch Me Glow, usaha menghasilkan dua versi single itu bagi mengorak langkah lebih jauh dalam dan luar negara.

“Syukur, muzik video Watch Me Glow juga menerima sambutan baik apabila mendapat tontonan peminat luar negara. Tarikan ini juga disebabkan artikel Dolla dipaparkan dalam portal berita Korea Selatan www.allkpop.com, biarpun ia menyentuh perbandingan Dolla dan Blackpink.

“Kami tidak terasa hati, malah mengambilnya sebagai pendedahan positif. Kami berterima kasih kepada peminat yang banyak membuat perkongsian artikel berita Dolla hingga mendapat liputan media antarabangsa,” katanya.



Single Watch Me Glow ditulis komposer antarabangsa, Ludwig Lindell, Karl Oscar Gummesson dan Daniel Caesar. Komposer dari Sweden itu terkenal sebagai orang kuat yang pernah menghasilkan lagu popular untuk penyanyi popular K-pop. Antaranya, BTS, EXO, Red Velvet, Pentagon dan Loona.

Satu demi satu pencapaian positif yang diterima, Dolla berbangga apabila diberi peluang membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang bakal berlangsung pada 13 November ini.

Sabronzo berkata, ABPBH 33 menjadi pentas anugerah pertama yang memberi peluang kepada Dolla untuk membuat persembahan secara langsung.

“Ia seperti impian jadi kenyataan. Semestinya kami teruja diberikan peluang keemasan ini, tetapi dalam masa sama, gementar tetap ada. Ini adalah kali pertama kami membuat persembahan secara langsung menerusi anugerah berprestij di hadapan penonton.



“Disebabkan pandemik COVID-19, kami belum berpeluang membuat persembahan secara langsung dan pentas ABPBH 33 bakal mencipta sejarah untuk Dolla.

“Kami berharap dapat melakukan persembahan yang terbaik. Kini, kami sedang giat berlatih vokal dan rentak tari,” katanya yang bakal mempersembahkan lagu saduran.

Mengulas mengenai imej seksi, Sabronzo berkata, ia adalah identiti anggota Dolla sejak dahulu.

“Kalau lihat laman sosial kami, itulah imej setiap anggota Dolla sejak dahulu. Bukan disebabkan wujudnya Dolla baru nak seksi.



“Penampilan yang diperlihatkan menerusi video muzik adalah gaya yang diberikan oleh label muzik dan penata gaya mengikut gaya tersendiri.

“Kami harap peminat boleh menerima imej yang ditampilkan sebagai keunikan dan kelainan yang diketengahkan Dolla,” katanya. Dolla menyertai uji bakat yang dijalankan oleh Universal Music sekitar Mac, tahun lalu. Kemudiannya, menandatangani kontrak, Ogos 2019. BH

Dolla diserang kerana feminisme

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker