Dolla diserang kerana feminisme

Share
CERITA artis wanita berkumpulan sering kena hentam bukan satu isu baharu yang timbul. Malah, kalau diperhatikan, zaman kumpulan Feminin sedang meletup, kumpulan Res’2, Msteen hatta kumpuan Eva dan Elite yang sealiran pada era 90-an, semuanya pernah berdepan dengan kritikan dan cemuhan.

Entah mengapa, andai kata ada sahaja artis wanita berkumpulan diperkenalkan dalam industri, orang kita seolah-olah tidak berapa berkenan.

Lambat atau cepat, akan ada sahaja cerita tak menarik atau label tertentu diberikan pada artis terbabit.

Melihat situasi ini umpama satu ikatan love hate relationship, kumpulan Dolla yang bernaung di bawah Universal Music Malaysia juga tidak terkecuali menjadi serangan netizen.

“Sejak masuk dalam industri, kami pun sama tidak terlepas daripada serangan sesetengah netizen yang tak suka dengan cara dan muzik kami.

“Mereka kata kami cuba tiru artis popular Korea, Blackpink, malah beberapa kumpulan lain termasuk De Fam yang merupakan senior kami dalam industri tanah air.

“Kami akui ada baca dan dengar semua komen-komen negatif itu tetapi tidak mahu mengambil peduli sangat kerana kami tahu haluan kami,” kata Angel mewakili Dolla.

Menyedari sejak awal mereka dikritik bukan sahaja soal muzik tetapi juga kerana imej seksi yang ditampilkan, Dolla ada jawapan tersendiri.

“Beginilah, mungkin wujud sedikit persamaan kerana kami ni kumpulan wanita. Tetapi kalau diperhatikan betul-betul, masing-masing ada gaya dan personaliti sendiri.

“Imej yang ditampilkan Diolla juga adalah persetujuan antara kami dan pihak pengurusan yang membentuk kumpulan ini.

“Pada kami, imej Dolla tidaklah melampau. Asalkan kami selesa dan pihak pengurusan pun okey, maka ia tidak jadi masalah,” kata Sabrina.

Malah, kata Sabrina lagi, secara peribadi, dia juga hairan mengapa artis wanita berkumpulan sering menjadi sasaran serangan netizen dan perkara itu jarang terkena pada kumpulan lelaki.

Bukan sengaja mencipta kontroversi, tetapi baginya Dolla memiliki kredibiliti untuk membawa jenama mereka dalam industri dalam cara mereka sendiri.-Utusan

Digelar BLACKPINK Malaysia, Dolla dedah sejarah penubuhan kumpulan (video)

Leave a Reply